Antara kemuliaan dan keistimewaan yang ada pada diri manusia adalah
dengan anugerah akal oleh Allah SWT. Melalui penggunaan akal yang waras, ianya
telah banyak mengajar manusia untuk bijak membezakan antara yang baik dan
buruk. Menerima sahaja apa-apa maklumat tanpa menyelidik, mengkaji atau
menyiasat terlebih dahulu adalah perbuatan mensia-siakan fungsi akal yang
sempurna. Oleh kerana itu, akal adalah sangat penting untuk bukan sekadar
memilikinya tetapi menggunakannya untuk mencari kebenaran dan menolak
kebatilan. Dengan akal yang waras juga, manusia tentunya dapat menilai antara
naratif yang benar dan salah.
Ungkapan "jihad" antara salah satu terma yang
seringkali disalah fahami, baik dikalangan orang Islam mahupun orang bukan
Islam. Hakikatnya, jihad adalah syariat agama Allah SWT dengan tujuan
meninggikan kalimah Allah SWT. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Sesiapa yang berjihad untuk menjadikan kalimah Allah di
tempat yang tertinggi maka dia telah berjihad di jalan Allah"
Perkataan jihad adalah berasal dari bahasa Arab. Dalam kitab Lisanul
'Arab karangan Ibnu Manzur, ungkapan jihad pada sudut bahasa membawa maksud
menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. Dari sudut istilah pula, perkataan
jihad seperti yang disebutkan oleh Al-Kasani dalam kitab Bada'i al-Sana'i,
jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang
pada jalan Allah SWT dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. Selain itu, Imam
Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari memberikan makna jihad itu dengan
makna khusus kepada peperangan. Secara rumusannya, boleh kita sifatkan maksud
jihad itu kepada dua bahagian. Pertama, jihad secara umum yang melibatkan
pelbagai jenis jihad seperti jihad dengan tenaga, harta, lisan dan sebagainya. Kedua,
jihad secara khusus iaitulah peperangan menentang musuh Allah.
Secara prinsipnya, ungkapan jihad mempunyai makna dan pemahaman
yang sangat luas. Ianya tidak tertumpu semata-mata kepada seruan berperang
mengangkat senjata. Malah dalam al-Quran sendiri, perkataan jihad yang terdapat
dalam ayat-ayat Makkiyyah berbeza maksudnya jika dibandingkan perkataan jihad
dalam ayat-ayat Madaniyyah. Ini kerana, syariat berperang belum disyariatkan
lagi di Mekah kecuali setelah Nabi berada di Madinah. Sebelum daripada itu,
tidak ada lagi seruan jihad berperang di jalan Allah. Dalam sebuah ayat
Makkiyyah, surah al-Furqan ayat 52, firman Allah SWT yang bermaksud :
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah
dengan Al Quran dengan jihad yang besar”
Menurut Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Wasit,
beliau menyatakan bahawa perkataan jihad atau berjuang dengan al-Quran bermakna
berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan.
Berdasarkan penafsiran yang dinyatakan ini, berjuang dengan al-Quran adalah
menuntut kita agar berdakwah dengan menyampaikan hujah dan keterangan yang
dinyatakan di dalam al-Quran. Inilah makna jihad dengan al-Quran walau pada
ketika itu tidak ada lagi syariat jihad berperang mengangkat senjata. Selain
itu, berjihad juga dalm konteks ayat Makkiyyah bermaksud berjihad dengan
melakukan amal soleh.
Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 6,
yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia
hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya
(tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk".
Berkenaan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya,
menyatakan bahawa jihad pada ayat ini bermaksud jihad dengan beramal soleh.
Maka, berdasarkan pemahaman ayat ini, jihad dengan beramal soleh akan
memberikan kebaikan atau faedah dan manfaat kepada sesiapa yang berusaha untuk
melakukan amal soleh dan tidak sedikitpun memberikan untung rugi kepada Allah
Azza Wa Jalla. Demikian sebahagian bukti yang jelas menunjukkan bahawa jihad
bukan semata-mata jihad berperang. Ianya merangkumi makna yang luas berdasarkan
kepada konteks ayat tentang jihad tersebut. Seruan jihad boleh jadi membawa
maksud berdakwah, beramal soleh dan sebagainya.
Dalam sirah para Nabi, bukanlah semua para Nabi itu berjuang dengan
berperang mengangkat senjata. Seperti kisah perjuangan Nabi Nuh AS, baginda
tidak pernah sama sekali mengajak atau menyeru untuk berperang dengan sesiapa
sahaja yang ingkar dan menolak dakwah baginda. Pun begitu, baginda juga
berjihad ke jalan Allah SWT dengan menyeru kaumnya siang dan malam, berdakwah
mengajak kepada menyembah Allah SWT. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla,
dalam surah Nuh ayat 5 - 8, yang bermaksud :
“Nuh berkata, " Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru
kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari
kebenaran). Dan Sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar
Engkau mengampuni mereka. mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam
telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari)
dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian Sesungguhnya aku telah menyeru
mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian Sesungguhnya aku
(menyeru) mereka (lagi) secara terbuka dan dengan diam-diam, maka aku berkata
(kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu,' sesungguhnya Dia adalah
Maha Pengampun,”
Dalam kitab Tafsir al-Maraghi, Syeikh Muhammad al-Maraghi
menyebutkan bahawa Nabi Nuh AS berjihad dengan berdakwah kepada kaumnya agar
kembali ke jalan yang benar dengan cara berdoa bersungguh-sungguh. Nabi Nuh
berdakwah siang dan malam, kadangkala Nabi Nuh berdakwah secara sembunyi kepada
kaumnya dan kadangkala Nabi Nuh berdakwah secara terang-terangan. Demikian
Syeikh al-Maraghi menggambarkan kepada kita makna jihad tidak terhad kepada
seruan berperang semata-mata. Namun begitu, makna jihad dengan seruan berperang
bukanlah bermakna tidak penting dan tidak benar. Sesungguhnya ungkapan jihad
pada satu-satu keadaan menuntut kita untuk keluar berperang. Firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud :
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan)
sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci
kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada
sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang
mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"
Ini bermakna Allah SWT telah memerintahkan umat Islam untuk keluar
berjihad berperang menentang musuh dengan tujuan untuk mempertahankan agama dan
meninggikan kalimah Allah. Peperangan dalam Islam adalah bertujuan untuk
mempertahankan dan melindungi, bukannya untuk menindas, menzalimi atau membunuh
semberono. Bahkan, Islam telah menggariskan beberapa etika peperangan antara
lain adalah dilarang mencerobohi rumah ibadat agama lain, dilarang membunuh
kanak-kanak, wanita dan orang tua. Demikianlah prinsip dalam peperangan oleh
Islam. Seruan jihad berperang juga tidaklah diwajibkan keatas semua orang
beriman. Ini kerana, masing-masing mempunyai posisi dan kemampuan tersendiri.
Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran, surah
al-Taubah ayat 122 yang bermaksud :
“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar
semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari
tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu
mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya
mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu
kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan
larangan Allah).”
Sesungguhnya jihad dalam Islam terbahagi kepada 4 bahagian. Seperti
yang dinukilkan oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Zad al-Ma'ad,
jihad itu mempunyai peringkat-peringkatnya dengan 4 bahagian. Pertama, jihad
melawan nafsu. Keduanya, jihad melawan syaitan, ketiganya jihad melawan bid'ah
dan yang keempatnya jihad melawan musuh yang jelas. Demikianlah yang disebutkan
oleh Imam Ibn Qayyim bagi menjelaska kepada kita bahawasanya jihad itu adalah
sebuah perjuangan yang sangat meluas makna dan pemahamannya. Amatlah dukacita
sekali, apabila istilah jihad banyak disalah ertikan yang sekaligus memberikan
suatu naratif yang buruk terhadap istilah tersebut. Konotasi tentang jihad
perlulah difahami dengan pertimbangan syarak dan bukannya mengikut telunjuk
hawa nafsu. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan