Sabtu, 12 Julai 2025

KEBATILAN KEPERCAYAAN KONSEP ORIGINAL SIN

 

Manusia sebagai makhluk Allah SWT yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian ciptaan, tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Disebalik kejadian manusia yang sempurna, terdapat padanya satu sifat yang dinamakan sebagai kelemahan. Hakikatnya manusia itu adalah lemah, tidak berdaya dan perlu bergantung kepada sesuatu. Sesuatu tersebut dianggap sebagai yang Maha Berkuasa iaitulah Allah SWT. Maka kerana demikian, manusia secara fitrahnya tidak ada manusia yang tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan sepanjang hidup riwayatnya. Semua umat manusia baik apa pun kedudukan pangkat dan jawatan, tidak ada yang dikatakan sebagai "maksum" iaitu terpelihara daripada melakukan dosa kecuali Rasul Nya, Nabi Muhammad SAW Oleh itu, kita semua pasti akan melakukan kesalahan dan kesilapan baik secara sedar mahupun sebaliknya.

Kepercayaan konsep "Original Sin" adalah merupakan kepercayaan bersifat doktrin atau prinsip teras di dalam agama Kristian. Perkataan Original Sin jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu membawa maksud "Dosa Warisan". Melihat kepada ungkapan dosa, ianya berasal dari kata Ibrani iaitu hata yang membawa maksud meleset. Dalam pada itu, menurut bahasa Yunani, dosa disebut dengan istilah hamartanein. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan dosa bermakna perbuatan melanggar hukum Tuhan atau agama. Secara umum, dosa boleh difahami sebagai perbuatan salah pada perkara yang melibatlan moral, etika dan agama. Maka istilah Original Sin yang telah menjadi doktrin teras bagi kepercayaan agama Kristian merujuk kepada dosa pertama oleh manusia yang dilakukan oleh Adam dan Hawa.




Kepercayaan mengenai konsep Original Sin ini adalah berdasarkan nukilan yang terdapat di dalam kitab Bible baik dalam versi Perjanjian Lama mahupun dalam Perjanjian Baru. Dalam Bible versi Perjanjian Lama, dinukilkan kisah bagaimana Adam dan Hawa dihalau dan diusir keluar dari Taman Eden kerana telah berbuat dosa melanggar perintah Tuhan yang melarang daripada memakan sebiji buah. Kesalahan yang membawa kepada dosa tersebut telah menjadikan semua manusia menanggung dosa tersebut. Dosa yang ditanggung tersebut dikenali sebagai dosa warisan yang akan menjadi bebanan kepada semua umat manusia di muka bumi ini. Lihatlah bagaimana yang telah disebut di dalam Bible versi Perjanjian Lama yang bermaksud :

"Sesungguhnya dalam kesalahan aku diperanakkan dalam dosa aku di kandung ibuku". (Mazmur 51:5)

Selain itu, di dalam Bible versi Perjanjian Baru, surat Paulus kepada orang Roma, juga dijelaskan cerita bagaimana kesalahan yang dilakukan oleh Adam dan Hawa telah membuatkan seluruh umt manusia menanggung dosa dan kesalahan tersebut. Dalam Perjanjian Baru tersebut, surat Paulus kepada orang Roma menyebut :

"Oleh itu, sama seperti dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan kematian melalui dosa, dan dengan cara ini kematian datang kepada semua orang, kerana semua orang telah berdosa. Yang pasti, dosa sudah ada di dunia sebelum hukum Taurat diberikan, tetapi dosa tidak didakwa terhadap sesiapa pun jika tidak ada hukum. Walaupun demikian, kematian memerintah dari zaman Adam hingga zaman Musa, bahkan ke atas mereka yang tidak berdosa dengan melanggar perintah, seperti yang dilakukan Adam, yang merupakan teladan dari yang akan datang.

Tetapi pemberian itu tidak seperti pencerobohan. Kerana jika banyak orang mati oleh pelanggaran satu orang, lebih-lebih lagi kasih karunia Tuhan dan karunia yang datang oleh kasih karunia satu orang, Yesus Kristus, melimpah kepada banyak orang! Karunia Tuhan juga tidak dapat dibandingkan dengan akibat dari dosa satu orang : Penghakiman mengikuti satu dosa dan membawa penghukuman, tetapi karunia itu mengikuti banyak pelanggaran dan membawa pembenaran. Kerana jika, oleh pelanggaran satu orang, maut memerintah oleh satu orang itu, lebih-lebih lagi mereka yang menerima limpah kurnia kasih karunia Tuhan dan karunia kebenaran akan memerintah dalam hidup melalui satu orang, Yesus Kristus!

Oleh itu, sama seperti satu pelanggaran mengakibatkan penghukuman bagi semua orang, demikian juga satu perbuatan benar menghasilkan pembenaran dan kehidupan bagi semua orang. Kerana sama seperti melalui ketidaktaatan satu orang banyak orang menjadi berdosa, demikian juga melalui ketaatan satu orang banyak orang akan menjadi benar. Undang-undang dibawa masuk supaya pencerobohan bertambah. Tetapi di mana dosa bertambah, kasih karunia semakin bertambah,supaya sama seperti dosa berkuasa dalam kematian, demikian juga kasih karunia berkuasa oleh kebenaran untuk membawa hidup yang kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita".




Konsep Original Sin atau disebut sebagai Dosa Warisan telah membuatkan orang Kristian mempercayai serta menyakini bahawa setiap perkara buruk dan tidak baik yang berlaku di dalam kehidupan dunia ini adalah berpunca daripada menanggung dosa warisan tersebut. Oleh kerana itu, bagi membersihkan diri manusia daripada terus terpalit dengan dosa warisan ini, maka manusia memerlukan seorang yang dipanggil sebagai "Saviour" atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai juru selamat. Juru selamat menurut kepercayaan orang Kristian ialah merujuk kepada anak Tuhan itu sendiri. Maka anak Tuhan iaitu Jesus Christ telah datang dan turun ke dunia ini dengan tujuan untuk menebus dosa warisan bagi semua manusia dengan cara beliau mati disalib. Kepercayaan mengenai anak Tuhan ini telah diperkenalkan oleh Saint Paul. Menurut kepercayaan mereka, Tuhan telah mengutuskan anaknya untuk turun ke dalam kandungan Mary iaitu Maryam bagi menjadi penyelamat kepada seluruh umat manusia di dunia ini.

Hakikatnya, kepercayaan konsep Original Sin adalah ditolak dan tidak diterima oleh Islam. Kepercayaan ini dianggap sebagai pegangan yang batil, tidak benar dan telah lari dari kefahaman yang sebenar. Sememangnya dalam Islam, terdapat kepercayaan mengenai konsep pahala dan dosa. Namun begitu, Islam menolak, menentang dan menafikan keabsahan kebenadan mengenai konsep Original Sin ini. Dalam kepercayaan menurut Islam, diakui bahawa Adam dan Hawa telah melakukan kesilapan dan kesalahan dengan memakan sebiji buah dari sebuah pokok yang menjadi larangan kepada keduanya. Ini sepertimana di dalam firman Allah SWT menerusi surah al-'Araf ayat 19 yang bermaksud :

"Dan wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim".




Ayat ini menjelaskan akan kebenaran kisah Allah SWT melarang Adam daripada mendekati sebuah pokok yang padanya ada buah. Namun demikian, kesalahan yang telah dilakukan oleh Adam dan Hawa hakikatnya telah diampuni dan diterima taubat oleh Allah Azza Wa Jalla. Maka mempercayai bahawa wujud dosa yang diwarisi oleh manusia akibat daripada perbuatan dosa oleh Adam dan Hawa adalah kepercayaan yang batil dan tidak benar. Kedua-dua mereka telah bertaubat dan memohon ampun kepada Allah dan kemudiannya permohonan ampun dan taubat tersebut telah diterima oleh Allah Jalla Wa 'Ala. Kenyataan ini telah pun dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 37, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".

Dalam ajaran Islam, satu orang manusia tidak akan menanggung dosa orang lain. Ini bermakna kesalahan dan dosa yang dibuat oleh orang lain tidak akan dipertanggungjawabkan oleh orang lain. Kita sendiri akan menanggung setiap apa yang telah kita lakukan. Kita sendiri akan bertanggungjawab dengan setiap apa yang kita perkatakan. Tiada istilah menanggung dosa orang lain dalam Islam. Anak yang berbuat dosa tidaklah dipertanggungjawabkan kepada ibubapanya. Begitu pula sebaliknya dosa yang dilakukan oleh ibubapa tidak akan ditanggung oleh anak-anak. Demikianlah bagaimana hakikat sebenar mengenai konsep dosa warisan yang bertentangan dengan pegangan akidah umat Islam. Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan