Khamis, 24 Julai 2025

LAW OF ATTRACTION : ANTARA IMAN DAN KUFUR

 

Barangkali ramai dikalangan kita percaya bahawa setiap perkataan yang terbit di mulut dianggap sebagai suatu doa. Hampir pasti kita pernah mendengarnya apabila kita sertai program, seminar atau bengkel yang berpaksikan motivasi dan kerohanian. Selain itu, kita semua mesti pernah mendengar atau percaya bahawa kita mesti sentiasa berfikiran positif dalam hidup ini agar hari yang mendatang akan sentiasa mendapatkan hal-hal yang baik sahaja. Sekiranya kita berfikiran negatif maka hidup akan pasti akan dibelenggu oleh aura yang negatif. Oleh itu datang pula ajaran berkonsepkan aura dan warna. Dalam kita sedar atau tidak, fahaman yang cuba ditanam dalam minda masyarakat sejak dahulu lagi adalah merupakan konsep yang batil dan bertentangan dengan syariat Islam yang disebut sebagai Law Of Attraction.

Pada sudut bahasa mudah, ungkapan "Law Of Attraction" merujuk kepada suatu konsep hukum tarikan yang lahir daripada kepercayaan pseudosains. Secara ringkas, konsep Law Of Attraction ini dibawa oleh gerakan kebatinan moden Barat dibawah pelbagai nama seperti Spiritualisme, Mesmerisme, Transcendentalisme, New Thought dan Theosophical Society. Walau apapun nama yang dibawa oleh gerakan ini, kesemua mereka adalah menyokong gerakan New Age Movement yang dianggap sebagai falsafah dalam beragama. Sebelum munculnya tokoh-tokoh terkemuka yang mempopularkan konsep Law Of Attraction ini, di Barat telah muncul seorang tokoh yang digelar sebagai "Bapa Kebatinan" dalam bidang perniagaan. Beliau yang dimaksudkan ialah Wallace D. Wattles. Dalam karyanya berjudul The Science of Getting Rich, beliau menegaskan bahawa minda mempunyai kuasa untuk menarik kekayaan.




Apa yang cuba dibuktikan oleh Wallace melalui karyanya ini ialah kekuasaan minda yang mampu memanggil atau menjemput kekayaan dalam perniagaan. Baginya, dengan mengubah minda untuk sentiasa berfikiran positif, kita boleh menjadi kaya-raya. Setelah itu dengan membawa ajaran yang sama dengan Wallace, muncul pula tokoh ternama lain iaitu Napoleon Hill. Nama ini barangkali tidak asing lagi bagi mereka yang pernah menyertai program, seminar atau bengkel untuk menjadi kaya-raya dalam perniagaan. Mirip dengan apa yang dibawa oleh Wallace dan Napoleon Hill, muncul pula seorang tokoh antara yang terawal memperkenalkan selain mempopularkan istilah Law Of Attraction ini ialah Esther Hicks. Melalui buku beliau yang berjudul The Law Of Attraction, beliau mendakwa setiap manusia seperti magnet yang mempunyai kuasa untuk menarik apa sahaja perkara yang manusia mahukan.

Esther Hicks yang juga merupakan pengasas kepada konsep ini mendakwa dirinya telah mendapat ilmu tersebut daripada seorang entiti yang bernama Abraham. Abraham merupakan suatu entiti tidak terwujud secara zahir namun telah merasuki tubuh badannya untuk mengajarnya tentang ilmu Law Of Attraction. Kemudian setelah itu, konsep Law Of Attraction ini terus dipopularkan pula oleh Rhonda Byrne melalui bukunya yang berjudul The Secret. Catatan sejarah menunjukkan konsep Law Of Attraction ini bermula daripada kepercayaan paganisme yang melakukan amalan dukun sehingga diolah dan dipermodenkan selari dengan perubahan zaman. Ajaran ini datang dengan menyelinap dan berselindung dengan nama program motivasi, seminar dan seumpamanya lalu mengajar manusia tentang kekuasaan minda positif. Dengan ungkapan bombastik seperti anda adalah apa yang anda fikirkan, ramai dikalangan kita terperangkap dengan perkataan ini lalu diajar untuk sentiasa berfikir positif, hidup tidak boleh sedih dan sebagainya.

Melalui doktrinasi ajaran Law Of Attraction ini, manusia diajar untuk berfikiran positif. Apabila kita memiliki fikiran positif, maka minda kita akan menghasilkan gelombang yang menyebar ke alam, lantas alam semesta memberi respon dengan mengirim kepada kita sesuai dengan gelombang positif yang dipancarkan. Ini bermakna, jika kita berfikiran positif, maka alam semesta akan menerima isyarat tersebut lalu menggerakan hal-hal yang positif ke dalam kehidupan kita. Sebaliknya, jika kita berfikiran negatif, alam semesta akan menerima isyarat tersebut lalu menggerakan hal-hal yang negatif ke dalam hidup kita. Ajaran ini tanpa kita sedar, ianya telah mendidik kita untuk percaya akan kekuasaan dan kekuatan minda sedangkan kehidupan ini telah diatur oleh Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa. Ajaran seperti ini boleh menjadikan kita syirik kepada Allah selain berbuat khurafat dengan percaya akan perkara yang karut.




Secara jelasnya, konsep Law Of Attraction telah bertentangan dan bercanggah dengan apa yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW melalui wahyu al-Quran dan al-Sunnah. Beberapa masalah utama yang membuktikan kebatilan ajaran ini berkait rapat dengan ajaran Islam seperti konsep al-Tafa'ul (optimis dan sangka baik) dan kepercayaan mengenai roh. Dikalangan mereka yang mempertahankan konsep ini, ada yang berhujah dengan mendakwa konsep Law Of Attraction ini tidak lebih sekadar ilmu yang mengajar manusia untuk sentiasa beroptimis dan bersangka baik dalam kehidupan. Bagi mereka ajaran ini bersesuaian dengan sebuah hadith Qudsi riwayat Bukhari dan Muslim. Hadith tersebut bermaksud :

"Allah berfirman: Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di khalayak, Aku mengingatinya di khalayak yang lebih baik daripadanya. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia datang sehasta, Aku akan datang sedepa. Jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku akan datang kepadanya berlari."

Berdasarkan hadith tersebut, maka mereka menyimpulkan bahawa kita adalah apa yang kita sangkakan. Jika kita bersangka baik, maka hal-hal yang baik akan datang kepada kita. Sebaliknya jika kita bersangka buruk, maka tentulah hal-hal buruk akan datang kepada kita. Kesimpulan mudah ini telah tersasar dari pemahaman sebenar hadith tersebut. Dalam hal ini, para ulama seperti Imam Ibnu Qayyim menyebut dalam kitabnya al-Jawab al-Kafi, katanya bersangka baik mendorong lahirnya amal, menganjurkan, membantu dan menuntun untuk melakukannya. Inilah sikap yang benar. Tapi kalau mengajak kepada bergelumang dalam kemaksiatan, maka itu adalah ghurur (terpedaya diri sendiri). Sementara Syeikh Salih al-Fauzan menyebut dalam kitabnya al-Muntaqa Min Fatawa Syaikh Al-Fauzan, bersangka baik kepada Allah hendaklah disertai dengan meninggalkan kemaksiatan. Jika tidak, maka ia termasuk sikap merasa aman dari azab Allah.




Berbeza dengan apa yang difahami oleh mereka yang mendokong konsep batil tersebut, sangka baik kepada Allah bukan apa yang terlintas di hati manusia lalu berangan-angan mengharapkan ianya terjadi tanpa berusaha, sebaliknya sangka baik kepada Allah mendorong manusia itu melakukan ketaatan kepada Allah bukan sekadar angan-angan kosong tanpa berusaha. Apatah lagi mereka pula percaya seolah-olah ada kuasa alam semesta yang menerima pancaran tenaga positif mereka lalu digerakan perkara positif kepada kehidupan mereka, Allah SWT tidak sedemikian rupa. Allah tidak tertakluk kepada sebarang kehendak dan kemahuan para hamba Nya. Ini jelas bertentangan dengan akidah Islam. Oleh itu, apa yang boleh kita jelaskan lagi ialah konsep Law Of Attraction ini sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan ajaran Islam. Ia bukan datang dari intipati ajaran Islam melainkan hanya sekadar cubaan menempek dalil al-Quran dan hadith bagi maksud mengelirukan demi menghalalkan kebatilan mereka ini.

Ajaran batil seperti ini pada hakikatnya akan dapat menarik minat mereka yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam. Imam Ibnu Jauzi telah mengingatkan kita dalam kitabnya Talbis Iblis, tentang ramai golongan manusia yang suka kepada golongan tukang pemberi nasihat. Bagi tukang pemberi nasihat, mereka suka menyampaikan cerita-cerita yang boleh menarik minat orang yang jahil. Demikian peringatan oleh Imam Ibnu Jauzi yang secara jelas dan terang menyebut perkara ini juga menjadi sebahagian tipu daya iblis. Sesungguhnya konsep Law Of Attraction ini bukanlah dari fitrah alam bahkan jauh dari pembuktian saintifik. Konsep batil ini tidak lebih sekadar kepalsuan sains yang menyusup masuk diatas nama motivasi lalu cuba menggugah kesepaduan akidah umat Islam. Sewajarnya kita perlu memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk membebaskan akal fikiran manusia daripada dibelenggu oleh perkara-perkara palsu sains seperti ini. Semoga Allah menjauhi kita dari sebarang perbuatan syirik dan khurafat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan