Dunia adalah pentas untuk manusia menjalani kehidupan yang bersifat
tidak kekal ini. Apabila tamat tempoh untuk mendiami dunia ini, kita semua
tanpa ada yang terkecuali akan berangkat pulang ke episod baharu kehidupan yang
kekal abadi. Keadaan dunia yang bersifat sementara ini, kadang-kala membuatkan
manusia sentiasa tidak berasa cukup dengan apa yang ada padanya. Akibatnya,
perasaan tamak, iri hati dan dengki mulai mengambil tempat di jantung hati manusia.
Dalam pada itu, ada pula dikalangan manusia yang memandang dunia ini sebagai
lagha (sia-sia) semata-mata sehingga menganggap dunia perlu dibuang jauh-jauh
dari lubuk hati yang dalam. Bagi mereka yang beranggapan sedemikian, dunia
tidak penting dan apa yang lebih penting ialah kehidupan akhirat. Akibatnya,
mereka sanggup menolak segala kemajuan dan kemodenan dunia yang dilihat sekadar
tipu daya dunia.
Persoalannya, bagaimana dunia dilihat pada nilai ukuran syariat
Islam. Dalam Islam, terdapat satu istilah yang disebutkan sebagai "Zuhud".
Perkataan zuhud berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan zuhud
difahami sebagai berpaling daripada sesuatu atau tidak menghendaki kepada
sesuatu kerana tiada nilainya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan
zuhud bermaksud tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia. Secara
mudah, zuhud pada makna bahasa ialah meninggalkan sesuatu kerana tidak berhajat
kepadanya. Pada sudut syarak, istilah zuhud difahami dengan pelbagai maksud.
Antara lain, sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi dalam
kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, zuhud adalah berpalingnya keinginan
daripada sesuatu menuju yang lain, yang lebih baik daripadanya. Dan syarat hal
yang ditinggalkan keinginannya itu, juga disukai pada sebahagian sisinya. Maka
sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang zatnya tidak disukai dan tidak dicari,
dia tidaklah dinamakan zahid (orang yang zuhud).
Selain itu, Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitab Jami'
al-'Ulum wal Hikam, makna zuhud adalah mengosongkan hati daripada
menyibukkan diri dengan dunia, sehingga orang itu dapat menumpukan perhatian
untuk mencari (redha) Allah, mengenal Nya, dekat kepada Nya, merasa tenang
dengan Nya dan rindu menghadap Nya. Sementara Imam Ahmad pula menyatakan di
dalam kitab Madarij al-Salikin, zuhud itu ada tiga bentuk. Pertama,
meninggalkan yang haram. Inilah zuhud orang-orang awam. Kedua, meninggalkan
yang berlebih-lebihan daripada yang halal. Inilah zuhud orang-orang khusus.
Ketiga, meninggalkan semua perkara yang menyibukkan diri daripada Allah. Inilah
zuhud orang-orang arif (orang-orang yang faham terhadap Allah). Secara
kesimpulan, Syeikh Mustafa al-Bugha menyebut dalam kitabnya, al-Wafi
dengan menyatakan bahawa pada dasarnya zuhud dirumuskan dalam tiga perkara.
Pertama, Lebih meyakini apa yang ada di sisi Allah daripada yang ada pada
dirinya. Kedua, Apabila mendapat musibah dalam urusan dunia, seperti kehilangan
harta, maka dia lebih berharap akan mendapat pahala atas musibah tersebut. Ketiga,
pujian dan celaan tidak mempengaruhi dirinya dalam berpegang teguh pada
kebenaran.
Berkenaan zuhud, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW
berkenaan amalan yang dicintai oleh Allah dan manusia. Maka baginda menyebut
jadilah seorang yang zuhud. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah
hadith riwayat Ibn Majah, seorang lelaki mengajukan soalan kepada Rasulullah
SAW yang bermaksud :
"Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan yang jika
aku lakukan, Allah dan manuoia akan mencintaiku. Rasullullah SAW bersabda :
"Zuhudlah terhadap dunia, maka engkau akan dicintai oleh Allah, dan
zuhudlah terhadap apa-apa yang ada pada manusia, maka engkau akan dicintai oleh
manusia".
Berdasarkan kefahaman hadith tersebut, jelas kepada kita bahawa
sifat zuhud adalah sifat yang terpuji dan mempunyai kedudukan yang tinggi di
sisi Allah dan Rasul Nya. Namun begitu, dalam kalangan masyarakat, ada yang
beranggapan zuhud itu adalah dengan meninggalkan harta-benda dunia, bersikap
jumud (sempit) dengan dunia, perlu berpenampilan selekeh dan buruk dan
seumpamanya lagi. Hakikatnya, zuhud tidaklah sedemikian rupa. Hujjatul Islam
Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin, ketahuilah
banyak orang beranggapan bahawa orang yang meninggalkan harta ialah orang zuhud.
Walhal tidak mesti demikian. Beliau turut menjelaskan bahawa bukanlah zuhud itu
bermaksud kamu tidak memiliki sesuatu tetapi zuhud ialah kamu tidak dikuasai
oleh apa-apa yang kamu miliki. Demikian penjelasan oleh Imam al-Ghazali.
Pemahaman jelas tentang zuhud adalah sangat penting bagi memastikan masyarakat
tidak terkeliru dan terperangkap dalam naratif makna yang salah.
Pemahaman yang salah mengenai zuhud seperti perlu memakai pakain
yang lusuh dan buruk, perlu menjadi fakir, tidak boleh berhiburan termasuk
tidak membawa anak isteri melancong dan seumpamanya lagi, antara gambaran salah
yang harus diperbetulkan. Akibat memahami makna zuhud yang bersalahan dengan
maksud yang dikehendaki oleh syarak, maka kita akan lihat terdapat sebahagian
manusia yang meninggalkan perniagaan dan pekerjaan, menolak kemajuan dan
sanggup memilih untuk hidup dalam kemiskinan. Ada pula yang sanggup
meminggirkan diri dari bercampur gaul dengan komuniti masyarakat setempat.
Perhatikan bagaimana Allah SWT menuntut hamba Nya memakai pakaian yang baik
dan indah. Ini sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran, firman Allah Azza
Wa Jalla menerusi surah al-'Araf ayat 31 yang bermaksud :
"Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap
(memasuki) masjid, dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan".
Dalam siri kehidupan baginda Nabi SAW, zuhud antara yang terserlah
dalam kehidupan baginda. Hal ini dapat dilihat sepertimana yang dijelaskan di
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha katanya
yang bermaksud :
“Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat baginda SAW wafat,
keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum
sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.”
Berdasarkan hadith ini, Imam Ibn Battal menyebut di dalam kitab Fath
al-Mu'in, beliau menyatakan bahawa kezuhudan Nabi SAW ini bukanlah dalil
bagi menyatakan bahawa kelebihan orang yang miskin berbanding orang yang kaya.
Akan tetapi, ini menunjukkan akan kelebihan sikap keyakinan (pada rezeki),
berpada dan tidak berlebih dalam perkara yang berkaitan dengan kelazatan dunia.
Demikian ulasan Imam Ibn Battal berkenaan sisi kezuhudan baginda Nabi Muhammad
SAW. Zuhud menurut sebahagian para salaf, membahagikan kepada tiga bahagian.
Pertama, zuhud terhadap kemusyrikan dan peribadatan selain dari Allah SWT.
Kedua, zuhud terhadap perkara-perkara haram dan maksiat manakala yang ketiga,
zuhud terhadap perkara-perkara yang halal. Menurut para salaf lagi, zuhud pada
bahagian pertama dan kedua adalah wajib manakala zuhud pada bahagian ketiga
tidaklah wajib.
Demikianlah sebahagian makna zuhud yang boleh kita singkapi
bersama. Apa yang jelas ialah zuhud merupakan antara salah satu sifat yang
mulia dan dipandang tinggi oleh Allah dan Rasul Nya. Selain itu, zuhud pada
banyak definisi yang dikemukakan, tidak ada satu pun maksud zuhud yang mengajak
kita untuk membuang dunia, meninggalkan harta benda, memakai pakaian lusuh dan
sebagainya. Pemahaman yang sebenar mengenai zuhud harus diangkat di tengah
wacana masyarakat agar sifat zuhud yang sebenar tidak disalah fahami sekaligus
memberikan pandangan yang salah terhadap ajaran Islam. Secara logik, jika Islam
menyuruh kita untuk meninggalkan harta dan hidup sebagai fakir dan miskin, maka
bagaimana untuk orang Islam boleh melaksanakan perintah Allah untuk menunaikan
zakat. Oleh itu, Islam tidaklah menyuruh kita zuhud dengan hidup menjadi miskin
dan melarat, kelihatan lekeh dan lemah, namun Islam menuntut kita dengan
bersederhana di dalam menikmati segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah,
Tuhan yang Maha Kaya. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan