Kita pernah mendengar motivator atau
mana-mana asatizah bercakap berkenaan menanggung dosa. Biasanya, dalam kalangan
masyarakat kita, yang seringkali kita dengar bahawa bapa menanggung dosa anak
dan isteri kerana mereka tidak mematuhi syarak. Misalnya, seorang bapa
menanggung dosa anak isteri kerana mereka tidak solat atau tidak menutup aurat
atau melanggar hukum-hakam syarak yang lain. Kita juga seringkali pernah
mendengar mana-mana penceramah menyatakan dosa yang kita lakukan akan memberi
pengaruh dan kesan kepada anak keturunan kita.
Sebenarnya, tidak wujud istilah
menanggung dosa kerana perbuatan seseorang hattakan kerana perbuatan orang yang
ditanggungnya itu. Sebaliknya, mereka yang bertanggungjawab seperti suami dan
bapa, perlu memainkan peranan mereka sebagai suami dan bapa menjaga anak
isterinya dari melakukan perkara yang dilarang oleh syarak. Sekiranya tidak
berbuat sedemikian, membiarkan sahaja anak isteri melakukan perkara yang
dilarang oleh syarak, maka si suami berdosa kerana tidak menasihati atau
menegur anak isterinya. Bukan menanggung dosa diatas perbuatan mungkar anak
isteri tersebut.
Firman Allah SWT dalam surah al Najm ayat
38 hingga 39 yang bermaksud :
"Bahawasanya seorang yang boleh
memikul tidak akan memikul dosa orang lain (38). Dan bahawasanya seorang
manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya (39) "
Berdasarkan firman ini, jelas lagi terang
menegaskan bahawa seseorang tidak akan menanggung atau mewarisi dosa orang
terdahulu. Perkara ini juga boleh kita fahamkan lagi apabila kita menyemak
sirah Nabi Allah Ibrahim berdialog dengan bapanya, Azar si tukang pembuat berhala.
Walau pun bapa Nabi Ibrahim tukang pembuat berhala, dosanya lebih besar kerana
mensyirikkan Allah, namun Nabi Ibrahim tidak dipikulkan dosa bapanya bahkan
Nabi Ibrahim terus mengajak bapanya kepada Tuhan yang Maha Esa.
Dalam firman Nya menerusi surah Maryam
ayat 42- 46, Allah SWT telah merakamkan dialog Nabi Ibrahim dengan bapanya yang
bermaksud :
"Ingatlah ketika dia (Ibrahim)
berkata kepada ayahnya, "Wahai ayahku ! Mengapa engkau menyembah sesuatu
yang tidak mendengar, tidak melihat, dan tidak dapat menolongmu sedikit pun ?
(42) Wahai ayahku ! Sesungguhnya telah sampai kepadaku sebahagian ilmu yang
tidak diberikan kepadamu, maka ikutlah aku, nescaya aku akan menunjukkan
kepadamu jalan yang lurus (43) Wahai ayahku ! Janganlah engkau menyembah syaitan.
Sesungguhnya syaitan itu derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pengasih (44) Wahai
ayahku ! Aku sesungguhnya bimbang engkau akan ditimpa azab daripada Tuhan Yang
Maha Pengasih, sehingga engkau menjadi sahabat bagi syaitan (45) Dia (ayahnya)
berkata, "Bencikah engkau kepada tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim ? Jika
engaku tidak berhenti, pasti engkau akanku rejam, maka tinggalkanlah aku untuk
waktu yang lama(46).
Berdasarkan dialog ini, kita dapat
memahami bahawa Nabi Ibrahim tidak mewarisi dosa kesyirikkan bapanya, Azar.
Begitu juga dengan kesolehan seseorang, juga tidak akan dapat mempengaruhi
keturunannya melainkan mereka sendiri yang berusaha menjadi orang yang soleh.
Kita boleh ambil iktibar dari kisah Nabi Nuh AS dengan anaknya. Bagaimana kita
lihat keengganan anaknya untuk mengikuti bapanya menaiki kapal sebelum
datangnya banjir yang besar. Kisah ini telah dirakamkan di dalam al Quran,
dalam surah Hud ayat 42-43 yang bermaksud :
"Dan bahtera itu berlayar membawa
mereka ke dalam gelombang laksana gunung-ganang. Dan Nuh memanggil anaknya,
ketika itu (anak itu) berada di tempat jauh terpencil, "Wahai anakku !
Naiklah (ke bahtera) bersama kami dan janganlah engkau bersama orang-orang
kafir (42) Dia (anaknya) menjawab, "Aku akan mencari perlindungan ke gunung
yang dapat menghindarkan aku daripada air bah!" (Nuh) berkata, "Tidak
ada yang dapat melindungi daripada azab Allah pada hari ini selain Allah yang
Maha Penyayang." Dan gelombang ombak menjadi penghalang antara keduanya ;
maka dia (anak itu) termasuk orang yang ditenggelamkan (43)".
Namun begitu, bagi mereka yang telah
menunjukkan contoh amalan yang baik sehingga diikuti oleh orang lain, maka akan
mendapat saham pahala baginya. Begitu juga sebaliknya kepada mereka yang telah
menunjukkan contoh yang tidak baik, menyeru kepada kemungkaran sehingga
mempengaruhi orang lain untuk melakukan perbuatan tidak baik tersebut, maka
baginya akan mendapat saham dosa. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis
riwayat Imam Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa mencontohkan dalam
Islam suatu contoh yang baik maka dia akan mendapatkan pahalanya, dan pahala
orang yang melakukannya setelahnya, tanpa berkurang sesuatu apa pun dari pahala
mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk,
maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia,
tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka".
Dapat kita fahami secara ringkasnya,
seorang bapa yang telah menegur anak isteri agar mematuhi syariat, namun anak
isterinya tetap melanggar syariat, si bapa tidak berdosa apatah lagi menanggung
dosa anak isteri. Tetapi jika sebaliknya, si bapa tidak endah dengan perbuatan
anak isterinya melanggar perintah Tuhan, membiarkan anak tidak solat,
membiarkan si isteri keluar dari rumah dengan tidak menutup aurat, maka si bapa
telah berdosa kerana tidak menegur anak isterinya.
Berbeza pula dengan contoh baik dan
buruk, bagi mereka yang menunjukkan contoh yang baik, baginya pahala dan dia
juga mendapat saham pahala dari mereka yang mengikuti jejak contoh baik
tersebut tanpa berkurangan sedikit pun. Sebaliknya, bagi mereka yang
menunjukkan contoh yang tidak baik, baginya dosa dan dia juga mendapat saham
dosa dari mereka yang mengikuti contoh yang tidak baik tersebut. Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan