Jumaat, 24 November 2023

NERAKA ; SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI

Kehidupan ini sebahagiannya adalah diatas aturan Tuhan dan sebahagian lagi adalah diatas pilihan kita sendiri. Kita tidak boleh untuk memilih warna kulit, keturunan atau bangsa apa yang kita mahukan tetapi dalam sebahagian hal kehidupan ini, kita boleh memilih dalam soal lain seperti memilih jodoh, makanan, gaya hidup dan sebagainya. Sekiranya kita diberikan pilihan untuk memilih antara bahagia atau sengsara, tentunya kita akan memilih bahagia. Naluri insani itu pastinya menyukai perkara yang boleh memberikan kebahagiaan, ketenangan dan seumpamanya untuk makna sebuah kehidupan. Sesiapa sahaja tidak menyukai keperitan, keazaban yang menyakitkan dan selainnya. Namun begitu, demikianlah neraka yang padanya terkandung seribu satu macam rasa kepedihan azab yang tidak terperi sakitnya.

Dalam agama Islam, setiap perbuatan yang dilakukan, baik dalam bentuk ungkapan atau tingkah laku, sama ada dalam bentuk zahir atau batin, semuanya akan dibalas oleh Allah SWT. Balasan bagi tiap-tiap yang ingkar kepada Allah itu pastinya dihukum neraka, lubang kesengsaraan yang tiada terperinya. Keperitan dan kesengsaraan itu dapat dimaknai dengan apa yang terdapat pada namanya neraka. Tidak ada suatu kesenangan pun apabila kita mendengar perkhabaran tentang neraka. Pada neraka itu mempunyai sifat yang panas dengan nyalaan apinya yang tidak terperi bahangnya. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menggambarkan kepada kita bahawa neraka itu seburuk-buruk tempat yang menggerunkan, menakutkan dan mengundang seribu satu rasa yang bersifat sengsara. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 66 yang bermaksud :

“Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”




Kejadian neraka yang dipenuhi dengan segala kesengsaraan dan penderitaan yang tidak bertepian ini sangat menakutkan dan menggerunkan. Kehangatan api neraka yang menyala-nyala, sifat apinya yang membakar, telah membuatkan para ahlinya hendak keluar dari menghadapinya berterusan. Pun begitu, Allah telah menjanjikan tidak akan ada sesiapa pun yang terlepas daripada diazab walau pada diri manusia tersebut berusaha keluar dari neraka. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam a-Quran, surah al-Hajj ayat 22 yang bermaksud :

"Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya (kepada mereka dikatakan) : "Rasailah azab yang membakar ini"

Neraka yang amat dahsyat azabnya disediakan tempatnya oleh Allah SWT kepada golongan yang mengingkari arahan dan titah perintah Allah Azza Wa Jalla. Antara lainnya adalah seperti golongan kafir yang ingkar taat kepada Allah dan mereka yang mendustakan ayat Allah. Hal ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 39 yang bermaksud :

"Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya"

Seperti syurga Allah, neraka juga mempunyai beberapa nama dan setiap dari nama tersebut menjanjikan azab yang pedih lagi dahsyat. Nama lain bagi neraka seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, iaitulah neraka Hawiyah terdapat dalam surah al-Qariah ayat 11, neraka Saqar seperti yang dinyatakan dalam surah al-Mudatsir ayat 42-43, begitu juga nama neraka Sa'ir dalam surah al-Mulk ayat 5, neraka Hutamah dalam surah al-Huzamah ayat 4, neraka Jahim, diceritakan dalam surah al-Syuaa'ra ayat 91 dan nama neraka Lazha yang terdapat dalam surah al-Ma'arij ayat 15. Banyak lagi ayat-ayat yang menceritaka tentang nama neraka yang kesemuanya sudah tentu menjanjikan kehebatan azab yang amat dahsyat.




Bagi memahami dan mengenali sifat neraka itu sendiri, telah banyak diceritakan oleh Allah dan Rasul Nya menerusi wahyu Allah, al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya seperti yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan rasul Nya, neraka itu bersifat membakar menyala dimana bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu berhala. Seperti yang telah dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Baqarah ayat 24 yang bermaksud :

"..Maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir".

Selain sifatnya yang membakar, di dalam neraka juga disediakan makanan kepada ahli neraka. Mereka dihidangkan dengan makanan daripada pokok-pokok yang berduri. Ini seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah al-Ghasyiyah ayat 6-7, yang bermaksud :

"Tiada makanan bagi mereka (di neraka) selain daripada pokok-pokok yang berduri. (Makanan) yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun".

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, telah membawakan huraian daripada Ibnu Abbas dengan menyatakan pokok-pokok yang dinyatakan dalam ayat itu adalah pohon neraka. Selain itu, menurut Sa'id bin Jubair, pokok yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah pokok az-Zaqqum yang berduri, seperti juga yang telah diceritakan oleh Allah dalam al-Quran, surah ad-Dukhan ayat 43-46. Dijelaskan oleh Allah bahawa buah pokok itu adalah makanan bagi orang yang berdosa di dalam neraka. Makanannya panas seperti tembaga cair mendidih dalam perut. Selain dihidangkan makanan, pada neraka itu juga disediakan minuman yang amat kotor dan panas.

Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran, surah Ibrahim ayat 16-17, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dibelakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu); dan selain itu ada lagi azab seksa yang lebih berat".

Pada neraka itu juga, mempunyai sifat suara api neraka yang menggerunkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Logiknya ketika kita berada di dunia, pastinya api mengeluarkan bunyi letupan dan letusan maraknya api apabila kita membakar sesuatu. Apatah lagi api di neraka, bukan sahaja membakar bahkan mengeluarkan suara yang mengundang kegerunan dan ketakutan yang amat dahsyat. Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-Furqan ayat 12 yang bermaksud :

"Apabila ia (neraka) meihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar darinya suara gemuruh kerana marah dan geram"




Demikian pula suhu kehangatan dan kepanasan api neraka yang sudah tentu tidak sama skala bahangnya. Dalam menceritakan tentang kepanasan api neraka ini, baginda Nabi SAW menyatakan bahawa kepanasan api di dunia baru 1/70 api neraka. Ini bermakna, api di dunia yang pada akalnya sudah merasai perit dan pedihnya bila terkena, sehingga boleh membawa kepada tahap melecur dan rentung, inikan pula api neraka yang lebih besar dan hebat sifat panas membakarnya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Api dunia yang kamu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api neraka". Mereka bertanya : "Wahai Rasulullah, meskipun semua dikumpulkan ?" Rasulullah SAW bersabda : "Ia lebih panas 69 kali".

Hadith ini memadai bagi kita untuk memahami betapa panasnya sifat bakar api neraka yang jauh lebih dahsyat jika dibandingkan dengan api di dunia. Inilah hakikatnya sebuah neraka yang dijanjikan Allah sebagai balasan kepada hamba Nya yang ingkar dan kufur pada Nya. Apa yang ditulis ini adalah sebahagian kecil daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul Nya. Apa jua yang dijelaskan tentang neraka, pastinya tempat tersebut adalah seburuk-buruk kembali. Jika di dunia, kita masih boleh memilih untuk kesenangan, keselesaan dan kebahagiaan. Namun, di akhirat kelak, iman dan amal soleh kita lah yang akan menentukan baik buruk tempat untuk kita kembali kepada Allah. Semoga Allah menjauhi kita daripada seksaan api neraka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan