Selasa, 19 November 2024

AMALAN SIHIR : PERBUATAN TERKUTUK LAGI TERCELA

 

Perasaan hasad atau difahami sebagai iri hati antara sifat yang tercela (mazmumah) dan dibenci oleh Allah. Kerana perasaan hasad ini, makhluk yang bernama syaitan dan iblis dihukum oleh Allah dilaknat akan keturunannya. Sslain itu, kerana perasaan hsad juga, syaitan dan iblis telah berjanji dihadapan Allah untuk menghasut dan memesongkan seberapa banyak anak cucu Nabi Adam AS. Oleh kerana perasaan ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Islam telah memberikan panduan berdoa memohon kepada Allah agar kita dijauhi daripada memiliki perasaan hasad serta dijauhi dari perbuatan hasad. Melalui perasaan hasad ini, manusia sanggup melakukan apa sahaja bagi mememuhi kantung nafsunya termasuklah melakukan sihir. Kerana itu, sihir bukanlah perkara baharu malah telah berlaku banyak dalam lipatan sejarah kehidupan manusia.

Perkataan "SIHIR" adalah merupakan perkataan asal dalam bahasa Arab iaitu السحر. Menurut Syeikh Idris al-Marbawi dalam kitabnya, Kamus Idris al-Marbawi, sihir bermaksud ubat guna-guna, hikmat dan kebinasaan. Dalam definisi lain, menurut Ibrahim Mustafa dalam kitabnya, al-Mu'jam Wasith, sihir boleh dimaksudkan sebagai satu perbuatan yang memberi kesan terhadap penampilannya iaitu menjadikan penampilannya yang paling baik dan mengagumkan. Ibnu Manzur pula dalam kitabnya, Lisan al-Arab, menyebutkan bahawa sihir adalah amalan yang dengannya mendekatkan diri kepada syaitan dengan bantuan darinya. Selain itu Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya, al-Mughni, menjelaskan bahawa Sihir adalah simpulan, ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan mahupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berhubung langsung dengannya.




Berdasarkan pendefinisian yang telah dikemukakan ini, dapatlah kita rumuskan bahawa sihir difahami sebagai suatu ilmu yang dipelajari oleh pengamalnya bertujuan mendekatkan diri kepada makhluk halus seperti jin dan syaitan dengan cara memuja, menyembah atau bergantung selain daripada Allah SWT. Sihir juga boleh berlaku dengan melakukan pemujaan patung, membaca jampi-jampi yang berunsur syirik selain mengubah ayat-ayat al-Quran menjadi tangkal dan azimat. Kesemua ini difahami sebagai sihir. Sesungguhnya sihir bukanlah cerita baharu bahkan di dalam al-Quran juga, Allah SWT telah merakamkan kisah yang panjang mengenai Nabi Musa AS menentang tukang sihir Firaun. Kisah ini dapat kita amati dalam surah al-A'raf ayat 104-126. Hakikat yang mesti kita ketahui, Islam sangat menolak bahkan menegah melakukan amalan sihir. Sebaliknya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa meminta perlindungan dengan Allah SWT.

Ini sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Falaq ayat 4, firman Allah yang bermaksud :

"Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);"

Ketika menfasirkan ayat ini, Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya menyebutkan bahawa ayat ini bermakna meminta perlindungan daripada kejahatan ahli sihir perempuan yang bertiup pada simpulan benang ketika menjampinya. Selain itu, perbuatan sihir disebutkan dengan jelas oleh baginda Nabi SAW sebagai dosa-dosa besar. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Pesuruh Allah? Apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Dalam catatan sirah, baginda Nabi Muhammad SAW pernah disihir oleh seorang Yahudi dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A'sham. Kisah baginda disihir ini telah direkodkan dalam sebuah hadith yang panjang riwayat Bukhari, daripada 'Aisyah Ranha dia berkata yang bermaksud :

"Seorang Yahudi dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin al-A'sham telah menyihir Rasulullah SAW, sehingga Rasulullah SAW pun dibuat seakan-akan telah melakukan sesuatu pekerjaan yang baginda tidak kerjakan. Sampai disuatu hari -atau suatu malam- baginda berada di sampingku namun baginda tetap berdoa dan berdoa. Kemudian baginda bersabda: "Wahai Aisyah, apakah kamu telah merasakan bahawa Allah telah memberikan fatwa (menghukumi) dengan apa yang telah aku fatwakan (hukumi)? Dua orang lelaki (malaikat menyerupai manusia) telah datang kepadaku, lalu salah seorang dari keduanya duduk di atas kepalaku dan satunya lagi di kakiku. Kemudian salah seorang berkata kepada yang satunya; "Apakah penyakit lelaki ini?" temannya menjawab; "Terkena sihir." salah satu malaikat tersebut bertanya; "Siapakah yang menyihirnya?" temannya menjawab; "Labid bin al-A'sham."




Bedasarkan kisah tersebut, perbuatan sihir sememangnya mampu membuatkan kehidupan manusia terumbang-ambing dan kelihatan tidak normal seperti manusia biasa. Oleh yang demikian, Islam mengajar umatnya untuk sentiasa meminta dan memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada segala kejahatan dengan melakukan amalan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Antara lain baginda Nabi SAW berwuduk sebelum tidur. Ini sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”

Dalam hadith lain riwayat Bukhari, daripada Aisyah Ranha, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”




Ini antara sebahagian amalan yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW memohon dan meminta kepada Allah Azza Wa Jalla untuk dijauhi dari segala malapetaka kejahatan dan keburukan. Perbuatan sihir merupakan suatu bentuk jenayah khianat yang didalangi oleh perasaan hasad. Ilmu sihir datangnya dari syaitan dan iblis. Amalan menyihir ini merupakan amalan terkutuk yang dibuat dan diajar oleh syaitan. Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 102, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut..."

Dalam soal hukuman terhadap mereka yang melakukan amalan sihir, para ulama berbeza pandangan mengenainya. Pandangan pertama yang dipegang oleh Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Ibnu Thaur, mereka berpendapat hukumannya adalah bunuh, tidak ada proses istitabah dan tidak diterima taubatnya. Pandangan kedua yang masyhur daripada Imam al-Syafie, beliau berpandangan bahawa jika penyihir itu tidak membunuh dengan sihirnya maka tidak dibunuh. Demikianlah bagaimana sihir yang dilihat sebagai perbuatan yang terkutuk dan tercela ini. Maka dengan itu, seharusnya bagi umat manusia seluruhnya menjauhi dari sifat hasad yang akhirnya mampu mendorong manusia melakukan perbuatan terkutuk lagi tercela ini. Selain itu, umat manusia juga diseru dan diajar untuk kembalilah memohon kepada Allah kerana Dia lah sebaik-baik tempat perlindungan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan