Kebanyakan manusia mempunyai naluri fitrah yang suka dipuji,
disanjung malah diberikan pengiktirafan terhadap dirinya. Sesuatu yang semula
jadi dalam kehidupan ini bila kita dipuji, maka kegembiraan akan terzahir pada
wajah yang berseri-seri. Tanpa menafikan wujud sebahagian manusia lain yang
tidak suka atau kurang gemar dipuji, namun mendengar akan dirinya dipuji, tentu
dirinya tidak dapat menyembunyikan lagi perasaan gembira dan seronok diatas
pujian yang diberikan. Islam juga tidak menghalang sesama manusia saling
menghargai dengan memberi pujian dan pengiktirafan. Tetapi pada masa yang sama,
Islam meletakan garis merah atau batasan dalam memuji agar tidak keterlaluan
dalam kehidupan.
Perkataan “Selawat” berasal daripada kosa kata bahasa Arab
yang membawa maksud doa. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam
surah al-Taubah ayat 103, firman Allah SWT yang bermaksud :
"...Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu
menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui".
Selawat adalah suatu ibadah yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagai
suatu bentuk pujian, penghormatan dan pengiktirafan Allah kepada utusan Nya,
Nabi Muhammad SAW. Amalan berselawat digambarkan sebagai suatu amalan yang
mempunyai kedudukannya yang agung dan besar nilainya. Hal ini kerana Allah SWT
memulakan titah perintah untuk para hamba Nya berselawat kepada Nabi dimulai
dengan zat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu dan kemudiannya disusuli
dengan perintah untuk sekalian hamba Nya. Hal ini sebagaimana yang tercatat di
dalam al-Quran, Allah Azza Wa Jalla menyebutkannya dalam surah al-Ahzab ayat
56, firman Nya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala
penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang
beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya".
Dalam usaha memahami maksud ayat tersebut, telah berkata Syeikh
al-Maraghi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, dengan menyebutkan
bahawa ayat tersebut bermaksud :
"Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat
rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan.
Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu
juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan
lidahmu".
Selain itu, al-Qadhi Iyadh menjelaskan dalam kitabnya, al-Syifa
bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, beliau menyatakan bahawa menurut pandangan Ibn
Abbas RA, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa
melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan
menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat
kepada Nabi. Demikian apa yang telah dinukilkan. Ungkapan selawat keatas Nabi
Muhammad SAW selain dianggap sebagai suatu rahmat dan doa, ianya juga
disebutkan sebagai pujian Allah kepada baginda Nabi dihadapan para malaikat.
Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Abu al-'Aliyah dengan beliau
menyebutkan bahawa selawat Allah kepada Nabi Muhammad adalah dalam bentuk
pujian kepada baginda Nabi di hadapan para malaikat. Manakala selawat para
malaikat kepada baginda Nabi merupakan dalam bentuk doa.
Berdasarkan penjelasan ini, dapat kita rumuskan bahawa selawat
Allah kepada baginda Nabi adalah berbentuk pujian, kerahmatan, keberkatan
selain keampunan kepada baginda. Selawat para malaikat pula berupa doa kepada
Allah memohon keberkatan dan keampunan untuk baginda. Manakala selawat umat
Islam keatas baginda Nabi pula bermaksud memohon kedudukan yang baik,
penghormatan dan kedudukan yang tinggi untuk baginda Nabi SAW. Selain itu, jika
diamati bersama, pada ungkapan selawat itu juga mempunyai ucapan salam keatas
Nabi. Menurut al-Qadhi Iyadh, ucapan salam yang terdapat di dalam ungkapan
selawat membawa beberapa maksud. Antara lain maksud salam tersebut ialah semoga
keselamatan menjadi milik Nabi dan selalu bersama baginda. Maksud kedua, semoga
Zat yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untuk
bagjnda. Maksud ketiga pula ialah pasrah dan tunduk.
Selain memahami maksud dan kedudukan martabat amalan berselawat,
perlu dijelaskan juga bagaimana cara untuk berselawat keatas Nabi. Dalam hal
ini, para sahabat baginda Nabi pernah bertanya kepada baginda tentang cara
untuk berselawat. Maka baginda pun mengajarkannya. Perkara ini sepertimana yang
tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ka'ab bin 'Ujrah RA, sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Katakanlah :
اللَّهُمَّ صَلِّ علَى مُحَمَّدٍ، وعلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كما صَلَّيْتَ
علَى إبْرَاهِيمَ و علَى آلِ إبْرَاهِيمَ، و بَارِكْ علَى مُحَمَّدٍ، وعلَى آلِ
مُحَمَّدٍ، كما بَارَكْتَ علَى إبْرَاهِيمَ و علَى آلِ إبْرَاهِيمَ في
العَالَمِينَ، إنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Maksudnya :
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga
Muhammad sebagaimana engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim,
sesungguhnya engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah
Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau telah memberkati keluarga
Ibrahim, sesungguhnya engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia”.
Inilah ungkapan selawat yang sahih sepertimana yang ditunjukkan
oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya,
Fath al-Bari menyebutkan bahawa :
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para sahabat RAnhum
tentang kaifiyah (cara membaca selawat) ini, setelah mereka (para sahabat)
bertanya (kepadanya), (ini) menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang
paling utama, kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang
paling mulia dan paling sempurna”.
Amalan berselawat keatas Nabi dengan lafaz ungkapan seperti yang
dituntut dan dikehendaki oleh Allah Azza Wa Jalla mempunyai kedudukan dan
kelebihan tertentu sebagaimana yang dijelaskan Rasul Nya, Muhammad SAW. Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
“Barangsiapa berselawat ke atas aku satu kali, maka Allah membalasnya
(dengan merahmatinya dan Allah memberi ganjaran pahala kepadanya sebanyak) 10
kali dan (Allah) menghapuskan dosa-dosanya".
Selain itu dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi dinilai hasan,
sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah
yang paling banyak berselawat ke atas ku.”
Amalan berselawat keatas Nabi SAW juga dapat menghilangkan kedukaan
dan menghapuskan dosa. Ini sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith hasan
sahih riwayat al-Tirmizi, daripada Ubai RA, beliau berkata yang bermaksud :
"Wahai Rasulullah, aku banyak berselawat ke atasmu, sebanyak
mana yang perlu aku lakukan untukmu ? Baginda bersabda : Terserah kepadamu. Aku
bertanya, seperempat ? Baginda bersabda : Terserah kepadaMU, dan kalau boleh
ditambah adalah lebih baik untukmu. Aku bertanya lagi : Kalau separuh? Baginda
menjawab : Terserah kepadamu, kalau engkau tambah, itu adalah lebih baik
untukmu. Aku bertanya lagi : Dua pertiga? Baginda menjawab : Terserah kepadamu,
dan kalau engkau tambah adalah lebih baik untukmu. Aku bertanya lagi : Aku
jadikan semuanya untukmu ? Baginda menjawab : "Kalau begitu, akan
dihilangkan dari engkau dukacita dan dosa engkau akan diampuni”.
Demikianlah tentang apa adanya dengan selawat. Secara mudah untuk
difahami, selawat merupakan suatu ibadah yang disyariatkan kepada orang-orang
beriman. Perbuatan berselawat ini telah dimulai oleh Allah dan para malaikat
yang kemudiannya diperintahkan kepada orang beriman. Amalan berrselawat keatas
Nabi yang dilakukan oleh orang beriman bermaksud mendoakan kesejahteraan,
keselamatan, serta menambah kemuliaan dan penghormatan untuk baginda Nabi SAW.
Seringkali masyarakat beranggapan dengan berselawat bermaksud memohon
pertolongan Nabi. Anggapan tersebut tidak benar kerana tempat untuk kita
meminta hanyalah kepada Allah Azza Wa Jalla. Berselawatlah sebagaimana yang
diajarkan oleh baginda Nabi. Memadai dengan apa yang dibawa oleh baginda.
Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan