Dalam kerukunan kehidupan ini, manusia sangat memerlukan cinta dan
kasih sayang sebagai mengisi ruang fitrah seorang insan. Cinta adalah anugerah
Allah yang tidak terperi hebatnya kekuasaan Allah yang telah mencampakkan
perasaan cinta, kasih dan sayang sesama insan. Kejadian manusia yang bermula
dari penciptaan Nabi Adam AS telah membuktikan hidup ini tidak akan sempurna
tanpa terciptanya kaum perempuan bagi mewarnai naluri fitrah insan yang suci
ini. Ini sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran,
melalui surah An-Nisa' ayat 1 yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang
telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan
daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari
keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah
kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta
peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
Menurut Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili, dalam kitab tafsirnya, Al-Wajiz,
beliau telah menjelaskan bahawa penciptaan Hawa sebagai isteri dari sama
jenisnya dengan Adam AS adalah bersesuaian dengan tujuan berkasih sayang dan
dipersatukan dengan cinta kerana Allah SWT. Berdasarkan apa yang telah
disebutkan ini, jelas kepada kita bahawa penciptaan Adam tidak akan lengkap
tanpa hadirnya Hawa sebagai menyuburkan naluri insani yang memerlukan tempat
untuk berkasih sayang. Kerana yang demikian juga, perkahwinan antara lelaki dan
perempuan merupakan suatu syariat Islam yang suci bertujuan memastikan cinta,
kasih dan sayang yang dibina berdiri diatas panduan dan bimbingan syarak, bukan
semata-mata kerana melempiaskan nafsu tanpa bertanggungjawab.
Perkahwinan adalah sesuatu yang mulia lagi suci. Ianya adalah
manifestasi cinta yang menyatukan dua jiwa diatas keredaan Allah SWT. Maka,
perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang hina dan sebagainya. Selain
ianya bersesuaian dengan naluri manusia, perkahwinan juga suatu tuntutan dalam
agama dan menjadi sunnah junjungan besar baginda Nabi SAW. Pun begitu, pandangan
masyarakat terutamanya kaum wanita yang seringkali beranggapan bahawa suami
yang berpoligami adalah tanda kecurangan yang jelas, adalah sesuatu yang tidak
benar sama sekali. Ini kerana, kecurangan adalah suatu perbuatan yang boleh
dianggap tidak bermoral, yang dilakukan dengan tujuan yang tidak elok dan
perbuatan curang ini sangat ditegah oleh agama Islam.
Maka, adalah tidak adil sekali untuk kita menyatakan bahawa mereka
yang berpoligami telah melakukan kecurangan terhadap pasangan. Walhal, poligami
adalah suatu bentuk perkahwinan yang sah di sisi agama Islam. Poligami adalah
peruntukan syarak yang disyariatkan oleh Allah SWT dan mustahil bagi Allah
untuk mengajak para hamba Nya dikalangan para suami untuk melakukan kecurangan
terhadap pasangan dengan berpoligami. Ketahuilah sesungguhnya poligami itu
merupakan syariat agama Allah, titah perintah dan suruhan oleh Allah. Ianya
bukan direka-reka untuk memuaskan kehendak para suami. Firman Allah SWT dalam
surah An-Nisa' ayat 3 yang bermaksud :
"Maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga
atau empat. Tetapi jika kamu khawatir tidak akan mampu berlaku adil, maka
(nikahilah) seorang saja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang
demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim".
Seperti yang dinukilkan oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam
risalah kecilnya, Markaz al-Mar'ah fi al-Hayat al-Islamiah, beliau
menyatakan bahawa :
"Inilah apa yang diraikan oleh syariat Islam dalam persoalan
poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala
manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan
dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia
dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah.
Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak
berlaku adil maka hanya seorang isteri”.
Syariat poligami bukanlah berdiri diatas ruang kecurangan terhadap
pasangan. Sebaliknya berpaksikan kepada peruntukan syarak yang diberikan kepada
kaum suami oleh Allah SWT. Dengan itu, berpendirian bahwa poligami adalah ruang
untuk berlaku curang terhadap pasangan adalah sesuatu yang tidak benar. Selain
itu, jika kita mahu membenarkan sekalipun dakwaan bahawa poligami suatu bentuk
kecurangan, apakah kita mahu pula menuduh junjungan besar Nabi kita Muhammad
SAW berlaku curang terhada para isterinya. Ini kerana, baginda Nabi SAW telah
menikahi lebih dari seorang wanita dengan jumlah melebihi empat yang hanya
dikhususkan kepada baginda Nabi sahaja. Apakah kita bersetuju juga untuk
mengatakan bahwa Nabi Muhammad menunjukkan contoh yang tidak bagus, melakukan
curang dengan berpoligami. Sangat besar dan dahsyat tuduhan ini kepada Nabi
Muhammad SAW.
Selain itu, ungkapan "curang" juga sangat tidak
sinonim dan langsung tiada perkaitan dengan berpoligami. Jika benar kecurangan
itu berlaku, maka si suami yang bertindak melakukan kecurangan dibelakang
isteri akan terus bercinta dengan mana-mana wanita tanpa berhasrat atau
berhajat untuk menikahi wanita tersebut. Ini juga boleh dianggap sebagai
hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan tanpa perikatan yang sah,
barulah tepat untuk dinamakan sebagai curang. Namun sebaliknya, jika mendirikan
rumahtangga untuk ke sekian kalinya, dengan pilihan hati si suami, diikat
dengan komitmen dan tanggungjawab, ianya tidak dinamakan sebagai kecurangan
bahkan perbuatan tersebut dipandang mulia oleh Islam. Seharusnya masyarakat
perlu memahami tentang curang dan konsep poligami agar ianya tidak mendatangkan
fitnah pada syariat Allah.
Kebiasaan lagi dalam norma masyarakat, sikap kecurangan sering
dikaitkan dengan sikap tidak setia. Maka dikatakan suami yang berpoligami
adalah suami yang tidak punyai sikap setia pada isteri. Bersabitan dengan itu,
muncul lah pula terma-terma islamik seperti suami hanya pinjaman Allah dan
seumpamanya untuk memberikan gambaran seolah-olah poligami ini suatu yang
menindas perasaan wanita. Inilah barah jika kita tidak memahami agama dengan
lunas yang betul. Pertamanya, agama melarang umatnya untuk berlaku curang,
berdusta dan seerti dengannya. Tetapi pada masa sama, tidak ada sebarang
suruhan agama untuk para suami bersikap setia pada seseorang isteri. Kedua,
kesetiaan mutlak diri manusia itu hanya kepada Allah SWT. Ini juga termasuk arahan
taat setia isteri kepada suami selagimana berada dalam perkara kebaikan.
Apabila si suami menyuruh untuk melakukan perkara maksiat, pada keadaan itu
tidak ada lagi makna taat dan setia isteri kepada suami.
Ketiga, bukan sahaja suami sebagai pinjaman Allah, bahkan
anak-anak, isteri, keluarga dan keseluruhan hidup ini adalah pinjaman Allah.
Oleh itu, kita perlu sedar bahawa kecintaan mutlak tanpa batasan itu hanya
kepada Allah. Kasih dan sayangnya kita sesama manusia akan terbatas dengan
kehidupan yang sementara ini. Sesungguhnya kuat setara mana pun kasih dan
sayang kita terhadap seseorang, hujungnya, dia akan pergi meninggalkan kita
kerana hakikatnya tiada yang kekal melainkan semuanya adalah pinjaman Allah
SWT. Demikianlah seharusnya yang perlu kita fahami berdasarkan lunas-lunas
syarak. Kita boleh bersetuju untuk tidak besetuju dengan mana-mana pandangan
manusia. Namun begitu, jangan pula kita terperangkap dengan permainan emosi
sehingga mengheret syariat Allah sebagai suatu musibah dan bala kepada manusia.
Kita sangat yakin, sesuatu syariat itu adalah baik. Namun pelaksanaannya yang
dibuat oleh manusia itu takkan terlepas dari kekhilafan dan kesilapan. Maka
yang kita menentang adalah sikap pelaku, bukanlah syariat. Semoga Allah
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan