Selasa, 26 November 2024

QARUN DAN KEKAYAAN YANG MENIPUNYA

 

Katakan sahaja siapa yang tidak mahu hidupnya dilimpahi harta dan kemewahan. Kekayaan harta benda itu hampir sahaja membuatkan manusia buta akan segalanya. Kerana harta kekayaan, ada yang sanggup menggadaikan maruah di jalanan. Ada juga yang sanggup membunuh nilai persaudaraan dan tidak hairan lah jika ada yang sehingga sanggup memutuskan tali ikatan kekeluargaan. Permusuhan sesama manusia jika dihitung sebabnya, tidak kurang puncanya adalah akibat perebutan harta. Walhal, harta benda tidak akan kemana bahkan boleh menjadi fitnah di alam sana. Namun begitu, bukanlah bermakna menjadi kaya itu jahat belaka. Ada juga yang kaya tetapi pemurah hatinya. Pun begitu, satu kisah menarik tentang orang kaya yang telah dirakamkan dalam al-Quran iaitulah kisah Qarun yang tertipu dengan hartanya.

Perkataan "Qarun" merujuk kepada nama seseorang yang hidup pada zaman Nabi Musa AS. Kisah Qarun dengan kekayaan dan kemewehannnya antara salah satu peristiwa yang Allah rakamkan kisahnya untuk iktibar dan pengajaran bagi yang mahu mempedulikannya. Qarun merupakan manusia yang datang dari kaum Nabi Musa AS. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Qasas ayat 76, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa.”




Berdasarkan ayat al-Quran juga, Qarun antara manusia yang hidup sezaman dengan Firaun dan Haman. Pada waktu ketika itu, Allah SWT telah mengutuskan Nabi Musa AS sebagai pemberi ingatan dengan membawa khabar gembira kepada yang beriman serta memberi ancaman kepada manusia yang ingkar. Nabi Musa AS telah dengan sendirinya telah berhadapan dengan Firaun, Haman dan Qarun. Kesemua mereka menolak ajaran Allah dengan penuh kesombongan. Sesungguhya Allah SWT merakamkan kesombongan mereka ini. Dalam surah Ghafir ayat 23-24, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Ia seorang ahli sihir, lagi pendusta!”

Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran, ketika beliau menafsirkan ayat tersebut, beliau menyebutkan bahawa Qarun adalah kaum Nabi Musa AS. Namun begitu, Allah SWT tidak menjelaskan tentang bilakah peristiwa dibenamkan Qarun ke dalam bumi. Hanya sahaja sebahagian ahli tafsir menyebut bahawa Qarun merupakan pegawai Firaun yang ditugaskan untuk memegang urusan Bani Israel dan diberikan harta yang banyak dan kemudian menjadi orang yang sombong. Selain itu, Ibnu Ashur menyatakan dalam kitab tafsirnya, al-Tahrir wa al-Tanwir, para ahli tafsir menyebut bahawa Qarun telah dilantik oleh Firaun sebagai ketua bagi Bani Israel di Mesir. Melalui jawatan itulah Qarun mengumpul kekayaan yang melimpah-ruah. Selain itu, Qarun yang ketika itu memiliki kuasa, dia juga berlaku zalim terhadap kaumnya disebabkan oleh kekayaannya. Kezaliman yang Qarun lakukan antara lain sewaktu berada di puncak kekayaan, orang miskin dipandang rendah dan hina, sehinggakan upah yang diberikan kepada pekerja adalah nilai yang tersangat kecil.

Qarun yang dipenuhi kekayaan tersebut dengan sombong dan angkuhnya akan memarahi orang ramai yang datang untuk meminta bantuannya. Semua ini termasuk daripada perangai orang yang telah mabuk dengan kekayaannya. Perbuatan Qarun terhadap kaumnya sendiri ini, merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima, ketimbang kezaliman Firaun terhadap orang yang bukan kaumnya sendiri. Episod kebencian Qarun terhadap Nabi Musa AS dan Bani Israel bermula apabila pengaruhnya terhadap Bani Israel mulai hilang dengan hadirnya Nabi Musa AS membawa risalah kenabian, seterusnya keluarnya mereka secara beramai-ramai dari bumi Mesir. Demikian nukilan oleh Ibnu Ashur dalam menjelaskan mengenai Qarun.

Selain itu, Imam al-Qurtubi turut menyebut tentang hubungan kekerabatan antara Qarun dan Nabi Musa AS. Dalam kitab tafsirnya, Imam al-Qurtubi menyebut al-Nakha'i, Qatadah dan ulama lain berkata bahawa Qarun adalah sepupu Nabi Musa AS. Ini berdasarkan nama penuh Qarun iaitu Qarun bin Yushar bin Qahith bin Lawi bin Ya'qub dan Musa bin 'Imran bin Qahith. Imam Ibnu Kathir pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-'Azim, menyatakan bahawa adalah pandangan jumhur (majoriti) ahli tafsir menyebutkan bahawa Nabi Musa AS adalah sepupu Qarun. Berlawanan dengan pandangan tersebut, sebahagian ulama seperti Ibn Ishaq menyatakan bahawa Qarun adalah bapa saudara Nabi Musa AS. Selain itu, ada yang menyebut Qarun adalah anak lelaki daripada ibu saudaranya. Demikian perbezaan pandangan mengenai nasab keturunan Qarun.




Kekayaan dan kemewahan harta Qarun dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qasas ayat 76, firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)".

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan kepada kita bahawa Qarun menjadi sombong dan angkuh adalah kerana harta kekayaan yang disangka miliknya. Sikap bermegah-megah dan berlagak sombong merupakan sikap yang dibenci oleh Allah SWT. Selain itu, ayat ini juga secara tidak langsung menjelaskan tahap kekayaan yang dimiliki oleh Qarun sehingga digambarkan betapa beratnya anak-anak kunci Qarun yang terpaksa dipikul oleh ramai orang. Dalam hal ini, para ahli tafsir berbeza pandangan mengenai jumlah manusia yang memikul anak kunci kekayaan Qarun. Ada yang menyebut 20 orang, ada pula yang menyebut 40 orang, selain ada yang menyebut 70 orang. Berapa pun jumlah manusia yang memikul anak kunci tersebut, hakikatnya betapa maha kayanya Qarun dengan segala hartanya.

Selain itu, Allah SWT merakamkan ungkapan angkuh Qarun. Ini sepertimana yang terdapat dalam surah al-Qasas ayat 78, firman Nya yang bermaksud :

"Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”

Berdasarkan ayat ini, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, sebahagian ada yang menyebut bahawa maksud perkataan Qarun adalah harta yang dia peroleh kerana ilmu yang dia miliki. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa maksud perkataan ilmu adalah Allah tahu bahawa Qarun berhak mendapat harta tersebut. Dalam surah dan ayat yang sama, Allah SWT menjawab jawapan angkuh Qarun tersebut dengan berfirman yang bermaksud :

"(Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)".




Kekayaan harta yang dimiliki oleh Qarun telah memakan dirinya sendiri. Qarun telah ditipu oleh kekayaan dunia. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran bagaimana pengakhiran riwayat hidup Qarun yang dihina. Allah SWT berfirman dalam surah al-Qasas ayat 81 yang bermaksud :

“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya menyebutkan bahawa daripada Ibn Abbas dan al-Suddi, bahawasanya Qarun telah memberikan harta yang banyak kepada seorang pelacur dengan syarat dia harus mengatakan kepada Musa di hadapan orang ramai: “Kamu telah melakukan begini dan begini kepadaku.” Diceritakan bahawa pelacur itu mengatakan hal itu kepadanya. Musa meninggalkannya dalam keadaan gementar, lalu solat dua rakaat. Setelah itu, dia menemui wanita tersebut dan memintanya untuk bersumpah atas perkataannya tersebut dan menanyakan apa yang menyebabkannya melakukan hal itu. Wanita tersebut menyebut bahawa Qarun lah yang menyuruhnya untuk melakukan hal tersebut. Kemudian wanita itu beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ketika itulah, Musa sujud kepada Allah dan berdoa kepada Allah untuk kebinasaan Qarun. Allah SWT mewahyukan kepadanya: “Aku telah memerintahkan bumi untuk mentaati perintahmu.” Kemudian Musa memerintahkan bumi untuk menenggelamkan Qarun. Dan hal itu pun menjadi kenyataan.

Demikianlah kisah Qarun yang telah ditipu oleh kekayaan dan kemewahan dunia. Harus diingatkan bahawa Islam bukanlah suatu ajaran agama yang anti kepada kekayaan dan kemewahan. Namun Islam mempunyai garis panduan yang merupakan persempadana antara nilai iman dan kufur. Oleh itu, marilah kita mengambil pelajaran menginsafi akan hakikat dunia ini dengan menyedari bahawa tiada satu pun hak mutlak milik kita kecuali Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan