Antara ciri keunikan penciptaan umat manusia yang dijadikan oleh
Allah SWT ialah hidup berpasang-pasangan. Sememangnya menjadi fitrah dan tabiat
manusia memiliki kecenderungan perasaan suka dan kasih kepada lainan jantina.
Hal ini bukanlah perkara yang bertentangan dengan agama. Malah demikianlah
manusia dijadikan dengan perasaan tersebut. Oleh kerana itu, Allah SWT telah
mensyariatkan perkahwinan sebagai suatu ibadah yang turut meraikan kehendak dan
kemahuan manusia yang suka hidup berpasang-pasangan. Selain perkahwinan sebagai
suatu syariat, perkahwinan juga diangkat sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW. Maka
sesiapa yang berkahwin bermakna dirinya telah termasuklah dikalangan baginda
Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran menerusi surah Yasin
ayat 36 yang bermaksud :
"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri
mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."
Walau bagaimanapun, pada zaman serba moden ini, timbul pula
anggapan bahawa tidak mahu berkahwin bukanlah dikira sebagai salah dan berdosa
dalam Islam. Bagi melihat dengan lebih jelas dan adil, adalah terlebih penting
kita memahami dahulu hukum perkahwinan itu sendiri. Pada asalnya, hukum
berkahwin menurut ijmak (persepakatan) para imam mazhab yang empat, iaitu
Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali adalah sunat. Pada sisi mazhab al-Syafie,
hukum sunat bagi mendirikan perkahwinan secara umumnya kepada mereka yang
berkehendak kearahnya dan berkemampuan. Hal ini merujuk kepada ungkapan oleh
Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj,
beliau menyatakan bahawa pernikahan dengan makna berkahwin itu hukumnya adalah
sunat, dianjurkan bagi orang yang memerlukannya iaitu berkemampuan dengan
kekuatan dirinya untuk melaksanakan persetubuhan sekalipun lemah dalam
bersetubuh, mempunyai kemampuan menafkahi berupa mahar mas kahwin, pakaian pada
musim-musim yang dialami, nafkah harian, (wajib diberi) meskipun dirinya sibuk
dengan ibadah.
Secara umum hukum berkahwin adalah sunat. Namun begitu, hukum
berkahwin boleh berubah dan berbeza berdasarkan sudut kelayakan individu
terbabit. Antara hukum lain sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Abdullah bin
Muhammad Ba Saudan al-Syafie dalam kitab Syarh Dhau'i al-Misbah,
menyebut bahawa terdapat lima hukum berkaitan mendirikan perkahwinan. Pertama,
adalah wajib berkahwin bagi mereka yang berkemampuan zahir dan batin, selain
yakin akan terlibat dengan maksiat jika tidak berkahwin. Kedua, hukumnya sunat
berkahwin bagi mereka yang mampu secara zahir dan batin, berkehendak untuk
berkahwin dan masih mampu mengawal dirinya. Ketiga, hukumnya harus berkahwin
bagi mereka yang mampu zahir dan batin. Keempat, adalah makruh berkahwin bagi
mereka yang mempunyai kemampuan tetapi tidak punyai keinginan untuk berkahwin
kerana sibuk beribadah, fokus pekerjaan, tiada minat dan sebagainya. Kelima,
hukumnya adalah haram berkahwin bagi mereka yang dilihat yakin akan
memudaratkan pasangan jika berkahwin.
Berhubung anggapan bahawa enggan atau tidak mahu berkahwin, ianya
mestilah melihat kepada keadaan individu tersebut. Sekiranya individu berkenaan
tidak mahu berkahwin diatas beberapa faktor lain seperti tidak berkemampuan
sama ada dari sudut zahir dan batin, atau kerana tidak yakin boleh melakukan
tanggungjawab sebagai suami isteri, belum temui jodoh sesuai dan sebagainya,
pada sudut agama tidaklah berdosa. Ini kerana agama juga meletakkan lima hukum
berbeza-beza mengikut kemampuan individu perseorangan. Dalam catatan sejarah
riwayat hidup para ulama juga, terdapat sebilangan ulama terkenal yang tidak
berkahwin seumur hidup. Antara lain ialah sepertimana yang dinukilkan oleh
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah di dalam kitab khasnya menghimpunkan nama-nama
tokoh Islam yang tidak berkahwin, beliau menukilkan nama seperti Imam al-Nawawi
dan Imam Ibn Taimiyyah. Kedua-dua nama tokoh ini tidaklah berkahwin seumur
hidup kerana kesibukan mereka dalam menjaga tradisi keilmuan. Maka kita
memahami bahawa sekiranya tidak mahu berkahwin kerana faktor-faktor yang
diterima oleh agama seperti bimbang tidak mampu, sibuk kerja dan sebagainya
maka hal itu tidaklah berdosa dan salah.
Pada masa yang sama, sekiranya ada yang enggan atau tidak mahu
berkahwin kerana sebab menolak tuntutan agama, enggan melaksanakan perintah
Allah dan Rasul sedangkan dirinya berkemampuan baik secara zahir dan batin,
perkara tersebut adalah berdosa dan bertentangan dengan syariat Islam. Dalam
satu kisah yang dinukilkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari melalui kitab
tafsirnya, Jami' al-Bayan 'an Takwil al-Quran, pada zaman Nabi SAW
terdapat seorang sahabat Nabi bernama 'Uthman bin Maz'un. Beliau telah
mengharamkan dirinya daripada seorang perempuan, benda-benda yang baik dan
semua benda yang sedap dan lazat. Maka setelah itu, turunlah firman Allah Azza
Wa Jalla di dalam surah al-Maidah ayat 87 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan
benda-benda yang baik yang dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu
melampaui batas pada apa yang ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas."
Berdasarkan kefahaman ayat ini, jelas bahawa Allah SWT telah
melarang para hamba Nya yang beriman daripada mengharamkan perkara yang telah
pun dihalalkan oleh Allah SWT. Perbuatan enggan berkahwin atau tidak mahu
berkahwin dengan sengaja walau pada dirinya sudah memiliki kemampuan zahir dan
batin boleh diibaratkan seperti mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh
Allah SWT. Dalam satu hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas
bin Malik katanya yang bermaksud :
"Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri
Rasulullah SAW dan menanyakan tentang ibadat yang dikerjakan oleh baginda.
Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda,
mereka merasa bahawa ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat
Rasulullah SAW adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat kurang. Mereka berkata
sesamanya : "Bagaimana ibadat kita? Padahal baginda adalah orang yang
maksum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya
yang telah lalu dan akan datang?. Maka setiap orang berkata : "Aku akan
sembahyang tahajjud setiap malam.". "Aku akan berpuasa sepanjang
tahun, dan tidak akan berbuka." "Aku akan mengasingkan diri dari
orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup
membujang)." Maka datang Rasulullah SAW lalu bersabda : Kamu semua berkata
begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat taqwa
kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku tidak (berpuasa), aku
sembahyang, dan aku tidur, serta aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka
sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah dari kalangan
ummahku)".
Demikianlah bagaimana baginda Nabi SAW menguruskan semangat para
sahabatnya yang berkorbar-kobar mahu beribadah sehingga mahu meninggalkan
keperluan duniawi. Jika enggan berkahwin kerana mahu beribadah kepada Allah pun
ditegur oleh baginda maka bagaimana pula dengan mereka yang enggan kahwin
dengan sengaja tanpa alasan yang tidak munasabah. Oleh itu, dapat kita rumuskan
bahawa bagi mereka yang enggan atau tidak mahu berkahwin, dapat kita bahagikan
kepada dua keadaan. Keadaan pertama, enggan berkahwin kerana takut tidak mampu
secara zahir dan batin, atau kerana tidak temui jodoh, atau kerana terlalu
fokus pekerjaan dan seumpamanya, bukannya sengaja untuk tidak kahwin maka
dirinya tidaklah berdosa. Keadaan kedua, enggan berkahwin kerana sengaja tidak
mahu, atau kerana sengaja menolak tuntutan agama walhal dirinya sudah mampu dan
tiada halangan untuknya berkahwin, maka dirinya berdosa kerana menentang
perintah Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan