Sabtu, 5 Julai 2025

MEMAHAMI HAKIKAT ISTILAH SYAFAAT

 

Pemisah dan pemutus kepada segala kelazatan nikmat yang ada di dunia ini ialah apabila datangnya ajal menjemput manusia untuk pulang ke pangkuan Allah Azza Wa Jalla. Kematian bagi orang beriman diumpamakan seperti kerehatan daripada penat lelah beribadah dan sebaliknya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah, kematian adalah suatu perkara yang menakutkan. Mahu atau tidak, bersedia atau sebaliknya, kita sebagai hamba Allah yang penuh kelemahan ini pasti akan dijemput untuk berangkat pulang meninggalkan dunia yang bersifat sementara ini. Akan hilang dan berlalu pergilah segala perhiasan dunia, yang tinggal adalah bekalan amalan soleh yang akan membantu kita di akhirat kelak. Selain amalan soleh, terdapat satu hal lagi yang boleh memberikan kita pertolongan di negeri abadi kelak yang dikenali sebagai syafaat.

Pada sudut etimologi, perkataan "Syafaat" berasal dari bahasa Arab yang terbit dari kata asalnya ialah "al-Syaf'u". Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisan al-A'rab, perkataan al-Syaf'u (الشفع) membawa maksud genap, lawan bagi perkataan ini adalah al-Watru (الوتر) yang bermaksud ganjil. Definisi ini sebenarnya berdasarkan suatu firman Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah al-Fajr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud :

"Demi fajar (1) dan malam yang sepuluh (2) dan yang genap dan yang ganjil (3)"




Berdasarkan ayat ini, terdapat pelbagai tafsiran pada ungkapan genap dan ganjil. Sebahagian para sahabat Nabi yang juga merupakan ahli tafsir seperti Ibn Abbas dan adh-Dhahak, mereka menyatakan bahawa genap merujuk kepada maksud hari raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah. Manakala perkataan ganjil pula bermaksud hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Selain itu, pendapat lain menyebut ungkapan genap tersebut merujuk kepada semua makhluk manakala perkataan ganjil adalah Allah SWT. Menurut Imam Qatadah pula, perkataan genap dan ganjil maknanya merujuk kepada bilangan solat dan jumlah rakaat solat.

Secara ringkas, dari pelbagai tafsiran yang dibuat, Imam al-Qurtubi menyebut sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Thabari di dalam kitabnya, Jami' al-Bayan fi Takwil al-Quran, pada sudut bahasa, kedua-dua perkataan tersebut adalah bersifat umum dan Allah tidak mengkhususkannya dengan sesuatu.

Selain itu, istilah syafaat pada sudut terminologi pula mempunyai banyak definisi yang dikemukakan oleh para ilmuan Islam. Antara lain seperti kata al-Jurjani dalam kitabnya, at-Ta'rifat, syafaat bermaksud permohonan seseorang untuk pengampunan dosa-dosa yang telah dilakukannya. Menurut Imam al-Razi pula dalam kitabnya Mafatih al-Ghaib, beliau menjelaskan bahawa syafaat adalah seseorang memberikan sesuatu kepada orang lain, dan meminta kepadanya sebuah permohonan, sehingga si pemohon ditolong dengan sebuah pertolongan sehingga mereka menjadi sepasang (syaf’an), adapun bentuknya boleh berupa pertolongan di hari kebangkitan. Menurut beliau juga, para ulama dikalangan ahlus sunnah bersepakat bahwa ia bukanlah sesuatu yang akan diberikan kepada orang kafir. Selain itu, Imam al-Syaukani pula menyebut dalam kitabnya Fath al-Qadir, syafaat sebagai upaya menghubungkan seseorang kepada seorang perantara dan tuan atau rajanya yang pada asasnya menunjukkan kedudukan seorang pembantu kepada orang lain dibantu dan datangnya faedah kepada orang yang dibantu.




Hakikat yang mesti difahami bersama, syafaat yang kita faham sebagai penolong atau pembanti di hari akhirat kelak adalah hak milik mutlak Allah SWT. Tidak ada satu pun makhluk Allah termasuk baginda Nabi Muhammad SAW memiliki dan mempunyai syafaat melainkan setelah diberikan oleh Allah Azza Wa Jalla. Kenyataan ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman Nya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Zumar ayat 44 yang bermaksud :

"Katakanlah, Allah sahajalah yang memiliki seluruh hak syafaat. Dialah yang memiliki kerajaan di langit dan bumi, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan”.

Ayat ini menjelaskan lagi selain mengukuhkan lagi kenyataan bahawa tiada makhluk yang memiliki dan mempunyai syafaat melainkan Allah SWT. Syafaat adalah hak milik mutlak Allah SWT. Namun begitu, dengan izin Allah jua, para makhluk Nya seperti Rasulullah SAW dan para malaikat dapat memberikan syafaat kepada hamba Allah yang lain. Sesungguhnya syafaat boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, dikenali sebagai Syafaat Khusus. Syafaat ini dikurniakan oleh Allah SWT hanya kepada Nabi Muhammad SAW. Pemberian syafaat khusus ini juga disebut sebagai Syafaat al-'Uzhma yang bermaksud syafaat terbesar yang berlaku pada hari kiamat kelak. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran melalui surah al-Isra' ayat 79, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajjud padanya, sebagai tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

Syafaat bahagian kedua pula disebut sebagai Syafaat Umum. Ini bermaksud Allah Azza Wa Jalla mengizinkan kepada hamba Nya yang soleh seperti Nabi Muhammad, para Nabi yang lain, para malaikat, orang-orang yang jujur, para syuhada' serta orang-orang soleh untuk memberikan suafaat kepada orang lain. Ini bermakna golongan tersebut diizinkan oleh Allah untuk memberikan syafaat kepada orang lain yang orang tersebut diperkenankan atau diredhai oleh Allah SWT. Sebagai contoh, golongan tersebut dapat memberikan syafaat kepada penghuni neraka daripada kalangan orang-orang beriman agar mereka yang diberi syafaat tersebut dapat keluar dari neraka Allah SWT. Antara golongan yang dapat memberikan syafaat kepada orang lain adalah orang soleh. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, menjelaskan bahawa jika benar ada golongan mukmin yang akan masuk neraka, maka Allah SWT dengan keutamaan Nya menerima syafaat para Nabi dan orang-orang yang soleh, bahkan syafaat ulama dan orang-orang yang berbakti serta semua yang memiliki kedudukan dan perlakuan baik di sisi Allah, maka mereka akan memiliki syafaat terhadap keluarga, sanak saudara, teman-teman, dan kenalan mereka.




Selain itu, golongan lain dengan izin Allah dapat memberi syafaat kepada orang lain ialah golongan manusia yang menghafaz al-Quran. Para huffaz atau mereka yang menghafaz al-Quran bukan sahaja mulia kerana hafazannya mengingati ayat-ayat al-Quran tetapi juga diberikan kedudukan terhormat dengan dikurniakan syafaat oleh Allah untuk diberikan kepada hamba Allah yang lainnnya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ahmad yang berstatus hasan, daripada Buraidah al-Aslamiy RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Akan dipakaikan di kepalanya mahkota dan kedua ibu bapanya akan diberi perhiasan yang tidak boleh dinilai oleh penduduk dunia. Lalu mereka bertanya: “Mengapa kami diberi perhiasan seperti ini?”. Allah menjawab: “Kerana anak kamu mempelajari al-Quran?”. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya”. Dia akan terus naik selama dia membaca (ayat al_Qur’an)”.

Begitu juga bagi anak-anak yang meninggal dunia pada usia kecil, mereka juga diberikan keistimewaan untuk memberikan syafaat kepada orang lain. Keadaan ini sabit sebagaimana yang direkodkan di dalam sebuah hadith Nabi riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW telah berkata kepada salah seorang wanita Ansar yang bermaksud :

“Tidaklah ada daripada kamu seorang perempuan yang mati tiga orang anaknya, maka kamu mengharapkan keampunan ke atas anaknya serta menghadapinya dengan sabar. Demikian itu, kamu akan memasuki syurga. Seorang perempuan telah bertanya “ sekiranya dua orang ?” Sabda Rasulullah SAW lagi : “walaupun 2 orang”.

Begitu juga bagi mereka yang mati berjuang pertahankan Islam, para malaikat bahkan al-Quran juga termasuk antara yang mendapat syafaat untuk diberikan kepada orang lain. Syafaat yang menjadi hak milik mutlak Allah SWT tidak akan berlaku melainkan dengan tiga syarat iaitulah pertama, Allah mengizinkan kepada pemberi syafaat untuk memberi syafaat. Kedua, Allah meredhai pemberi syafaat dan yang ketiganya, Allah meredhai orang yang mendapat syafaat tersebut. Ini berlandaskan firman Allah di dalam surah al-Najm ayat 26 dimana Allah menegaskan bahawa tidak ada sebarang syafaat yang berfaedah kecuali sesudah Allah mengizinkannya. Ini bermakna bukanlah semudah itu boleh beroleh syafaat. Memerlukan kepada keizinan dan keredhaan Allah SWT. Demikianlah antara yang boleh difahami berkaitan hakikat syafaat menurut syariat Islam. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang akan beroleh syafaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan