Isnin, 21 Julai 2025

REZEKI ; SELUAS MAKNA YANG DINIKMATI

 

Sesiapa sahaja apabila ditanya atau diberi pilihan dalam hidup, sama ada mahu memilih bahagia atau derita, tentu sekali kita akan memilih bahagia dan menolak derita. Secara waras manusia berfikir, tidak ada mana-mana pun umat manusia di dunia ini yang mendambakan derita untuk kehidupannya. Kerana itu, manusia yang secara fitrahnya memiliki perasaan bergantung harap pada yang Maha Berkuasa, tidak akan pernah luntur daripada rasa meminta dan memohon kepada Tuhan agar diberikan rezeki yang banyak, dilimpahi kesenangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Pada sangkaan kita sebagai manusia, rezeki itu mendatangkan kebahagiaan dan menjauhi keburukan. Namun begitu, sejauh mana kita memahami akan hakikat rezeki yang datangnya dari ilahi.

Perkataan "Rezeki" berasal dari bahasa Arab yang disebutkan sebagai al-Rizq. Ungkapan al-Rizq atau rezeki ini menurut Abu al-Baqa al-Kafawi dalam kitabnya al-Kulliyyat, bermakna pemberian ataupun kurniaan sama ada bersifat duniawi ataupun agama. Segala yang boleh dimanfaatkan sama ada yang boleh dimakan ataupun tidak boleh dimakan maka itu rezeki. Imam al-Sa'di ketika menjelaskan makna rezeki dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Kalam al-Mannam, sebagai sesuatu pemberian Allah SWT kepada seluruh makhluk dengan menjamin rezeki semuanya. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, rezeki merujuk kepada maksud segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani seperti makanan, ilmu dan lain-lain. Secara mudahnya, perkataan rezeki boleh difahami sebagai pemberian daripada Allah yang datang dengan pelbagai bentuk dan rupa.




Rezeki merupakan pemberian Allah SWT yang bersifat memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka yang menerimanya. Sama ada manfaat dan kebaikan tersebut dinikmati untuk kehidupan di dunia mahupun kehidupan di akhirat kelak, semua itu dianggap sebagai kurniaan Allah SWT yang disebutkan dengan nama rezeki. Hakikatnya, rezeki pada pemahaman sebenar tidaklah terbatas pada maksud pemberian berupa material semata-mata seperti makanan, minuman, harta benda dan pangkat. Bahkan rezeki juga merujuk kepada pemberian lain yang tidak dapat secara zahir namun boleh dirasai secara batin. Sebagai contoh, rezeki ilmu pengetahuan, rezeki memiliki perasaan kasih sayang, rezeki merasa bahagia dan selainnya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya aku telah direzekikan cinta Khadijah"

Berdasarkan hadith ini, ungkapan rezeki menjelaskan kepada kita bahawa ianya tidaklah terbatas pada bentuk material atau kebendaan sahaja bahkan memiliki perasaan cinta, kasih dan sayang sebagaimana yang diungkapkan oleh baginda juga dimaknai sebagai rezeki Allah SWT. Dalam kita berbicara tentang persoala rezeki, terlebih dahulu mesti difahami bahawa segala tiap-tiap sesuatu pemberian rezeki itu datangnya adalah daripada Allah Azza Wa Jalla. Tidak ada sebarang kebaikan dan manfaat yang boleh diberi oleh mana-mana makhluk melainkan ianya daripada Allah SWT sahaja. Pada nama dan sifat Allah juga, terdapat satu nama yang disebutkan sebagai "Ar-Razzaq" yang bermaksud Maha Pemberi. Dalam hal ini, Allah menyebutkan di dalam al-Quran menerusi surah Adz-Dhariyat ayat 58, firman Nya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan Nya”




Ayat ini menjelaskan dengan penuh ketegasan menyatakan bahawa punca rezeki itu datangnya dari pemberian oleh Allah SWT. Pemberian rezeki oleh Allah tentunya membuktikan kekuasaan dan kebesaran Nya meliputi seluruh alam dan makhluk. Manusia hanya mencari namun hakikatnya Allah jualah yang memberi. Sekuat apa pun kita berusaha mencari rezeki, Allah lah penentu akan adanya rezeki untuk kita. Oleh itu, kita sebagai makhluk Allah yang lemah dan tiada daya ini tidak boleh mendabik dada berasa sombong dan bongkak dengan pemberian rezeki yang kita nikmati ini. Dalam lipatan sejarah, Allah SWT telah merakamkan kisah kesombongan Qarun bersama harta-bendanya yang banyak. Kerana tenggelam dalam kekayaan, Qarun telah bersikap sombong dengan menyatakan bahawa semua kekayaannya itu datang dari hasil usahanya sendiri. Walhal dirinya lupa bahawa Allah lah yang memberikannya. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 78-80 yang bermaksud :

"Qarun berkata: "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan kepandaian yang ada padaku". Tidakkah dia (Qarun) mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, umat-umat Yang telah lalu, mereka itu ang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya Dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerimanya melainkan mereka yang sabar"

Demikianlah wajib kita percaya bahawa Allah lah yang memberi rezeki kepada semua makhluk Nya. Sesungguhnya rezeki itu datang dengan pelbagai bentuk dan rupa. Baik secara zahir atau yang boleh dilihat mahupun secara batin atau yang tidak boleh dilihat. Dikalangan para hamba Allah, diberikan rezeki itu berbeza antara satu sama lain. Ada yang diberikan harta tetapi tidak dikurniakan kesihatan yang baik. Ada pula yang memiliki harta dan kesihatan yang baik namun tidak diberi ketenangan dan bahagia. Ada yang mendapat rezeki tidur diatas katil yang empuk, tetapi tidurnya tidak nyenyak dan lelap. Ada dikalangan hamba Nya yang makannya tidak mewah tapi berasa cukup dan berselera. Ada pula yang lainnya makan sangat mewah namun tiada selera untuk menjamahnya. Begitulah rezeki yang datang dengan pelbagai bentuk dan rupa.




Dalam Islam pemberian rezeki oleh Allah SWT dapat dilihat dalam dua bentuk. Pertama, rezeki yang bersifat umum dan keduanya rezeki yang bersifat khas. Bentuk pertama rezeki yang bersifat umum boleh difahami sebagai kurniaan dan pemberian oleh Allah SWT kepada sesiapa sahaja dikalangan para hamba Nya. Ini termasuklah kepada haiwan dan manusia, kepada mereka yang Islam dan bukan Islam dan kepada mereka yang baik atau jahat. Rezeki bersifat umum ini mengajar kita satu prinsip asas iaitu sesiapa yang berusaha maka dia akan peroleh hasilnya. Sebagai contoh, satu orang yang keluar seawal pagi menangkap ikan dilaut lalu dijualnya di pasar, maka dia akan beroleh wang hasil jualannya tersebut. Ini berbeza dengan satu orang lain yang masih tidur dibuai mimpi, dirinya tidak akan beroleh hasil kerana tidak berusaha mencari rezeki. Begitu juga bagi orang Islam, rezeki tidak akan datang bergolek hanya kerana solat dan berdoa di tikar sejadah sahaja tanpa keluar berusaha mencari rezeki. Ini sebagaimana firman Allah dalam surah Hud ayat 6 yang bermaksud :

"Dan tiadalah suatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya"

Bentuk rezeki kedua iaitu bersifat khas. Pemberian rezeki khas ini dikurniakan oleh Allah SWT kepada para hamba Nya yang terpilih. Misalnya rezeki memperolehi keimanan, kebahagiaan jiwa, ketenangan, keberkatan dan selainnya. Rezeki khas ini tidaklah diberikan kepada semua para hamba Nya melainkan dengan kehendak Allah Azza Wa Jalla. Rezeki bersifat khas ini juga tidak akan dapat dengan usaha kebendaan tetapi ianya datang dengan kehendak Allah SWT. Allah jualah yang tahu siapakah dikalangan hamba Nya yang layak menerima rezeki bersifat khas ini. Oleh kerana itu, tidaklah hairan jika kita melihat Nabi Musa AS lebih bahagia dan tenang berbanding Firaun yang berkuasa namun merasai resah dan tidak tenteram. Kerana rezeki itu bersifat khas, tidak semua berolehnya. Demikianlah rezeki pada makna yang sangat luas, seluas rezeki Allah yang tidak pernah habis dan tamat. Apa yang boleh kita rumuskan ialah sesunguhnya rezeki itu hak milik Allah secara mutlak. Maka Allah jualah tempat kita memohon dan meminta. Rezeki mempunyai makna yang luas, tidak terbatas pada hal kebendaan semata-mata. Oleh itu, bersyukurlah dengan setiap pemberian Nya dengan melakukan ketaatan dan berserah diri kepada Nya. Tiada yang lebih berhak disembah selain Allah, Tuhan yang Maha Pemberi. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan