Jumaat, 11 Jun 2021

MENOLAK VAKSIN IBARAT MEMBUNUH DIRI

 

Islam merupakan suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna merangkumi segala urusan dunia dan akhirat. Hal ini juga termasuklah kepentingan menjaga hubungan dengan Tuhan, seperti solat, zikir dan lain-lain, juga Islam memerintahkan agar kita menjaga hubungan sesama manusia seperti berbuat baik kepada jiran dan sebagainya.

Tatkala ketika ini kita diuji dengan wabak Covid 19, Islam menyuruh kita untuk berusaha keluar daripada masalah. Tidak sekadar bermunajat membaca yasin, berdoa, melaksanakan solat dan seumpamanya. Termasuklah yang disebutkan sebagai berusaha mencari jalan keluar ialah mengikuti arahan pemerintah dengan mengambil vaksin. Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 195 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan"

Juga bertepatan dengan sebuah hadis baginda Nabi SAW, di riwayatkan oleh Ibn Majah, daripada Abu Sa'id al Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain"



Berdasarkan dalil daripada al Quran dan hadis, jelas kepada kita bahawa Islam sangat melarang umatnya untuk menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan. Termasuk dalam makna ini ialah mereka yang menolak program vaksinasi ini. Hakikatnya, vaksinasi merupakan satu-satunya usaha yang sangat berkesan dan mampu mencegah serta melindungi diri daripada terkena jangkitan virus dalam keadaan yang teruk kritikal.

Bertindak demi kebaikan umat, Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah bersidang pada 3 Disember 2020 telah mengambil ketetapan bahawa hukum pengambilan vaksin adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan. Hukum ini diatas kesepakatan para ilmuwan, para mufti juga para pakar bidang-bidang khas bagi memastikan kandungan dan kesan vaksinasi ini tidak mendatangkan keburukkan dari sudut perubatan dan sudut pandang syarak.

Hukum ini juga selari dengan keadaan semasa yang darurah. Darurah atau darurat menurut ulama bersandarkan kepada Maqasid Syariah (tujuan syariat yang dikehendaki) dalam mensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kebaikan umat manusia merangkumi lima perkara iaitu agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Diatas maqasid syariah, maka hukum vaksinasi dinilai dengan penuh teliti dan kebijaksanaan para ahlinya.



Dalam keadaan genting seperti ini, kepentingan nyawa manusia adalah menjadi keutamaan Islam demi memastikan kesejahteraan hidup umat manusia terpelihara dan dijaga. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang pernah melarang orang luar dari tempat wabak memasuki ke kawasan wabak dan begitu juga Nabi melarang mereka yang duduk di kawasan wabak untuk keluar. Sebuah hadis Nabi SAW riwayat Imam Muslim yang bermaksud :

"Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka jangalah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya"

Demikian bagaimana Islam amat menitikberatkan kepentingan nyawa umat manusia. Oleh itu, vaksinasi ketika ini dilihat sebagai ubat yang dapat melindungi diri dan paling tidak, boleh mengurangkan kesan buruk kepada si penerima jika dirinya terkena wabak Covid 19. Kita harus faham, tujuan utama vaksinasi ini adalah untuk melindungi diri dan melindungi orang di sekeliling kita. Oleh itu, mereka yang menolak vaksin ini boleh diumpamakan seperti sengaja menempah kebinasaan membunuh diri dengan tidak mahu mengambil vaksin.

Pada zaman serba canggih ini, tidak ada yang mustahil untuk kita ketahui. Sebarang kemusykilan kita terhadap vaksin, sama ada dari sudut perubatan mahupun dari sudut pandang agama, maka seharusnya kita rujuk dan bertanyalah pada pakar bidang berkaitan. Rujuklah pada ahlinya. Dapatkan maklumat serta info yang betul agar diri kita tidak terperangkap dengan mainan persepsi semata-mata. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan"

Dr. Wahbah al Zuhaili menerusi kitab Tafsir al Munir, ketika beliau menafisrkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT menyeru umatnya mencari kebenaran dan tidak terlalu cepat menghukumnya. Peri pentingnya kita mendapatkan maklumat serta info yang sahih dan tepat dengan merujuk kepada ahlinya. Sehubungan itu, marilah sama-sama kita jayakan program vaksinasi ini demi kebaikan diri dan masyarakat sekeliling. Kepada Allah jualah kita bermohon perlindungan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan