Sesungguhnya pada setiap inci di setiap pelusuk alam ini tiada yang
kekal sifatnya. Dunia yang dijadikan oleh Allah sebagai hamparan tempat para
makhluk Nya melata akan hancur dan musnah apabila tiba dan ketikanya. Manusia
silih berganti generasi demi generasi, keturunan turun-menurun, semuanya pasti
akan terhenti bila saatnya tiba nanti. Sementara bumi masih kemas terhampar,
pelbagai latar belakang cerita dan kisah manusia kita dengar, banyak coretan
suka duka kita lihat dan tidak kurang juga banyak pengajaran kita amati. Si
miskin dengan kisah sesaknya, si kaya dengan kisah hartanya, yang tua dirasai
pengalamannya dan yang muda ditagih tenaganya. Begitulah kehidupan ini yang
berjalan diatas aturan Nya. Tidak ada yang terlepas dari segala pengawasannya
iaitu Allah SWT.
Sebagai seorang Islam, adalah wajib untuk beriman kepada segala
ketentuan Allah yang disebutkan sebagai Qada' dan Qadar.
Beriman kepada Qada' dan Qadar adalah rukun iman yang keenam dalam Islam.
Ungkapan Qada' dan Qadar ini kedua-duanya berasal dari bahasa Arab. Para ulama
mempunyai pandangan berbeza di dalam mendefinisikan tentangnya. Namun
memadailah untuk kita memahaminya dalam kerangka yang lebih mudah untuk
diamati. Pada sudut pentakrifan bahasa, Qada' bermaksud
meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum. Dari sudut istilah pula Qada' merujuk
kepada maksud perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluk
Nya meliputi alam, tumbuh-tumbuhan, manusia, haiwan, jin dan iblis. Adapun
ungkapan Qadar pula menurut bahasa bermaksud menetapkan suatu
kadar yang tertentu. Pada sudut istilah pula, Qadar bermaksud pelaksanaan
sesuatu perkara mengikut ketentuan Allah SWT sejak azali.
Secara ringkas, boleh kita fahami dengan menyatakan bahawa Qadar
adalah suatu ketentuan dan Qadar pula adalah pelaksanaan terhadap perkara yang
ditentukan. Kedua-dua gabungan ungkapan Qada' dan Qadar ini disebutkan sebagai
takdir. Takdir yang ditentukan oleh Allah melalui Qada' Nya mempunyai dua
bahagian. Pertama, Qada' Mubram. Ianya difahami sebagai sesuatu
keputusan Allah yang tidak boleh diubah sama sekali. Misalnya seperti
kelahiran, kematian dan keturunan. Dalam hal tersebut, para makhluk khususnya
manusia tidak diberikan pilihan untuk memilih. Ini bermaksud sebelum kita
dilahirkan, kita tidak boleh memilih untuk lahir dalam keturunan apa dan bangsa
apa. Begitu juga kematian, kita tidak diberi pilihan untuk mati pada bila
masanya dan dimana pula tempatnya. Kedua, disebutkan sebagai Qada'
Muallaq atau Ikhtiar. Ianya membawa maksud ketentuan yang boleh diubah
melalui usaha dan tindakan manusia seperti rezeki, jodoh dan seumpamanya. Ini
bermaksud manusia boleh mengubah nasibnya dari hidup dalam kemiskinan kearah
hidup dalam kekayaan.
Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan, maka maksud beriman
kepada Qada' dan Qadar boleh difahami sebagai mempercayai dan meyakini
dengan sesungguhnya Allah SWT lah yang menentukan setiap perkara yang berlaku
kepada makhluk dengan ilmu dan kehendak Nya. Maka dengan itu kita percaya
segala perkara tertakluk kepada kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Di dalam
al-Quran, Allah SWT menjelaskan kepada kita hakikat setiap penciptaan oleh Nya
adalah berlaku menurut takdir yang ditentukan Nya. Ini sebagaimana firman Allah
SWT dalam surah al-Qamar ayat 49, firman Nya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut
takdir (ketentuan) yang telah ditentukan".
Dalam firman Allah yang lain, seperti yang terkandung dalam surah
al-Furqan ayat 2, firman Allah SWT yang bermaksud :
"...Dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu
menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang
sempurna".
Begitu juga di dalam hadith, dijelaskan mengenai ketentuan takdir
Allah SWT. MIsalnya sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“…Jika sesuatu menimpamu, maka janganlah mengatakan, ‘Seandainya
aku melakukannya, nescaya akan demikian dan demikian.’ Tetapi ucapkanlah,
‘Sudah menjadi ketentuan Allah, dan apa yang dikehendakinya pasti
terjadi…"
Selain itu, hadith juga menjelaskan tentang kewajiban sebagai seorang Islam untuk beriman dengan mempercayai dan meyakini ketentuan Allah SWT yang disebutkan sebagai Qada' dan Qadar. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Bahwa engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya,
kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir
sama ada yang baik maupun buruk."
Demikian bagaimana hadith ini menjelaskan kepada kita akan hujah
dan dalil wajib bagi orang Islam untuk beriman kepada Qada' dan Qadar. Ini
bermakna keimanan seorang Islam akan terjejas atau rosak sekiranya ada yang
menolak untuk beriman kepada Qada' dan Qadar. Oleh itu, bagi mereka yang
menolak tentang kewajiban beriman kepada Qada' dan Qadar, ianya adalah suatu
kesalahan yang besar dan perbuatan tersebut seolah-olah memperlekehkan Allah
kerana tidak berkuasa menentukan takdir kehidupan para makhluk Nya. Walau pun
di dalam keilmuan Islam, para ulama berbeza dalam banyak hal mengenai pentakrifan
dan sifat Qada' dan Qadar, namun hal itu tidaklah sehingga membawa kepada sebab
untuk menolak rukun iman yang keenam ini. Untuk itu, setiap manusia yang
bergelar muslim adalah wajib untuk beriman kepada segala ketentuan Nya sama ada
baik mahupun buruk.
Dalam hal lain, apabila kita berbicara mengenai takdir, tidak
kurang ramai pula yang menanggap takdir sebagai paksaan Tuhan terhadap hamba
Nya. Persoalan sebegini tidak boleh dipandang remeh. Ini kerana soalan tersebut
mampu membuka ruang kontroversi dan salah faham yang lebih panjang dan tidak
berkesudahan. Menjawab persoalan ini, adakah yang dinamakan takdir itu adalah
paksaan Tuhan terhadap hamba Nya, jawapannya adalah tidak. Hakikatnya, takdir
Allah bukanlah suatu bentuk paksaan kepada hamba Nya. Perkara ini telah
dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarh al-Nawawi 'ala Sahih
Muslim, beliau menukilkan daripada Imam al-Khattabi dengan menyatakan
bahawa betapa ramai dalam kalangan manusia yang dengan sangkaan bahawa Qada'
dan Qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT kepada hamba-Nya terhadap
segala apa yang telah ditakdirkan. Walhal perkara tersebut tidak terjadi
sepertimana yang disangkakan. Ini kerana maksud takdir itu ialah perkhabaran
Allah SWT berkenaan ilmu Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh
hamba Nya dan ianya terbit dari takdir Nya sama ada yang baik atau yang buruk.
Selain itu, manusia juga apabila bercakap mengenai takdir, tidak
kurang ramai juga yang menyalahi takdir dengan mendakwa segala kejahatan dan
keburukan yang ada pada peribadi manusia adalah ketentuan Allah dan bukan
pilihannya sendiri untuk menjadi jahat. Sebaliknya, kebiasaan para asatizah
(ustaz dan ustazah) yang mengajar di meja-meja kuliah seringkali mengakhiri
kuliah mereka dengan “berkata segala yang baik datang dari Allah dan yang
buruk datang dari diri saya sendiri.” Apakah benar ungkapan yang
seperti ini walhal kita semua wajib beriman akan ketentuan Nya. Pertama,
hakikat mengenai baik dan buruk kedua-duanya datang daripada Allah. Allah
jualah yang menciptakan kebaikan dan Dia lah juga yang menciptakan keburukan.
Namun begitu, adalah salah dan tidak benar untuk menyatakan diri sendiri
menjadi jahat kerana menyalahi takdir. Ini kerana sebahagian takdir hidup telah
Allah SWT berikan ruang dan peluang diatas nama usaha bagi mengubah keadaan.
Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah
al-Syura ayat 20, firman Nya yang bermaksud :
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di
akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang
dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di
dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang
Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat
kelak.”
Melalui ayat ini, jelas kepada kita dengan sesungguhnya Allah SWT
memberikan ruang dan peluang untuk para hamba Nya berubah kearah lebih baik
dengan berusaha dan sebaliknya bukan sekadar menyalahi takdirnya. Maka dakwaan
yang mengatakan takdir yang menjadkannya dirinya jahat adalah tidak betul.
Selain itu, ungkapan "segala yang baik daripada Allah dan buruk
daripada kelemahan diri manusia" adalah suatu ungkapan yang tiada
masalah selagi kita tidak menafsirkannya secara berlebihan. Ungkapan tersebut
hakikatnya lebih menepati pegangan mazhab Qadariyyah, salah satu aliran
pemikiran awal perkembangan Islam. Ini kerana menurut golongan Qadariyyah,
keburukan bukan daripada Allah. Namun golongan ini tidak menafikan bahawa Allah
mencipta keburukan. Berbeza dengan ahlus Sunnah yang berpegang bahawa segala
baik buruk datangnya daripada Allah. Penciptaan baik dan buruk adalah daripada
Allah. Demikian sedikit sebanyak mengenai Qada' dan Qadar. Semoga Allah
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan