Jumaat, 1 November 2024

HUKUM MEMBERI UCAPAN & MENYAMBUT PERAYAAN AGAMA BUKAN ISLAM

 

Islam adalah agama yang menyeru kepada kebaikan merentasi perbezaan warna kulit, bangsa mahupun agama. Bahkan dalam Islam, Allah SWT memerintahkan hamba Nya untuk bersikap adil kepada sesiapa sahaja kerana sikap demikian merupakan tanda ketaqwaan kepada Nya. Allah jua tidak melarang para hamba Nya untuk berbuat baik kepada umat manusia termasuk kepada mereka yang bukan beragama Islam. Secara prinsip, agama Islam sangat menghormati segala perbezaan yang wujud dengan cara memberikan hak yang bersesuaian dengan kehendak syariat Islam. Setiap perbezaan tersebut merupakan ketentuan Allah bertujuan untuk mengenali selain menghormati antara satu sama lain.

Berlatarkan kepelbagaian agama yang ada, timbul persoalan tentang sejauh mana Islam memberikan ruang untuk saling mengenali antara satu sama lain. Apakah diatas nama perkenalan ini, umat Islam dibolehkan untuk memberi ucapan dan turut diharuskan menyertai atau mengambil bahagian dalam perayaan agama lain sebagai bukti perkenalan dan penghormatan tersebut. Persoalan seperti ini sememangnya akan bermain di minda kita apatah lagi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan agama. Bagi tujuan menjawab persoalan tersebut, kita harus memahaminya dalam 2 kerangka utama. Pertama, hukum memberikan ucapan perayaan kepada mereka yang bukan Islam. Kedua, hukum menyambut atau menghadiri majlis sambutan perayaan tersebut.




Dalam kerangka pertama berkenaan hukum memberikan ucapan perayaan agama lain, secara asasnya Islam sangat melarang kita daripada melakukan sebarang perbuatan termasuk yang berbentuk ucapan yang bermaksud mengiktiraf, mengagungkan atau membesarkan agama lain. Apatah lagi bertambah jelas haramnya apabila kita sebagai umat Islam menyertai mereka yang bukan Islam melakukan ritual atau sembahan menyeru Tuhan selain Allah. Larangan dan tegahan tersebut dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 106 yang bermaksud :

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar"

Pada masa yang sama, Islam turut memerintahkan umatnya untuk memberikan ucapan yang baik kepada mereka yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini bermakna, Islam menyuruh kita membalas ucapan yang baik kepada mereka yang berbuat baik kepada kita. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 86, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

Namun begitu, dalam persoalan hukum memberikan ucapan perayaan bagi agama lain, para ulama telah berbeza pandangan tentangnya. Ini kerana, sebahagiannya melihat ucapan tersebut sebagai suatu pengiktirafan kepada agama tersebut dan sebahagian lain lagi menganggap ucapan tersebut sebagai nilai berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam. Untuk itu, terdapat dua pandangan dalam soal ini. Pertama, sebagaimana yang dipegang oleh para imam mazhab yang empat, hukumnya adalah haram orang Islam memberikan ucapan perayaan agama lain. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Iqtida al-Sirat al-Mustaqim, juga dinyatakan pendirian yang sama oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, Ahkam Ahl al-Zimmah, dengan tegas menyatakan hukum haram kerana perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai kekafiran mereka.




Kedua, hukumnya adalah harus untuk orang Islam memberikan ucapan sempena perayaan agama lain. Pandangan kedua ini seperti yang dipegang oleh Imam al-Bulqini, Imam al-Mardawi dan Imam al-'Izz Abd al-Salam. Selain itu turut berpandangan sama oleh kebanyakan ulama kontemporari seperti al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mustafa al-Zarqa, Syeikh Abdullah bin Bayyah, Syeikh al-Buti dan lain-lain. Pandangan hukum harus ini dibina diatas beberapa alasan antara lainnya ialah kerana tidak ada dalil yang khusus dalam al-Quran dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan memberi ucapan. Selain itu, Syeikh Mustafa al-Zarqa' menyatakan dalam kitabnya, Fatawa Mustafa al-Zarqa', mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia, dan Islam tidak pernah melarang hal ini. Syeikh Muhammad Rasyid Redha pula dalam kitabnya Majallah al-Manar, menyatakan bahawa maslahah rakyat sesebuah negara tertakluk kepada hubungan sesama mereka. Akhlak yang buruk jika disandarkan kepada agama merupakan sebesar-besar fitnah dan tohmahan terhadap agama. Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik.

Demikian hukum memberikan ucapan perayaan bagi agama lain. Melihat kepda kedua-dua pandangan tersebut, mengambil jalan tengah adalah lebih selamat dengan melihat kepentingan peribadi untuk memberikan ucapan. Sekiranya kita punyai rakan yang berlainan agama, memberikan ucapan kepadanya adalah diharuskan dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan kufur. Memadai dengan memberikan ucapan tahniah atau dengan ucapan lain yang bermaksud menggembirakannya dan bukannya mempunyai unsur kekufuran. Begitu juga sebagai pemimpin masyarakat di pelbagai peringkat, diharuskan memberikan ucapan yang tidak bersifat kekufuran. Ucapan tersebut dibuat bertujuan sebagai posisi pemimpin yang harus menyantuni komuniti orang bukan Islam. Namun sebaliknya, jika kita tiada kepentingan untuk mengucapkannya, berdiam itu lebih baik bagi kita.

Selain persoalan memberikan ucapan, turut menjadi polimik ialah hukum menyertai atau menyambut perayaan agama lain. Dalam hal ini, harus kita fahami bahwa meraikan perayaan agama lain bukanlah dari budaya Islam. Hal tersebut juga tidaklah dituntut oleh Islam untuk turut serta meraikannya. Apatah lagi hukumnya jelas adalah haram jika kita meraikan perayaan agama lain yang bermaksud seolah-olah kita telah meredai kekufuran mereka dengan menyertainya. Perbuatan tersebut juga termasuk dalam bab larangan menyerupai orang kafir. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 72 yang bermaksud :

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.




Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan sebagai hari-hari perayaan orang musyrik. Oleh yang demikian, ayat ini menjelaskan bahawa Allah memuji para hamba Nya yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik. Namun begitu, tidaklah salah meraikan sesuatu perayaan yang berbentuk budaya semata-mata seperti perayaan Tahun Baharu Cina. Adapun tentang menghadiri rumah terbuka sempena perayaan yang dianjurkan oleh orang bukan Islam, selagi mana dalam majlis tersebut tidak disertai dengan ritual keagamaan dan tidak dihidangkan makanan dan minuman yang haram, maka diharuskan untuk kita hadir memenuhi jemputan. Oleh itu, secara rumusan mudahnya, umat Islam dilarang untuk menyambut perayaan yang mempunyai kepercayaan yang signifikan terhadap sesuatu agama tersebut.

Demikianlah penjelasan berkenaannya. Apa yang boleh kita simpulkan adalah hukum memberikan ucapan sempena perayaan agama lain terletak kepada kepentingan peribadi. Sekalipun kita mempunyai kepentingan tersebut, memadailah dengan ucapan yang tidak berunsur kekufuran. Begitu juga hukum menyambut sesuatu perayaan terletak kepada hakikat perayaan tersebut. Perayaan yang mempunyai unsur kekufuran adalah dilarang untuk umat Islam sertai. Sebaliknya jika sesuatu perayaan tersebut sekadar berbentuk kebudayaan dan adat tradisi yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam, maka diharuskan untuk menghadirinya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Islam tidak mengiktiraf kebenaran mana-mana agama selain Islam sahaja yang benar. Oleh itu, kita dilarang untuk melakukan sebarang bentuk upacara dan ritual yang mengiktiraf akan kekufuran mereka yang bukan Islam. Semoga Allah meredhai kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan