Catatan sejarah bagi dunia Islam tidak pernah sunyi daripada
pertembungan dan perseteruan yang amat dahsyat kesan dan implikasi dari
kefahaman agama yang cetek, cacat serta tempang selain mudah dimanipulasikan
umat pada ketika itu. Episod pertumpahan darah yang melibatkan penentangan
terhadap musuh Islam sejak dahulunya kerana mempertahankan agama kian berubah
fenomenanya menjadi pertumpahan darah sesama Islam dek kerana ketaksuban yang
melampau selain memenuhi kehendak cita-cita demi kepentingan peribadi. Tragedi
tragis penaklukan tentera al-Muwahidun yang dipimpin oleh Ibnu Tumart antara
siri episod gelap dunia Islam yang amat memilukan. Lebih menyedihkan, apabila
penunggangan agama dengan menggunakan gelaran hebat seperti al-Mahdi, telah
meragut banyak nyawa insan yang tidak berdosa. Semuanya bermula dari seseorang
yang dikenali sebagai Ibnu Tumart.
Nama Ibnu Tumart atau nama penuhnya ialah Abu Abdillah Muhammad bin
Abdullah bin Abdurrahman bin Hud bin Khalid bin Tamam bin Adnan bin Shafwan bin
Jabir bin Yahya bin Rabah bin Yasar bin Al Abbas bin Muhammad bin Al Hasan bin
Al Imam Ali bin Abu Thalib, adalah suatu nama yang mencatatkan sejarah hitam
dunia Islam. Selain dikenali dengan nama Ibnu Tumart, beliau juga dikenali
dengan gelaran al-Mahdi bin Tumart. Menurut para sejarawan Islam, Ibnu Tumart
dilahirkan antara tahun 469 hijrah hingga 474 hijrah di Igliz, Sous, Maghribi.
Ibnu Tumart merupakan seorang warganegara Murabithun, iaitu nama sebuah
kerajaan yang dipimpin oleh Yusuf ibn Tashfin. Pada sekitar tahun 1097 masihi,
beliau iaitu Yusuf ibn Tashfin telah kembali ke Andalus setelah berjaya
membantu Al-Mu’tamid ibn Abbad, Raja Kota Seville menewaskan Raja Alfonso VI
dalam pertempuran Az-Zallaqah pada tahun 1086 masihi. Kembalinya beliau ke
Andalus telah membuatkan beliau berjaya membentuk sebuah dinasti Murabithun.
Pada masa sama, Khalifah Bani Abbasiyyah di Baghdad telah mengikitraf kerajaan
yang dibentuk tersebut dengan memberi gelaran Amirul Muslimin kepadanya.
Kerajaan Murabithun telah menjadikan dasar akidah Salaf sebagai
pegangan rasmi kerajaan dan perkara tersebut telah membuatkan Ibnu Tumart tidak
senang dengannya. Hal ini telah menyebabkan pertembungan hebat Ibnu Tumart dan
kerajaan Murabithun. Hakikatnya, Ibnu Tumart sememangnya mempunyai cita-cita
politik untuk melakukan gerakan dakwah yang akan memperjuangkan mazhab yang benar
di sisi Ibnu Tumart iaitulah mazhab Asya'irah. Cita-cita ini telah membuatkan
Ibnu Tumart beranggapan bahawa kerajaan Murabithun telah melaksanakan ajaran
sesat. Beliau telah tekad melalui cita-cita politiknya untuk menentang kerajaan
sedia ada dan menjadikan mazhab Asya'irah sebagai pegangan rasmi akidah.
Sebelum daripada itu, Ibnu Tumart antara tokoh dan figura yang memperjuangkan
aliran mazhab akidah Asya'irah. Beliau telah menimba ilmu di Madrasah
Nizamiyah, tempat pengajaran al-Ghazali dan berguru dengan beberapa ulama besar
mazhab Asya'irah seperti Abu Bakr Shashi, al-Mubarak Ibn Abdul Jabbar,
Abu Bakr ibn al-Arabi dan Ilkiya Al Harrasi.
Bagi mencapai tujuan dan kehendak cita-cita politiknya, Ibnu Tumart
telah menubuhkan pasukan tenteranya dengan nama al-Muwahhidun (orang
yang bertauhid). Dalam catatan Amir Aziz melalui kitabnya, Akhbar
al-Qairuwan, beliau menyatakan bahawa Ibnu Tumart menamakan pengikutnya
sebagai al-Muwahhidun dan menamakan orang-orang yang tidak mengikutinya sebagai
al-Mujassimun. Penamaan itu terkenal pada tahun 515 H. Suku Harghah telah
berbaiah (pengakuan bersumpah) bahawa dia yakni Ibnu Tumart adalah al-Mahdi
al-Muntazhar. Sebahagian manusia pada ketika itu yang digelar sebagai
mulaststamun (tertutup mukanya) ingin membunuhnya, namun pengikut Ibnu Tumart
menaklukkan mereka dan mendapatkan banyak harta rampasan. Mereka menjadi
percaya kepada diri. Kabilah-kabilah lain datang kepada mereka dan menyatukan
Hantanah yang merupakan kabilah paling kuat. Ibnu Tumart telah menggelarkan para
ahli Murabithun sebagai mujassimah (menjisimkan) Allah. Ini sebagaimana juga
yang dicatatkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar Alam an-Nubala,
dengan menyebutkan bahawa al-Yasa’ bin Hazm berkata Ibnu Tumart menamakan
kelompok al-Murabithun sebagai al-Mujassimun. Penduduk Maghribi hanya beragama
dengan menyucikan Allah dari sifat yang tidak wajib bagi-Nya, menetapkan sifat
yang wajib bagi-Nya dan tidak membahas sesuatu yang tidak dapat dipahami oleh
akal.
Malapetaka besar kesan ketaksuban yang melampau ini telah
mengakibatkan golongan al-Muwahhidun telah mengkafirkan golongan al-Murabithun
yang berpegang dengan aliran Salafi dan memfatwakan halal untuk dibunuh orang
Salafi. Perkara ini sebagaimana yang direkodkan oleh al-Yasa’ dalam kitabnya, Tarikh,
beliau menyebutkan bahawa wasiat Ibnu Tumart kepada kaumnya adalah jika mereka
bertemu dengan orang Murabith agar mereka membakarnya. Tambahnya lagi, Ibnu
Tumart menyebut barangsiapa tidak hijrah dan berperang bersamanya, maka halal
darahnya kerana marahnya Ibnu Tumart adalah kerana Allah. Maka diatas sebab
ungkapan Ibnu Tumart yang mengkafirkan golongan al-Murabithun dan menggelarkan
lawannya itu dengan gelaran al-Mujassimah tersebut, terciptalah episod
pembunuhan beramai-ramai oleh Ibnu Tumart bersama para pengikutnya. Prolog
kepada pertempuran ini dimulai dengan ketegasan Ibnu Tumart mahu menentang
golongan Murabithun yang dianggap sebagai sesat tersebut.
Amir Aziz melalui catatan dalam kitabnya, Akhbar al-Qairuwan
menceritakan bahawa bagaimana Ibnu Tumart telah mengarahkan panglimanya,
al-Basyir untuk membunuh pengikutnya yang suka melakukan kerosakan. Ibnu Tumart
menyebutkan kepada al-Basyir bahawa :
"Tidak akan tegak agama melainkan dengan mencegah kemungkaran.
Carilah setiap orang yang membuat kerosakan, maka laranglah dia daripada
membuat kerosakan. Jika dia tidak berhenti membuat kerosakan, hapuskan
namanya".
Dengan itu, al-Basyir melihat dengan teliti nama-nama tersebut lalu
membunuh mereka yang tersenarai namanya. Lantas Ibnu Tumart menyatakan bahawa
dengan cara ini, agama kamu akan menjadi benar dan perjuangan kamu akan menjadi
kuat. Demikianlah ungkapan Ibnu Tumart yang bukan sahaja telah membunuh sesama
umat Islam bahkan turut membunuh pengikutnya yang dianggap berdosa kerana
melakukan kerosakan. Melalui episod hitam ini, Abd al-Mukmin pengganti Ibnu
Tumart telah membunuh kira-kira 32,000 jiwa umat Islam. Pertembungan panjang
ini akhirnya menyaksikan bumi Andalusia jatuh di tangan al-Muwahhidun pada
tahun 1145 Masihi. Episod duka ini turut mendapat respon oleh Imam Ibn Qayyim
sebagaimana yang dinyatakan olehnya dalam kitab al-Mananil Munif Fl Sahihi
Wad Dha’if, beliau menegaskan bahawa Ibnu Tumart adalah seorang pendusta,
bersikap kejam, berkuasa menggunakan kekerasan dan penipuan, membunuh orang
Muslimin dan lebih banyak mengancam agama berbanding dari Hajjaj At Tsaqafi.
Demikianlah seputar lalu mengenai Ibnu Tumart dan episod duka
sejarah hitam umat Islam di bumi al-Andalus. Apa yang boleh kita pelajari ialah
tentang kepentingan menolak agenda menyempitkan pemahaman agama dengan
berpegang kepada satu-satunya aliran yang dianggap benar dan sahih. Tanpa kita
sedari, doktrinasi ini sudah tentunya akan menyebabkan mereka yang tidak sama
aliran akan dikeluarkan dari daerah umat Islam. Melihat kepada episod hitam dan
penuh kedukaan ini, pastinya kita mahu ianya berulang kembali menghambat
perasaan kasih sayang lantas menyemai benih permusuhan dan persengketaan yang
akhirnya akan mengheret umat Islam ke kancah pembunuhan. Semoga Allah menjauhi
kita semua dari sikap melampaui batas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan