Sabtu, 16 November 2024

MIMPI MENURUT PEMAHAMAN ISLAM

 

Sesungguhnya manusia bukanlah seperti robot yang hanya tahu melakukan kerja tanpa memerlukan masa untuk berehat. Penciptaan makhluk yang bernama manusia disifatkan sebagai lemah dan memerlukan kebergantungan untuk hidup. Maka dengan itu, hakikat yang harus diakui ialah manusia memerlukan peruntukkan masa untuk berehat. Dalam erti kata lain, adalah menjadi keperluan bagi manusia untuk tidur sebagai kerehatan bagi jasmani dan rohani. Selari dengan itu, Allah SWT telah menjadikan sifat malam itu sebagai masa atau waktu untuk manusia berehat melepaskan kepenatan seharian bekerja. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah al-Mukminun ayat 61 yang bermaksud :

"Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur".

Dalam pada manusia tidur bagi tujuan merehatkan diri, satu perkara yang sering menyapa manusia tatkala di waktu tidurnya ialah mimpi. Secara asasnya, mimpi merupakan suatu perkara yang akan berlaku kepada manusia yang sedang tidur. Berdasarkan teori sains, kejadian mimpi antara lain dinyatakan sebagai mewakili keinginan yang tidak disedari, juga dianggap sebagai tafsiran isyarat dari otak dan badan serta hasil maklumat yang dikumpul sepanjang hari. Perkataan mimpi dalam bahasa Arab disebut dengan dua istilah, pertama disebutkan sebagai al-Ru'ya (الرؤيا) dan keduanya disebut sebagai al-Hulm (الحلم). Kedua-dua istilah ini merujuk kepada maksud yang sama iaitu mimpi. Namun begitu, penggunaan kedua-dua istilah ini di dalam al-Quran memberikan kita kefahaman mengenai perbezaan antara keduanya.




Dalam al-Quran, perkataan al-Ru'ya disebut sebanyak tujuh kali dan kesemua tujuh kali tersebut membawa kepada makna mimpi yang berupa wahyu atau ilham. Sebagai contoh, di dalam surah al-Isra' ayat 60, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu, “Sungguh, (ilmu) Tuhanmu meliputi seluruh manusia.” Dan Kami tidak menjadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon yang terkutuk (zaqqum) dalam Al-Qur’an. Dan Kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka".

Manakala ungkapan al-Hulm pula disebut sebanyak 15 kali dan mempunyai makna yang pelbagai. Sebagai contoh, dalam surah Yusuf ayat 44, Allah menyebutkan perkataan al-Hulm sebagai mimpi. Selain itu, pada ayat 32 dalam surah al-Thur, al-Hulm disebut sebagai maksud fikiran manakala dalam surah al-Nur ayat 58 dan 59, al-Hulm disebut sebagai baligh. Begitu juga dalam surah al-Isra ayat 44, perkataan al-Hulm disebut sebagai maksud lembut. Oleh itu, pemahaman perkataan al-Hulm perlulah terlebih dahulu memahami kerangka konteks ayat tersebut agar kita tidak salah memahaminya. Ini juga sekaligus mengajak umat manusia untuk lebih teliti dalam berbicara soal mimpi. Sebahagian manusia beranggapan mimpi sekadar permainan mimpi dan sebahagian lain pula ada yang berpandangan sesuatu mimpi tersebut membawa alamat atau petanda. Dalam pelbagai anggapan yang bermain di fikiran, syariat Islam telah memberikan panduan serta menjelaskan keadaan mimpi yang dialami oleh umat manusia.

Fenomena mimpi dapat dibahagikan kepada dua keadaan. Keadaan pertama, dinyatakan sebagai mimpi yang baik yang disebut dengan istilah al-Ru'ya. Manakala keadaan kedua dinyatakan sebagai mimpi yang buruk yang disebut dengan istilah al-Hulm. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Qatadah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Mimpi yang baik itu berasal daripada Allah, sedangkan mimpi buruk itu datang daripada syaitan. Jika salah seorang daripada kamu bermimpi buruk atau dia benci, maka hendaklah ia meludah kecil ke arah kirinya sebanyak tiga kali dan memohon perlindungan kepada Allah (ta’awwudz) daripada keburukan mimpinya tersebut. Sesungguhnya mimpi buruk itu tidak akan mampu mendatangkan bahaya padanya."




Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa sesuatu mimpi yang dialami oleh manusia boleh datang dengan pelbagai tujuan dan maksud bergantung kepada keadaan mimpi tersebut. Selain itu, berdasarkan penjelasan oleh baginda Nabi SAW, kejadian mimpi boleh dikategorikan kepada tiga jenis. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.".

Hadith ini menjelaskan bahawa keadaan mimpi yang dialami oleh manusia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, mimpi yang baik dan benar, yang datangnya daripada Allah SWT. Kedua, mimpi yang buruk dan dusta, yang datangnya daripada permainan syaitan. Ketiga, mimpi yang disebabkan oleh adat bagi seseorang, iaitu bermaksud mimpi kerana terbawa-bawa perkara yang disibukkan oleh fikirannya. Ini bermakna mimpi merupakan suatu isyarat yang boleh membawa maksud yang pelbagai. Namun begitu, sebahagian mimpi kadang boleh ditafsirkan dan sebahagian lagi tidak boleh ditafsirkan. Menafsirkan mimpi atau disebut sebagai takwil mimpi merupakan satu ilmu yang muktabar, padanya terkandung kaedah dan usulnya yang tersendiri. Sumber ilmu tersebut adalah berdasarkan wahyu al-Quran dan al-Sunnah selain berdasarkan qiyas dan tasybih ayat-ayat al-Quran.

Sesungguhnya ilmu menafsir mimpi disebut sebagai Ilmu al-Ta'bir atau Ilmu al-Takwil. Ilmu menafsir mimpi ini tidak boleh dipelajari oleh sebarangan manusia kecuali mereka yang diberikan kelebihan oleh Allah. Ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibn Siriin dalam kitabnya, Tafsir al-Ahlaam Li Ibni Siriin, beliau menyebut bahawa :

"Tidak semua orang mampu untuk mendalami ilmu takwil mimpi ini. Hanyasanya yang mampu untuk melakukan perkara tersebut ialah sesiapa yang diberikan hikmah dan penglihatan yang halus oleh Allah SWT bagi mengistinbath simbol-simbol dan mengaitkannya dengan realiti berdasarkan ilmunya terhadap al-Quran, sunnah Rasulullah SAW serta kemampuannya untuk melakukan qiyas dan tasybih".

Oleh yang demikian, tafsir mimpi yang dibuat hendaklah datang daripada mereka yang beramal soleh yang pada dirinya memiliki sifat jujur dan sentiasa berkata benar. Ini kerana orang yang paling benar mimpinya adalah daripada orang yang paling baik pertuturannya. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar pertuturannya".




Oleh kerana itu, hukum mempercayai tafsiran mimpi adalah dibolehkan dengan beberapa ketetapan. Antara lain ketetapan tersebut ialah tidak beriktikad atau yakin seratus peratus kebenaran mimpi yang ditafsirkan tersebut. Ini kerana mimpi manusia biasa hanyalah bersifat sangkaan yang boleh datang dengan pelbagai kebarangkalian. Selain itu, tafsiran mimpi tersebut hendaklah tidak bertentangan syariat Islam terutamanya yang menyentuh berkaitan akidah Islam. Begitu juga tafsiran mimpi yang dibuat hendaklah berdasarkan tafsiran yang dipercayai dan benar seperti yang termaktub dalam kitab-kitab muktabar, dibuat oleh orang yang soleh serta diiktiraf ilmu dan sikap kejujurannya. Juga mimpi tang ditafsirkan itu hendaklah tidak membawa kepada perkara yang bersifat negatif seperti putus asa, lemah semangat atau terlalu obses.

Satu hal terpenting berkaitan mimpi ini ialah berkenaan hukum mimpi dijadikan sebagai hujah atau sandaran dalil agama. Oleh kerana mimpi yang dialami oleh manusia biasa selain para Nabi dan Rasul adalah bersifat sangkaan (Dzanniyah), maka sebarang penafsiran atau pentakwilan mimpi adalah tidak boleh dijadikan sebagai hujah atau dalil untuk sandaran sesuatu perkara di dalam Islam. Ringkasnya, mimpi yang dialami oleh sesiapa pun termasuklah orang-orang soleh tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai hujah dalam beragama. Hal ini penting bagi menutup jalan tipu daya syaitan yang boleh memperdayakan manusia ke jalan lembah kesesatan. Demikianlah perihal mimpi yang dinyatakan oleh Islam. Segala yang dimimpikan itu barangkali baik dan barangkali buruk. Oleh itu, mohonlah petunjuk Allah. Semoga kita semua dirahmati oleh Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan