Tubuh
badan yang sihat adalah nikmat yang tidak terperi nilainya. Apabila penyakit
datang menguji kita, tentu antara yang kita semua inginkan adalah kembali sihat
seperti sediakala. Ketika itu kita sendiri akan menginsafi betapa besarnya
nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Sesungguhnya sekalipun memiliki
kekayaan dan kemewahan harta-benda, hal itu tidak dapat menjamin untuk kita
membeli nilai sebuah nikmat kesihatan. Besarnya nikmat kesihatan ini sehingga
diungkapkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
sebagai nikmat yang sering dilupai oleh manusia. Peringatan secara langsung
oleh baginda Nabi mengingatkan kita akan betapa berharganya kesihatan yang
tidak ada tolak bandingnya. Perkara ini sepertimana yang diucapkan oleh Nabi
SAW yang bermaksud :
"Dua
kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan
waktu lapang".
Antara
keperluan terpenting untuk menjaga dan memelihara kesihatan manusia ialah
dengan pemakanan yang sihat. Dalam pada itu, dikalangan masyarakat awam amat
terkenal dengan istilah “makanan sunnah” sebagai alternatif
kepada usaha penjagaan kesihatan diri. Makanan sunnah telah menjadi perbualan
hangat di pelbagai medium termasuk di laman media sosial. Tanpa kita sedar,
keadaan atau fenomena popular makanan sunnah ini turut mendorong kepada
lambakkan produk berasaskan makanan sunnah di pasaran. Persoalan utama yang
harus difahami oleh masyarakat umum ialah tentang soal makna sebenarnya kepada
istilah makanan sunnah. Pada sudut bahasa, ungkapan makanan sunnah terhasil daripada
dua terma berbeza iaitu "makanan" dan "sunnah".
Makanan
ialah sesuatu yang diambil oleh setiap makhluk sebagai sumber tenaga dan
kesihatan. Sunnah pula pada sudut bahasa difahami dengan makna tabiat, cara
hidup atau jalan dan peraturan. Pada sudut istilah, sunnah merujuk kepada
sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW dalam bentuk perkataan, perbuatan
ataupun pengakuan. Pada dasarnya, istilah sunnah tidak mempunyai makna khuusus
kepada makanan. Isitlah makanan sunnah ini sebenarnya hanya dikenali dikalangan
masyarakat Islam di Malaysia dan tidak ditemui maksud bagi istilah makanan
sunnah ini dalam tekstual Arab. Kalau kita lihat pada pemaknaan umum, dari
sudut pandangan masyarakat awam, makanan sunnah difahami sebagai semua makanan
yang berasal dari al-Quran dan al-Hadith. Misalnya, buah zaitun disebut di
dalam surah al-Tin dan habbatus sauda' dinyatakan di dalam hadith Nabi. Pada
pandangan para ilmuan Islam pula, istilah makanan sunnah merujuk kepada semua
yang membawa kepada kebaikan kepada manusia sama ada yang disebutkan di dalam
al-Quran dan al-Hadith atau sebaliknya.
Secara
asasnya, kita perlu memahami bahawa Allah SWT mengutuskan baginda Nabi Muhammad
SAW bukanlah bertujuan untuk mempromosikan barangan makanan apatah lagi dilabel
pula sebagai makanan sunnah. Tujuan utama baginda diutuskan adalah untuk
menyampaikan kebenaran agama Islam. Nabi Muhammad tidak dilantik oleh Allah SWT
sebagai duta produk mana-mana makanan. Selain itu, kita juga mesti memahami
kerangka sunnah itu sendiri. Pembahagian sunnah boleh dilihat pada dua bahagian
utama iaitulah pertama disebut sebagai Sunnah Tasyri'iyyah (sunnah yang
disyariatkan) dan yang keduanya ialah Sunnah Ghairu Tasyri'iyyah (sunnah
yang bukan disyariatkan). Istilah lain bagi sunnah yang bukan disyariatkan
ialah sunnah Jibiliyyah. Perbezaan antara keduanya ini lebih kepada
pemahaman hadith yang merujuk kepada konteksnya. Sunnah Jibiliyyah dalam bahasa
mudah untuk fahami ialah sunnah baik dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun
pengakuan yang bersifat kemanusiaan. Misalnya, sunnah memakai jubah. Ini kerana
pemakaian jubah merupakan pakaian orang Arab sejak dahulu dan bukannya pakaian
syariat agama Islam.
Oleh
itu, makanan yang dianggap sunnah tidak memadai sekiranya makanan tersebut
sekadar ada disebut di dalam al-Quran dan hadith semata-mata. Selagi tidak
disebutkan kelebihannya yang khusus menerusi nas wahyu, maka selagi itulah kita
tidak boleh bermudah-mudah mendakwa bahawa itu dan ini adalah makanan sunnah.
Selain itu, kita juga tidak dapat menafikan sebahagian khasiat saintifik yang
terdapat pada makanan yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadith. Meskipun
begitu, ianya tidak boleh dengan bermudah-mudah dijadikan dalil atau hujah
kesunnahan makanan. Ini kerana pada makanan lain juga terdapat kelebihan
pelbagai khasiat meski makanan tersebut tidak disebutkan di dalam al-Quran dan
hadith. Sebagai contoh, beberapa makanan berkhasiat seperti brokoli, daun
pudina, ulam raja dan seumpamanya, bukan daripada makanan yang dimakan oleh
Nabi. Pun begitu ianya juga berkhasiat dan memiliki kebaikan.
Hakikat
yang harus kita akui, kebanyakan jenis makanan yang disukai oleh baginda Nabi
SAW dikategorikan sebagai sunnah Jibiliyyah atau sunnah yang bukan
disyariatkan. Ini kerana kecenderungan baginda Nabi sebagai manusia menyukai
makanan tertentu adalah sesuatu yang bersifat fitrah dan ini merupakan tabiat
kebiasaan seseorang manusia yang mempunyai makanan kegemarannya. Sebagai
contoh, baginda Nabi SAW sangat menyukai bahagian tertentu kambing atau lauk
tertentu. Kesukaan itu bersifat kemanusiaan yang barangkali dipengaruhi oleh
banyak faktor seperti persekitaran dan adat budaya Arab. Dalam satu hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA katanya yang bermaksud :
“Kami
pernah bersama Rasulullah SAW dalam sebuah undangan. Kemudian dibawakanlah peha
kambing dan Nabi amat menyukainya. Kemudian beliau menggigitnya satu gigitan.”
Ini
antara contoh kegemaran makanan Nabi yang bukanlah bertujuan menjadi
pensyariatan sebliknya menunjukkan bukti bahawa baginda Nabi juga adalah
seorang manusia biasa yang memiliki kecenderungan untuk menyukai sesuatu. Maka
melalui penjelasan tersebut, dapat kita fahami bahawa tidaklah semua yang
dimakan atau disukai oleh Rasulullah SAW itu bersifat perintah agama atau
pensyariatan Islam. Melainkan sekadar perasaan manusiawi yang memiliki
kecenderungan tertentu. Satu hal lain lagi yang mesti diambil kira ialah
tentang pemahaman konteks maksud hadith tersebut. Kadang sesuatu hadith
difahami secara literal (tekstual) tanpa melihat kepada konteksnya akan membawa
kita kepada salah tanggapan. Untuk lebih memahami lagi, lihat dalam sebuah
hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Aisyah Ranha, katanya yang bermaksud :
"Diantara
banyak-banyak jenis minuman, Rasulullah SAW suka minuman manis dan sejuk".
Kalau
difahami diluar konteks ini, apakah meminum air milo ais dianggap sebagai
mimuman sunnah ? Tentulah tidak. Baginda tidak meminum minuman yang manis dan
sejuk seperti milo ais. Dalam konteks hadith ini, ianya merujuk kepada minumn
campuran madu atau nabiz (air rendaman buah tamar). Selain itu, ada juga yang
menyangka memakan cuka adalah makanan sunnah hanya kerana Nabi menyebutnya di
dalam hadith sebagai sebaik-baik lauk. Walhal, hadith ini perlu difahami dengan
memahami konteksnya. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Muslim, daripada Aisyah
Ranha beliau mengatakan bahwa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sebaik-baik
lauk adalah cuka".
Dalam
konteks hadith ini, baginda Nabi Muhammad SAW mengungkapkan hal yang demikian
adalah bertujuan untuk menenangkan tuan rumah yang tidak memiliki sebarang lauk
untuk dihidangkan ketika itu kecuali cuka. Lantas baginda meminta lauk cuka
untuk dimakan. Kenyataan Nabi seperti yang direkodkan di dalam hadith ini
bukanlah bermakna umat Islam disyariatkan untuk memakan cuka. Oleh yang
demikian juga, Imam al-Baihaqi meletakan hadith ini dibawah bab tidak
meremehkan hidangan. Demikianlah secara umum yang boleh kita rungkaikan
disebalik makna makanan sunnah. Maka apa yang boleh kita rumuskan ialah untuk
mendakwa makanan sunnah, tidak semudah kita memetiknya daripada al-Quran dan
hadith tanpa memahami konteksnya. Selain itu, beberap makananan yang dianggap
sunnah seperti habbatus sauda' tidak semestinya sesuai dengan tubuh badan kita.
Maka jika boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan, apakah mahu kita
persalahkan Nabi ?
Demikianlah
perubatan tidak hanya tertakluk kepada yang dilabel sunnah sahaja tetapi
memerlukan penelitian kesesuaian diri. Apa yang lebih mustahak dan penting
untuk kita amalkan ialah konsep pemakanan sunnah. Konsep pemakanan sunnah
merujuk kepada perbuatan sumnah mengikut syariat seperti makan dengan tidak
membazir, makan dengan gaya pemakanan yang sihat, tidak berlebihan kadarnya
selain meraikan adab ketika makan. Hal demikian lebih utama diamalkan
berbanding menentukan makanan sunnah atau tidak. Sebahagian masyrakat pula
terlalu mudah diperdaya atau dieksploitasi oleh pengeluar produk berlabel
makanan sunnah. Mendengar sahaja jenama sunnah, tanpa menyemak terlebih dahulu
akan kesahihannya membuatkan masyarakat kita membuta tuli membelinya. Kononnya
mahu ikut sunnah walhal sebahagiannya hanyalah produk yang dihasilkan melalui
ekstrak pati dan bukannya dari bahan makanan asal. Semoga Allah merahmati kita
semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan