Khamis, 7 November 2024

DIMANAKAH ALLAH BERADA ?

Persoalan mengenai ketuhanan adalah sesuatu yang bersifat ghaib atau dari sudut istilahnya disebut sebagai perkara Sam'iyyat. Ini kerana hakikat kewujudan dan keberadaan Tuhan tidak dapat dirasai dengan pancaindera yang dimiliki oleh manusia. Meski fungsi mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hidung untuk berbau dan tangan untuk menggapai, namun kesemua amugerah pancaindera ini tidak boleh membantu umat manusia untuk merasai secara zahir keberadaan Tuhan. Oleh yang demikian, kerana persoalan mengenai ketuhanan ini adalah bersifat ghaib, kita tidak dapat lari dari mengetahui akan hakikat ketuhanan melalui sumber yang autentik dan paling berautoriti ialah wahyu Allah, al-Quran dan al-Sunnah.

Persoalan mengenai "Dimanakah Allah Berada" bukanlah soalan yang baharu diperbincangkan. Malah dalam tradisi keilmuan Islam telah banyak perbahasan mengenainya diperbincangkan. Soalan seperti ini adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia. Tambahan pula, apabila soalan sebegini mulai bermain di runag lingkup pemikiran anak-anak kecil yang sentiasa mahu tahu dan tahu. Persoalan mengenai "keberadaan Allah" tentunya menjurus kepada perbincangan tentang zat dan sifat Allah SWT. Maka dalam kita hendak memahami persoalan ini, kita harus bijak dalam berinteraksi dengan dalil dan hujah mengenai zat dan sifat Allah. Ini penting agar kita tidak terbelit dan terkeliru dengan aliran pemikiran yang mendahului akal sebagai timbang tara dan tidak menjadikan dalil wahyu sebagai kayu ukur konkrit dalam memahami hakikat ketuhanan.

 


Untuk menjawab persoalan ini, kita akan menemui sekurang-kurangnya dua jawapan berbeza yang datangnya dari dua aliran mazhab akidah ahlis Sunnah wal Jamaah terbesar umat Islam. Pertama, berdasarkan manhaj akidah para Salaf, apabila ditanya mengenai keberadaan Allah, maka hendaklah pertanyaan tersebut dijawab sebagaimana yang telah dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Dr. Muhammad Khalil Haras dalam kitabnya, Syarah al-'Aqidah al-Wasatiyyah Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, beliau menyatakan bahawa menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang berpegang teguh kepada manhaj al-Salaf al-Shalih, apabila seseorang itu ditanya mengenai keberadaan Allah (di mana Allah) maka hendaklah dia menjawabnya sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran dan al-hadith Rasulullah SAW yang sahih. Selain al-Quran dan al-Hadith, kesepakatan ulama juga turut menjadi asas untuk menjawab persoalan ini.

Bagi manhaj akidah Salaf, Allah SWT sesungguhnya berada di langit. Ini berdasarkan kepada dalil dan hujah yang terdapat di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan sesungguhnya Allah berada di atas Arasy. Ini sebagaimana yang terdapat dalam surah Taha ayat 5, firman Nya yang bermaksud :

 "Tuhan yang Maha Pengasih beristiwa di atas Arasy."

Selain itu, terdapat juga dalam surah as-Sajadah ayat 4 yang membuktikan bahawa Allah berada di Arasy, Firman Nya yang bermaksud :

"Allah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia beristiwa di atas ‘Arsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong mahupun pemberi syafaat selain daripada Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?"




Di dalam hadith Nabi Muhammad SAW, terdapat sekurang-kurangnya dua hadith yang menjelaskan tentang keberadaan Allah yang menjadi hujah para Salaf. Hadith pertama riwayat Muslim dan lain-lain, daripada Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami RA, bahawa Rasulullah SAW telah bertanya kepada seorang hamba wanita yang bermaksud :

"Di manakah Allah? Hamba itu menjawab: Di atas langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang yang beriman".

Berdasarkan hadith tersebut, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kitabnya, Mukhtasar al-‘Uluw (iaitu ringkasan kepada kitab al-‘Uluw oleh al-Imam al-Zahabi), beliau menyebutkan bahawa :

"Hadith ini sahih dengan tiada keraguan. Tidak ada yang meragukan hal itu kecuali orang jahil atau pengekor hawa nafsu yang setiap kali datang kepada mereka dalil dari Rasulullah SAW yang menyelisihi keyakinan sesat mereka, maka mereka langsung berusaha membebaskan diri darinya dengan mentakwil, bahkan meniadakannya. Dan apabila mereka tidak mampu, maka mereka berupaya untuk mementahkan keabsahannya seperti hadith ini yang sahih sanadnya serta disahihkan oleh seluruh ulamak hadis tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan mereka sepanjang pengetahuan saya."

Hadith kedua yang menjadi hujah dan bukti Allah berada di langit ialah dari riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Rabb (Tuhan) kami Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Maka Dia (Allah) berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni".

Berdasarkan hadith ini, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah ‘ala Ghazwil Mu’aththilah wa al-Jahmiyyah, beliau menukilkan perkataan Imam al-Syafie yang bermaksud :

"Bahawasanya Allah Azza wa Jalla di atas ‘Arasy-Nya di langit-Nya, lalu mendekat kepada makhluk-Nya menurut sebagaimana yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Allah turun ke langit dunia menurut bagaimana yang Dia kehendaki".

 


Bagi pandangan kedua mengenai keberadaan Allah, datangnya dari aliran mazhab al-Asyairah dan Maaturidiyyah. Bagi mereka, Allah SWT wujud tanpa bertempat. Menetapkan arah bagi Allah seperti atas dan bawah, kanan dan kiri, ungkapan tersebut bagi mereka seolah-olah menyamakan Allah dengan makhluk Nya. Walhal, Allah SWT tidak sama dengan makhluk Nya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 11, firman Allah SWT yang bermaksud :

 "Tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya dalam apa jua bentuk sekalipun”.

Berdasarkan ayat tersebut, jelas menggambarkan kepada kita bahawa Allah tidak boleh diserupakan atau disamakan oleh mahkhluk Nya yang memerlukan ketetapan arah. Oleh itu, dengan menyatakan arah bagi keberadaan Allah seperti Allah berada di atas langit atau Allah di atas Arasy, perkataan "atas" merujuk kepada maksud arah yang sama sekali Allah tidak bergantung padanya. Untuk itu, ungkapan Allah atas Arasy atau langit telah menjadikan kita menjisimkan Allah dan golongan menjisimkan Allah atau disebut al-Mujassimah ini adalah ditentang dilawan oeh para ulama sepanjang zaman. Maka dengan itu, bagi mazhab al-Asyairah dan Maaturidiyyah, Allah wujud tidak bertempat. Pandangan ini terbina diatas beberapa hujah dan dalil dari al-Quran dan al-Hadith. Antara nya firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 6 yang bermaksud :

"...Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk".

Ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak berhajat atau bergantung sesuatu pun. Ini termasuklah maknanya Allah tidak berhajat atau berkeperluankan kepada arah seperti atas dan bawah sebagaimana yang diperlukan oleh para makhluk Nya. Allah juga tidak berhajat kepada langit Arasy. Ini kerana Allah yang menguasai segala-galanya. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Faathir ayat 15, firman Nya yang bermaksud :

"(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji".

Selain itu, terdapat juga sekurang-kurangnya dua hadith yang menjelaskan bahawa Allah tidak berhajat kepada Arasy Nya yang merupakan makhluk ciptaan Nya. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Allah telah wujud (pada azali) sedang sesuatu selain-Nya masih belum wujud”

Berdasarkan hadith tersebut, al-Haifz Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari menyatakan bahawa maksud kana (کان) dalam lafaz yang pertama ialah keazalian (kewujudan tanpa didahului oleh ketiadaan atau kewujudan tanpa permulaan) dan dalam lafaz kedua ialah kebaharuan selepas ketiadaan (kewujudan yang didahului oleh ketiadaan atau kewujudan yang ada permulaan). Selain itu, Imam al-Baihaqi dalam kitabnya, Asma' wa Sifat, beliau menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan Allah SWT sudah wujud walaupun selain-Nya belum ada, air tidak ada, `Arasy tidak ada dan selain kedua-dua benda itu dan semua itu adalah bukan Allah. Hadith kedua sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Ya Allah! Engkau al-Awwal maka tiada suatu pun sebelum-Mu, Engkau al-Akhir maka tiada suatupun selepas-Mu, Engkau al-Zahir maka tiada suatupun di atas-Mu, dan Engkau al-Batin maka tiada suatupun di bawah-Mu”

Imam al-Baihaqi dalam kitabnya, Asma' wa Sifat, menyebutkan bahawa :

"Allah itu Maha Zahir kerana (kewujudan-Nya) boleh didapati dengan bukti-bukti (daripada kekuasaan-Nya melalui alam ini) dan Maha Batin kerana tidak boleh didapati (kewujudan-Nya) secara bertempat. Sebahagian para sahabat kami mengambil dalil tentang penafian tempat daripada Allah dengan sabdaan Nabi iaitu Engkaulah (Allah) yang Zahir dan tidak ada sesuatupun di atas-Mu dan Engkaulah yang Batindan tidak ada sesuatupun dibawah-Mu). Dan jika tiada suatupun di atas-Nya dan tiada sesuatupun di bawah-Nya maka Allah tidak berada di suatu tempat pun"

Demikianlah secara ringkas persoalan mengenai keberadaan Allah SWT. Hakikatnya persoalan ini telah menjadi khilaf (perbezaan) terbesar dan sering menjadi perbahasan sepanjang zaman. Rumusannya, terdapat dua pandangan dari dua aliran utama mazhab akidah dalam kerangka Ahlis Sunnah wal Jama'ah. Pandangan pertama seperti yang ditegaskan oleh mazhab Salaf, Allah berada di atas Arasy sebagaimana secara mutlak Allah menyebutnya di dalam al-Quran selain disokong oleh al-Hadith. Pandangan kedua oleh golongan mazhab al-Asyairah dan Maaturidiyyah menyatakan bahawa Allah berada atau wujud tanpa bertempat. Bagi mereka, meletakkan arah kepada Allah seperti menjisimkan Allah dan menyamakan Allah dengan makhluk Nya selain Allah tidak bergantung dan berhajat kepada makhluk Nya termasuklah Arasy Nya. Walau apapun, adalah lebih selamat untuk kita berpegang dengan mazhab Salaf. Ini bagi memastikan kita tidak tenggelam oleh perbahasan ilmu kalam yang memusingkan kita. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan