Fitrah bagi kehidupan di alam ini antaranya ialah hidup
berpasangan. Setiap makhluk yang dijadikan penciptaannya oleh Allah mempunyai
nilai fitrah iaitu hidup berpasangan. Umpamanya di alam haiwan, mereka hidup berpasang-pasangan
merentasi jantina bagi melahirkan generasi demi generasi. Tumbuh-tumbuhan pula
berkembang biak melalui proses pendebungaan yang akhirnya menghasilkan
persenyawaan. Begitulah juga kehidupan bagi umat manusia. Perkahwinan adalah
jalan kepada sebuah manifestasi cinta berlainan jantina yang akan mencipta
kebahagiaan, kesenangan dan ketenangan hidup sekaligus mencapai tujuan untuk
menambah umat menyambung legasi warisan berketurunan.
Dalam usaha mencari pasangan hidup sebelum mengorak langkah ke
gerbang perkahwinan, persoalan mengenai memilih pasangan adalah sangat
dititikberatkan oleh Islam agar tujuan perkahwinan yang akan dibina kelak
benar-benar mencapai tujuan dan matlamat dalam berumah tangga. Penekanan
memilih pasangan ini menjelaskan kepada kita bahawa sesebuah perkahwinan itu
bukan semata-mata mengenai cinta dan kasih sayang bahkan jauh lebih penting
adalah soal komitmen dan tanggungjawab bersama. Oleh kerana itu, antara faktor
utama yang menjadi nilai untuk memilih pasangan adalah dengan melihat kepada
faktor sekufu. Perlu difahami bahawa sekufu bukanlah rukun nikah tetapi ianya
menjadi perselisihan dikalangan para ulama mengenai kedudukan sekufu sama ada
termasuk dalam bab syarat sah atau syarat lazim.
Perkataan "Sekufu" berasal dari bahasa Arab
yang disebutkan sebagai Kafa'ah. Pada sudut bahasa, dalam kitab al-Munjid
fi al-Lughah, ungkapan kafa'ah atau sekufu membawa maksud sama atau
seimbang. Dalam maksud lain sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Mu'jam
al-Wasith, al-Kafa’ah merujuk kepada makna sama taraf pada kekuatan dan
kemuliaan. Sebagai contoh sekufu dalam perkahwinan iaitu yang bermaksud
kedudukan seorang lelaki itu setaraf dengan orang perempuan dari sudut pangkat
dan agama serta lain-lain. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat
pula, sekufu bermaksud setaraf, sedarjat, sama martabatnya. Dalam konteks
istilah pula, berdasarkan nukilan oleh pengarang kitab Fiqh al-Manhaji,
sekufu bermaksud persamaan taraf lelaki dan perempuan dari beberapa aspek iaitu
antaranya dari sudut agama, kesolehan dan pekerjaan.
Dalam ajaran Islam, nilai sekufu merupakan antara faktor yang
dituntut untuk menjadi asas pertimbangan sebelum membina sebuah perkahwinan.
Tuntutan mencari nilai sekufu dalam perkahwinan boleh dilihat di dalam al-Quran,
sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 26, firman
Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk
lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk
perempuan-perempuan yang baik.”
Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa ianya menjadi petunjuk
berkenaan nilai sekufu yang dituntut oleh syariat Islam sebelum daripada menuju
ke alam perkahwinan. Selain itu, terdapat sebuah hadith riwayat Ibn Majah,
daripada Ummum al-Mu'minin Aisyah Ranha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Pilihlah yang terbaik untuk zuriat kamu dan juga yang sekufu
dengan kamu, dan bernikahlah dengan mereka.”
Demikian antara hujah dan bukti yang terdapat di dalam al-Quran dan
al-Sunnah mengenai tuntutan syariat bagi mencari nilai sekufu dalam sesebuah
perkahwinan. Maka secara ringkas untuk kita fahami, nilai sekufu dituntut oleh
Islam sebagai usaha menjamin kebahagiaan kerukunan berumahtangga. Meskipun
begitu, nilai sekufu yang dituntut oleh Islam sebagai suatu asas pertimbangan
memilih pasangan hidup, terdapat perbezaan pandangan dikalangan para ulama
tentang kedudukan nilai sekufu ini. Menurut Imam Malik bin Anas, iaitu pendiri
mazhab Maliki, dalam kitab al-Mudawwanah, menyatakan bahawa sekufu bukan
sebahagian daripada syarat perkahwinan. Ini bermakna perkahwinan tetap sah
walaupun tidak punyai nilai sekufu atau tidak sama taraf. Pandangan ini
merupakan pegangan mazhab Maliki. Pandangan kedua, jumhur ulama (majoriti)
berpandangan sekufu sebahagian daripada syarat perkahwinan.
Namun begitu, dikalangan jumhur ulama pula berselisih atau berbeza
pandangan mengenai kedudukan sekufu sama ada termasuk dalam syarat sah atau
syarat lazim. Perbezaan ini dapat dilihat sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu
Nujaym dalam kitabnya, Bahr al-Ra'iq, beliau menyatakan bahawa di sisi
Mazhab Hanafi melalui riwayat Hasan dan Imam Ahmad, sekufu merupakan syarat sah
perkahwinan. Jika syarat ini tidak dipenuhi maka tidak sah suatu perkahwinan
sejak dari awal akad. Selain itu, menurut Ibn al-Muqri dalam kitabnya, Asna
al-Mathalib, beliau menukilkan pendapat jumhur dalam hal ini dengan
menyatakan sekufu merupakan syarat lazim. Syarat lazim merujuk kepada makna
syarat yang perlu dipenuhi bagi meneruskan perkahwinan sedia ada kerana wali
atau pengantin perempuan tidak merasakan sekufu (setaraf) dengan suaminya. Jika
syarat tersebut tidak dipenuhi maka wali mempunyai hak untuk membubarkan
perkahwinan tersebut.
Setelah jelas kepada kita mengenai kedudukan nilai sekufu disisi
syariat Islam, para ulama turut membahaskan mengenai ciri-ciri atau kriteria
sekufu seperti yang dituntut oleh Islam. Dalam hal ini, Imam Ibnu al-Qayyim
al-Jauziyyah dalam kitabnya, Zad al-Ma'ad, telah menjelaskan perbahasan
oleh para ulama mengenai ciri-ciri sekufu. Beliau menjelaskan bahawa para ulama
telah berbeza pendapat terhadap ciri-ciri sekufu. Imam Malik dalam zahir
mazhabnya berpandangan sekufu dari sudut keagamaan. Dalam riwayat lain daripada
Imam Malik, sekufu itu adalah pada tiga sudut iaitu agama, merdeka dan selamat
dari keaiban. Imam Abu Hanifah pula berpandangan sekufu itu adalah pada nasab
keturunan dan agama. Imam Ahmad bin Hanbal pula berpandangan sekufu itu pada
agama dan nasab secara khususnya. Manakala para ashab Imam al-Syafie
berpandangan sekufu itu diambil kira pada agama, nasab, merdeka, kepakaran dan
juga sejahtera dari keaiban yang menyebabkan orang jauh daripadanya.
Namun begitu, hakikatnya sekufu pada nasab keturunan dilihat
sebagai kurang tepat. Ini dapat dilihat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam
Ibn Qayyim dengan menyatakan bahawa soal keturunan dan pekerjaan tidak diambil
kira dalam nilai sekufu. Begitu juga tidak diambil kira soal taraf kaya atau
miskin. Maka dengan itu, dibolehkan untuk golongan selain Quraisy berkahwin
dengan wanita-wanita berbangsa Quraisy serta dibolehkan untuk orang-orang yang
miskin bernikah dengan perempuan-perempuan yang kaya. Demikian menurut Imam Ibn
Qayyim. Selain itu, pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda pernah mengahwinkan
beberapa orang sahabat lelaki atau perempuan yang berbangsa Quraisy dengan
pasangan yang bukan berbangsa Quraisy. Misalnya, baginda Nabi telah
mengahwinkan sahabat bernama Bilal bin Rabah RA dengan saudari perempuan Abd
Rahman bin 'Auf yang berbangsa Quraisy sedangkan Bilal bukan dari bangsa
Quraisy. Ini membuktikan bahawa nilai taraf kehidupan tidak diambil kira
penting dalam soal sekufu melainkan setaraf pada sudut agama sahaja.
Demikianlah penjelasan serba ringkas mengenai sekufu dalam makna
perkahwinan. Sesungguhnya setiap apa yang dituntut dan dikehendaki oleh syariat
pastinya memiliki kebaikan untuk umat Islam. Nilai sekufu dilihat sangat
penting sebagai asas pertimbangan agar kelak rumahtangga yang dibina tidak
dihiasi dengan herdikan, kata nista dan kesat kesan daripada taraf dan cara
hidup yang berbeza. Islam tidaklah menghalang umatnya daripada berkahwin dengan
sesiapa sahaja yang dipilih. Namun Islam datang dengan memberikan garis panduan
supaya kita tidak merasai ketidakadilan dalam hidup berumahtangga lebih-lebih
dari di zaman sekarang yang serba menguji ini. Nilai sekufu bukanlah untuk
memisahkan antara dua darjat, bukan pula untuk menafikan keikhlasan dalam
percintaan. Tetapi sekadar pedoman untuk kita benar-benar mencapai tujuan
perkahwinan iaitu untuk menggapai kebahagiaan, ketenangan dan kasih sayang.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan