Ahad, 24 Disember 2023

MATI SYAHID ; CITA-CITA TERTINGGI PARA PEJUANG ISLAM

Kehidupan di dunia adalah bersifat sementara. Ini bermakna setiap yang kita miliki di dunia bakal pergi dan hilang meninggalkan kita. Ini juga merangkumi usia yang semakin meningkat, raut wajah yang makin kedut sejajar dengan waktu dan masa yang sentiasa berjalan tanpa boleh mengundur lagi kebelakang. Oleh yang demikian, dunia bukanlah pentas untuk kita diami selama-lamanya melainkan sampai detik dan ketikanya, kita semua bakal pulang bertemu Allah SWT. Dunia dan kematian tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja kita berada, pastinya kita akan bertemu waktu tersebut untuk meninggalkan segala isi dunia bagi menghadap Allah SWT.

Kematian bukanlah sesuatu yang bersifat memisahkan. Sebaliknya kita hanya berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Kematian juga bukanlah suatu penamat episod kisah dan cerita kita. Ianya bakal bersambung di alam akhirat pula. Di dalam Islam, sebaik-baik kematian adalah mereka yang mati syahid. Mati syahid merupakan salah satu kemuliaan di dalam Islam. Ini kerana, mereka disangka telah mati sedangkan mereka masih hidup dalam keadaan yang istimewa. Ini sebagaimana penjelasan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 154 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”




Dalam kitab Tafsir al-Muyassar, dinyatakan bahawa ayat ini merupakan peringatan kepada orang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh di jalan Allah itu ialah orang-orang yang mati yakni tidak ada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu hidup dengan keadaan yang istimewa walau kita tidak menyedarinya. Ayat ini menjadi bukti dan hujah bahwa adanya nikmat di dalam kubur. Demikian ulasan terhadap ayat diatas. Ini boleh kita fahami bahawa kematian syahid di kaca mata penduduk dunia barangkali dianggap mati yang sia-sia padahal di sisi Allah, mereka diberikan pelbagai nikmat kesenangan sejak bermula di alam kubur lagi.

Kematian syahid seringkali dikaitkan dengan golongan yang mati berperang di jalan Allah. Sedangkan, kematian syahid dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Jabir bin 'Atik bahwa yang bermaksud :

“Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”

Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Orang-orang yang mati syahid ialah lima; orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”




Berdasarkan maksud hadith ini, mati syahid bukan sahaja kepada mereka yang terbunuh di jalan Allah, bahkan mereka yang mati lemas, mati kerana sakit dalam perut, mati dalam kebakaran, mati ditimpa runtuhan dan mati seorang wanita yang dalam keadaan mengandung. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung oleh mereka. Demikian apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari, menyatakan bahawa melalui hadith-hadith yang berkaitan mati syahid, dapat dibahagikan mati syahid itu kepada dua bahagian. Pertama, syahid di akhirat dan syahid di dunia. Syahid jenis pertama ini merujuk kepada sesiapa yang gugur terbunuh di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri. Kedua, syahid di akhirat sahaja. Ini merujuk kepada sesiapa yang diberikan pahala mati syahid namun tidak terpakai keatas mereka hukum syahid tersebut di dunia. Ini juga bermaksud syahid jenis ini masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. Pun begitu, Imam al-Nawawi menambahkan satu bahagian lagi iaitulah syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. Ini merujuk kepada mereka yang mati dalam peperangan melawan orang kafir namun terhalang keatas mereka untuk syahid di akhirat kerana beberapa halangan seperti niat yang rosak dan lari dari medan perang.

Kematian syahid padanya terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Antara kelebihannya ialah mereka yang mati syahid akan peroleh ganjaran pahala yang besar. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 74 yang bermaksud :

“Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.”

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, dinyatakan kelebihan bagi mereka yang mati syahid , Allah SWT akan menyediakan 100 tingkatan kedudukan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya di dalam Syurga nanti ada 100 tingkatan kedudukan yang Allah sediakan buat pejuang di jalan Allah"




Demikian antara kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya buat mereka yang mati syahid. Sesungguhnya adalah menjadi cita-cita orang yang beriman mengharapkan agar terpilih untuk memperolehi mati syahid. Mengharapkan diri untuk mati syahid bukanlah sesuatu yang salah atau terlarang. Bahkan baginda Nabi SAW menggalakkan kepada sifat merindui mati syahid. Ini sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berdoa supaya dikurniakan mati syahid dengan penuh ikhlah, maka Allah akan meletakkannya dikedudukan orang-orang yang syahid, sekalipun dia meninggal di atas katil (tanpa berjuang)".

Berdasarkan hadith tersebut, maka tidaklah menjadi satu kesalahan atau larangan dalam Islam bagi orang yang beriman memohon doa agar direzekikan untuk mati syahid. Bahkan sekalipun dirinya tidak berpeluang peroleh mati syahid, namun kerana doanya itu, Allah pastinya akan meletakkan dirinya pada kedudukan orang yang mati syahid. Demikian betapa tinggi dan mulianya bagi mereka yang perolehi mati syahid dan berdoa untuk beroleh mati syahid. Mati syahid pastinya sebuah kematian yang dicemburui oleh orang yang beriman. Kerana padanya tidak ada istilah mati yang sia-sia. Oleh yang demikian, sentiasalah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kita peluang untuk perolehi nikmat mati syahid. Kerana inilah cita-cita tertinggi bagi sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan