Isnin, 4 Ogos 2025

IKHLAS ; TIDAK SEKADAR LAFAZ DI BIBIR

 

Setiap detik yang berlalu dalam kehidupan ini pasti mempunyai nilai dan harganya yang tersendiri. Detik waktu yang berdetak, tidak akan dapat kembali lagi. Semuanya perlu dilepaskan dengan penuh keluhuran hati nurani. Apapun catatan yang dinukilkan dalam coretan hidup ini, satu ungkapan yang luar biasa untuk diri kita yang sentiasa terdedah kepada kelemahan dan kekurangan, iaitulah perkataan ikhlas. Betapa ramai manusia sejak dahulu, hari ini dan selamanya, sentiasa memburu makna keikhlasan dalam kehidupan. Seperti ungkapan sabar, ikhlas bukan sekadar lafaz yang dituturkan di bibir tetapi memerlukan perjuangan yang berhari-hari lamanya. Sementara diri sendiri perlu bertempur dengan pujian yang melambung selain harus menghadapi hinaan yang membumbung. Segenap hidup, baik dalam ibadah umum atau khusus, kantung keikhlasan perlu dipenuhi dengan makna yang sejati.

Perkataan "Ikhlas" berasal dari frasa bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ikhlas bermaksud murni. Menurut Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar dalam karyanya yang berjudul Ikhlas, beliau menyatakan bahawa ikhlas adalah usaha memurnikan maksud dan tujuan kepada Allah SWT. Beliau juga turut menyebut ikhlas merupakan satu-satunya tujuan ibadah selain ikhlas menjadi dasar diutusnya semua para Rasul. Selain itu, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyebut dalam kitabnya, Madarijus Salikin, ikhlas bermaksud menjadikan Allah satu-satunya tujuan dalam ketaatan. Imam al-Qusyairi pula menjelaskan dalam kitabnya Risalatul Qusyairiyah, ikhlas bermakna menjadikan Allah sebagai satu-satunya sembahan. Dalam pada itu, satu artikel yang dikarang oleh Buya Hamka, beliau mengulas makna ikhlas dengan menyebut ikhlas memiliki makna bersih dan tidak ada campuran. Tambah beliau lagi, ikhlas ibarat emas yang tulen, tidak ada campuran perak sedikitpun.




Berdasarkan seputar lalu definisi ikhlas yang dikemukakan, dapat kita rumuskan bahawa ikhlas adalah sifat yang terpuji, terlahir daripada jantung hati yang bersih dan suci tanpa dicemari oleh debu-debu kekotoran yang lain. Oleh kerana itu, sifat ikhlas bukanlah sifat yang boleh dilakonkan dan dipertontonkan seperti persembahan teater dan opera. Ianya berkait rapat dengan apa yang terbuku di jantung hati tiap-tiap manusia. Dalam ajaran Islam, setiap perbuatan yang dibuat sama ada berbentuk zahir mahupun batin, dilakukan dengan tujuan mentaati perintah Allah SWT haruslah diikat dengan niat yang ikhlas. Terkait dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran menerusi surah al-Bayyinah ayat 5, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Melalui keterangan ayat ini, jelas kepada kita bahawa syarat utama dalam melaksanakan ibdah ketaatan kepada Allah SWT adalah dengan niat ikhlas. Melihat kepada makna ikhlas itu sendiri, ianya bukan sekadar lafaz yang diungkapkan di bibir semata-mata. Ianya adalah suatu perjalanan memperjuangkan diri sendiri untuk meletakkan Allah SWT sebagai tujuan utama kehidupan. Oleh kerana demikian, Islam sangat memandang tinggi akan kedudukan niat dalam melakukan ibadah. Niat yang ikhlas adalah sebaik-baik niat yang suci lagi mulia. Namun itulah setinggi-tinggi darjat yang sukar dicapai oleh umat manusia. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita akan kepentingan niat dalam beramal. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Segala amal perbuatan itu berdasarkan niatnya, sedangkan masing-masing orang akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa (berniat) hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah (bernilai) hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan orang yang hijrahnya (diniatkan) untuk mendapatkan keduniaan atau demi seorang wanita yang ingin dinikahinya maka (nilai) hijrahnya adalah sebagaimana yang dia tuju.”




Hakikatnya ikhlas itu tidak dapat lari dari sifat berbentuk rahsia. Ini kerana ikhlas adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat, dirasai dan dihidu oleh pancaindera. Ikhlas merupakan rahsia antara Tuhan dan makhluk Nya. Dalam satu hadith Nabi SAW riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Aku bertanya kepada Jibril AS tentang keikhlasan, apakah itu? Kemudian dia bertanya, "Saya bertanya kepada Allah tentang keikhlasan, apakah itu?" Dan Allah menjawab, "Adalah rahsia rahsia-Ku yang Aku titipkan kepada hati orang-orang yang Aku cintai di antara hamba-hamba-Ku."

Demikianlah keikhlasan itu adalah rahsia-rahsia antara Allah dan para hamba Nya. Oleh itu, mengungkapkan kata ikhlas dihadapan manusia lain tidak memadai untuk menjadi bukti akan keikhlasan diri melainkan setelah diperhitungkan kelak dihadapan Allah SWT. Dalam kerancakan dan keghairahan manusia melakukan amal baik, satu hal yang dapat memelihara kualiti amalan tersebut adalah keikhlasan. Sifat keikhlasan bukan sahaja sesuatu yang dipandang mulia bahkan boleh menjadi penyelamat manusia di akhirat kelak. Berkait akan hal ini, teringat kita akan satu ungkapan yang dinukilkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, beliau menyebut dengan maksudnya :

“Manusia semua akan binasa kecuali orang yang berilmu (‘alim), orang-orang yang berilmu semua akan binasa kecuali orang yang mengamalkan, dan semua orang-orang yang mengamalkan ilmunya semua akan binasa kecuali orang-orang yang berbuat dengan Ikhlas. Dan semua orang-orang yang Ikhlas berada dalam bahaya yang besar.”




Betapa hebatnya nilai duduk letaknya keikhlasan dalam beramal soleh. Dalam usaha untuk mengikhlaskan diri dalam beramal, antara musuh utama yang mesti dihadapi adalah syaitan dan iblis. Godaan makhluk jahat ini tidak sahaja kepada mereka yang melakukan kemaksiatan tetapi turut mengheret golongan yang berusaha melakukan amal baik. Melalui amal baik yang dilakukan, syaitan dan iblis akan berusaha memesongkan niat manusia untuk menjadi riak, menunjuk-nunjuk dalam beramal, bangga dengan amalan diri sendiri dan sebagainya. Apatah lagi di zaman serba terdedah ini, manusia akan lebih mudah terpedaya dengan pujukan syaitan dengan suka menunjuk-nunjuk di laman media sosial. Dalam sebuah hadith yang panjang riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW menyebut tiga golongan yang diazab di hari akhirat kelak kerana riak. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya manusia paling awal yang akan dihisab urusannya pada Hari Kiamat kelak adalah seorang lelaki yang mati syahid, lalu dia didatangkan ke sisi Allah dan diperingatkan dengan segala nikmat-nikmat-Nya (yang telah diberikan kepadanya) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat dengan nikmat-nikmat tersebut?” dia menjawab, “Aku berperang di jalan-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu berperang agar kamu dikatakan seorang pemberani, dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.

Dan (orang kedua adalah) seseorang yang mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya, dan dia membaca (menghafal) Al-Qur`an. Maka dia didatangkan lalu Allah mengingatkan nikmat-nikmat-Nya (yang telah diberikan kepadanya) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat dengannya?” dia menjawab, “Aku mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya, dan aku membaca Al-Quran kerana-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu menuntut ilmu agar kamu dikatakan seorang alim dan kamu membaca Al-Quran agar dikatakan, “Dia adalah qari`,” dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.

Dan (yang ketiga adalah) seseorang yang diberikan keluasan (harta) oleh Allah dan Dia memberikan kepadanya semua jenis harta. Maka dia didatangkan lalu Allah mengingatkan nikmat-nikmat-Nya (yang telah diberikan kepadanya-pen) maka diapun mengakuinya. Allah berfirman, “Lalu apa yang kamu perbuat padanya?” dia menjawab, “Aku tidak mensia-siakan satu jalan pun yang Engkau senang kalau seseorang berinfak di situ kecuali aku berinfak di situ untuk-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, akan tetapi sebenarnya kamu melakukan itu agar dikatakan, “Dia adalah orang yang dermawan,” dan kamu telah dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya sampai dia dilemparkan masuk ke dalam neraka.”

Demikianlah hakikat sifat ikhlas. Tidak semudah yang dibicarakan di mulut. Ia memerlukan kesungguhan dalam berjuang. Berjuang pula tidak seringan bercakap di meja-meja kuliah, di kedai dan di warung kopi atau di jalanan. Ikhlas adalah suatu ungkapan yang senang disebut namun sukar direbut. Mudah difahami namun sukar diamati. Kerana syaitan dan iblis itu tidak akan pernah berhenti daripada memesongkan umat manusia. Sesiapa pun kita pada hari ini, perjuangan menanam keikhlasan dalam diri tidak akan terhenti sehinggalah kita akan dijemput oleh ilahi. Kepada Allah jualah tempat sebaik-baik tujuan dan matlamat. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan