Rabu, 23 Jun 2021

KESIHATAN MENTAL BUKAN LAGI MASALAH TERPENCIL

 

Tanpa kita sedar, kita telah melangkah ke tahun kedua berperang dengan wabak Covid 19 ini dan disaat dan ketika ini, kita masih berhadapan dengan angka kes baharu yang tinggi. Tambahan pula, peningkatan kes kematian yang membimbangkan dan pesakit yang memerlukan rawatan rapi pula semakin bertambah dari masa ke semasa. Pelbagai langkah demi langkah telah diatur dan dicatur agar kita boleh keluar daripada wabak yang mengganas ini.

Pada sudut yang lain, akibat pandemik ini juga, ramai yang terkesan dan terjejas ekoran arahan PKP oleh kerajaan demi mengekang penularan wabak. Ada yang kehilangan pekerjaan, hilang punca pendapatan, juga anak-anak yang terjejas kerana tidak dapat mengakses pembelajaran dengan baik kerana pelbagai kekangan yang dialami. Malah, lebih membimbangkan kita, masalah mental juga turut menyumbang peningkatan angka kerana tertekan dengan masalah hidup.



Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bunuh diri adalah di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun. Dalam konteks Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati tingkahlaku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan tren. Punca yang menyumbang kepada masalah ini antaranya akibat kemurungan, kegelisahan dan mengalami stres.

Kajian tersebut adalah hasil kajian oleh KKM tahun 2019, sebelum datangnya wabak Covid 19 ini. Namun, kes kesihatan mental telah meningkat menjelang bulan Mac hingga Mei tahun 2020. Berdasarkan statistik oleh KKM menunjukkan 85.5 peratus daripada 145, 173 panggilan adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling. Sudah tentu angka ini bukanlah sesuatu yang remeh untuk dipandang.

Dalam satu kenyataan media oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Adham Baba, beliau telah menyatakan data Kementerian Kesihatan mendapati dalam tempoh Januari hingga Disember 2020, sejumlah 1,080 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM. Statistik tersebut diterima melalui Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan secara kerjasama KKM-Mercy Malaysia dan juga talian agensi kerajaan lain.



Peningkatan kes secara tidak langsung ini juga sebahagian besar kesan dari pelaksanaan PKP yang pelbagai siri episod yang harus rakyat tempuhi. Masalah kesihatan mental kini bukan lagi masalah terpencil bahkan ianya menjadi ancaman utama bagi kita yang gagal menguruskan emosi dan tekanan dengan baik. Islam menerusi firman Allah SWT, sangat melarang kita untuk berputus asa. Dalam surah al Hijr ayat 55 - 56 yang bermaksud :

"(Mereka) menjawab, "Kami menyampaikan berita gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah engkau termasuk orang yang berputus asa (55) Dia (Ibrahim) berkata "Tidak ada yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat (56)."

Juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim,  sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan : 'Seandainya aku lakukan demikian dan demikian'. Akan tetapi hendaklah kau katakan 'قدر الله وماشاء فعل' (Qadarullah wa maasha'a fa'al), [ Ini sudah jadi takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki Nya pasti terjadi ]. Sesungguhnya perkataan (seandainya) dapat membuka pintu syaitan"

Demikian agama melarang kita dari bersikap berputus asa. Pada masa sama, bersegeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Nya. Segala masalah yang sedang kita hadapi, bangun lah di waktu malam dan merintih lah pada Nya, Tuhan yang tidak pernah tidur bahkan sentiasa menunggu rintihan para hamba Nya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud :

"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"

Marilah bersama kita mengambil peduli tentang kesihatan mental diri, keluarga, jiran dan masyarakat komuniti, bantulah mereka dan berikan sokongan moral pada mereka yang terkesan dengan tekanan hidup lebih-lebih lagi diwaktu getir negara masih berperang dengan wabak Covid 19. Selain memberi bantuan fizikal seperti keperluan makanan, kita juga perlu memberikan bantuan serta sokongan moral pada mereka yang mengalami masalah mental. Dekati, bukan jauhi. Berikan sokongan, bukan hentaman. Semoga Allah memberikan kita ganjaran pahala dan nikmat Nya yang Maha Luas setimpal dengan kesabaran kita dalam menghadapi ujian yang kita sendiri tidak tahu episod kesudahannya lagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan