Rabu, 13 November 2024

BIDADARI SEBAGAI MAKHLUK ISTIMEWA YANG DIJANJIKAN ALLAH

 

Sesungguhnya kecantikan adalah sesuatu yang menjadi fitrah bagi manusia menyukainya. Satu orang manusia dianggap normal jika dirinya terpegun, tergamam ataupun terpukau dengan melihat sesuatu yang bersifat cantik. Pada diri manusia itu sendiri juga telah tertanam kecantikan rupa paras yang menjadi bukti kehebatan dan keagungan ciptaan Allah SWT. Malah Allah SWT juga sebagai Maha Pencipta akan segalanya sangat menyukai hal-hal yang cantik dan Allah itu sendiri bersifat dengan kecantikan. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai kecantikan".

Di dalam banyak penciptaan makhluk oleh Allah yang memperlihatkan keindahan dan kecantikannya yang tersendiri, suatu makhluk yang sangat dikenali di syurga dan dibicarakan di dunia, yang turut menjadi dambaan para lelaki soleh di syurga, iaitulah makhluk Allah yang disebutkan sebagai Bidadari. Penciptaan bidadari atau disebut juga sebagai wanita syurga, merupakan suatu bentuk bukti akan kekuasaan Allah SWT yang menzahirkan kehebatan Nya menjadikan makhluk yang sangat cantik dan menarik. Kecantikan bidadari di syurga adalah sesuatu yang tidak boleh digambarkan dengan apa jua makhluk di dunia ini. Oleh kerana itu, bagi mengetahui hakikat tentang sifat dan ciri-ciri yang ada pada bidadari, tidak dapat tidak, kita mesti merujuk kepada sumber wahyu Allah, al-Quran dan al-Sunnah.




Bidadari berdasarkan al-Quran, disebut di dalam bahasa Arab dengan perkataan bersifat jamak iaitu حُور yang bermaksud bidadari. Kata jamak حُور adalah dari perkataan حَوْراء. Menurut al-Wahidi di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Basit, beliau menyatakan bahawa seseorang wanita tidak dipanggil حَوْرَاء kecuali jika warna kulit tubuhnya putih bersih. Ini sejajar dengan pandangan Muqatil yang juga dinukilkan oleh al-Wahidi, Muqatil menyebutkan bahawa makna perkataan حَوْرَاء bermaksud berkulit putih bersih. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas kepada bahawa ungkapan bidadari yang diungkapkan di dalam al-Quran sudah menjelaskan secara tidak langsung sifat dan ciri-ciri keindahan dan kecantikan yang dimiliki. Selain itu, Allah SWT juga telah memberikan penjelasan perincian mengenai bidadari di dalam beberapa ayat di dalam al-Quran. Antara lain Allah menyatakan mengenai kecantikan mata bidadari yang tidak pernah melihat perkara yang haram.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam surah Surah Ash-Shaaffaat ayat 48-49, firman Nya yang bermaksud :

“Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jeli matanya, seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.”

Dalam ayat lain, surah ar-Rahman ayat 70, Allah SWT berfirman yag bermaksud :

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.”

Selain itu di dalam ayat yang lain, Allah SWT menyifatkan bidadari syurga sebagai makhluk yang sentiasa menjaga pandangannya daripada melihat perkara yang haram, malah mereka juga tidak pernah disentuh oleh mana-mana penghuni syurga yang lain termasuklah golongan jin. Firman Allah SWT dalam surah ar-Rahman ayat 56 yang bermaksud :

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin.”




Demikian beberapa ayat-ayat di dalam al-Quran yang menceritakan tentang keindahan dan kecantikan makhluk yang bernama bidadari syurga ini. Selain al-Quran, terdapat juga penceritaan berkaitan bidadari syurga melalui lisan baginda Rasulullah SAW. Antara lain sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”

Dalam hadith yang lain riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.”

Demikian sebahagian penceritaan mengenai bidadari menurut lisan baginda Rasulullah SAW. Berdasarkan penceritaan daripada al-Quran dan al-Sunnah, ternyata bidadari syurga memiliki nilai kecantikan dan keindahan yang tidak terperi nilainya. Penciptaan makhluk istimewa yang bernama bidadari ini adalah suatu kurniaan Allah kepada para hamba Nya yang bertaqwa. Ini sebagaimana yang dinyaakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali'Imran ayat 15, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya "

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT telah menyebut tentang ganjaran dan balasan baik kepada para hamba Nya yang bertaqwa dengan disediakan bagi mereka beberapa syurga yang terdapat sungai yang mengalir selain dikurniakan pasangan yang terdiri daripada bidadari yang bersih dan suci serta akan mendapat keredhaan Nya. Selain itu, Allah juga turut menjadikan para bidadari syurga ini sebagai teman orang bertaqwa di syurga kelak. Firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 54 yang bermaksud :

"Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya".

Hakikat penciptaan bidadari yang dijadikan sebagai makhluk isitmewa ini turut dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW sebagai ganjaran untuk orang yang beramal soleh. Ini sebagaimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.”




Selain itu, Allah SWT turut menjanjikan bidadari kepada beberapa golongan yang tertentu. Antaranya ialah mereka yang telah syahid terkorban di jalan Allah bagi mempertahankan dan menegakkan agama Nya. Ini dapat dilihat dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada al-Miqdam RA, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Orang yang mati syahid di sisi Allah SWT mempunyai enam keutamaan: diampunkan dosanya ketika darahnya tertumpah untuk pertama kalinya (pertempuran), diperlihatkan tempatnya di dalam Syurga, diselamatkan daripada azab kubur, diberi ketenangan daripada ketakutan ketika dibangkitkan dari kubur, diletakkan di atas kepalanya makhkota daripada permata yang mana permata itu lebih baik daripada dunia dan isinya, dikahwinkan dengan 72 isteri daripada bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada 70 orang daripada ahli keluarganya”.

Berdasarkan hadith ini, terdapat enam kelebihan bagi mereka yang syahid terkorban di jalan Allah. Antara lain akan dikahwinkan dengan 72 bidadari di akhirat kelak. Menurut Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam kitabnya, Mirqah al-Mafatih, ketika mensyarahkan maksud hadith ini, beliau menyebutkan bahawa dikurniakan bagi orang syahid dengan cara perkahwinan seramai 72 bidadari. Bilangan tersebut menunjukkan kepada bilangan yang ditentukan (تحديد) bukannya menunjukkan bilangan yang banyak (تكثير). Ia juga difahami bahawa 72 bidadari adalah pemberian yang paling sedikit dan tidak menjadi masalah jika mereka itu dikurniakan lebih daripada itu iaitu lebih daripada 72 bidadari. Selain itu, Allah juga turut menjanjikan bidadari kepada mereka yang menahan sabar.

Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith berstatus hasan riwayat Abu Daud, daripada Muaz bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang menahan kemarahannya dalam keadaan dia mampu untuk melaksanakannya. Maka Allah Azza Wa Jalla akan memanggilnya di hari Akhirat di hadapan makhluk-makhluk-Nya sehingga dia diberi pilihan oleh Allah untuk memilih mana-mana bidadari yang dikehendakinya.”

Begitulah hakikat penciptaan makhluk istimewa bergelar bidadari ini. Walau apapun yang kita cuba gambarkan tentang kejelitaan dan kecantikan para bidadari, Allah dengan segala kekuasaan dan keagungan Nya jauh lebih hebat menjadikan cantiknya bidadari berbanding apa yang cuba digambarkan oleh akal manusia yang terbatas. Oleh itu, marilah sama-sama kita sentiasa berusaha menjadi hamba Nya yang bertaqwa. Sememangnya tempat dunia yang sementara ini dipenuhi pancarobanya namun yakinlah segala detik kepayahan, kesukaran dan kesengsaraan kita dalam mengabdikan diri kepada Nya tidak akan ada yang bersifat sia-sia. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan