Sudah namanya fitrah apabila manusia dan kebahagiaan tidak dapat
berpisah. Sangat mustahil jika manusia diberi pilihan, sama ada untuk memilih
bahagia atau derita, mustahil ianya akan memilih derita. Begitulah pula andai
kita ditanya untuk ingin bahagia atau sengsara, tidak waraslah jika kita
memilih untuk sengsara. Demikianlah diri manusia. Walau berlainan warna kulit,
biar berbeza asal-usul keturunan, namun kita semua pastinya akan menyukai
bahagia berbanding derita. Inilah namanya fitrah. Selari dengan fitrah itu,
maka Allah telah menjanjikan balasan syurga, dimana padanya terkandung infiniti
nikmat yang tidak dapat diungkap oleh mulut, tidak dapat dirasa dengan lidah
dan tidak boleh dilihat dengan mata, melainkan beriman dengan apa yang telah
dikhabarkan oleh Nya.
Sebagai umat Islam, kita sangat dituntut untuk memohon syurga yang
padanya sebaik-baik tempat kembalinya kita semua. Bahkan, baginda Nabi SAW
telah menyuruh kita agar memohon syurga yang paling tinggi, iaitulah syurga
Firdaus. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu
Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila kamu meminta kepada Allah mintalah kepadanya syurga
Al-Firdaus kerana ia merupakan syurga terbaik serta yang paling tinggi".
Syurga adalah sebaik-baik tempat untuk kita kembali kepada Allah
SWT. Setelah kita mendiami alam rahim, berpindah ke alam dunia dan seterusnya
mengembara ke alam barzakh sebelum kita menuju ke hari perhitungan dengan
Allah. Sememangnya, syurga itu telah disediakan oleh Allah kepada para hamba
Nya yang sabar dan tekun dalam mentaati titah perintah Nya. Hal ini diakui oleh
Allah SWT melalui hadtih qudsi riwayat Bukhari, firman Allah dalam hadith yang
bermaksud :
"Aku telah sediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh syurga yang
tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya
dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia".
Begitulah sifat Allah SWT yang maha kasih akan hamba-hamba Nya dengan
menjanjikan sebuah balasan yang tidak akan terfikir dek akal logik. Kerana
itulah juga, setiap kali kita mahu membicarakan tentang syurga, maka mestilah
merujuk kepada sumber autentik, al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana syurga
adalah perkara ghaib yang terbatas oleh akal kita untuk memikirkan kecuali
dengan keimanan kukuh kita kepada Allah. Dalam al-Quran, perkataan syurga
selain al-Jannah, disebutkan juga dengan pelbagai perkataan lain yang membawa
maksud sama. Antara lain ialah perkataan Darul al-Salam, Darul Maqam,
Jannatul Adnin, Jannatul Makwa, al-Firdaus dan lain-lain.
Seperti ungkapan Darul al-Salam, firman Allah SWT dalam surah Yunus
ayat 25 yang bermaksud :
"Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah
menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa (Darussalam), dan Dia
sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat
itu".
Begitu juga ungkapan Darul Maqam dalam surah Fatir ayat 35 yang
bermaksud :
"Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang
kekal (Darul Maqam), dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan
merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih
lesu".
Pada syurga itu terdapat pelbagai nikmat kebahagiaan yang tidak
terhitung oleh kita semua. Meski kita ketika di dunia, telah banyak melihat dan
menyaksikan pelbagai keindahan lakaran alam ciptaan Allah, gunung-ganang yang
tinggi, bukit-bukau yang tersergam, air terjun yang menghairahkan, namun semua
itu tidak terbanding dengan nikmat yang lebih dahsyat di syurga kelak. Syurga
sebagai tempat sebaik-baik kembali, padanya terdapat sungai-sungai yang
mengalir indah airnya, bukit-bukau yang sangat memukau dan pelbagai lagi nikmat
yang tidak terungkap ini. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 15 yang
bermaksud :
"Perumpamaan taman surga yang dijanjikan kepada orang-orang
yang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau, dan
sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai khamar
(anggur yang tidak memabukkan) yang lezat rasanya bagi peminumnya dan
sungai-sungai madu yang murni. Di dalamnya mereka memperoleh segala macam
buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka. Samakah mereka dengan orang yang
kekal dalam neraka, dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga
ususnya terpotong-potong?"
Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud :
"Di dalam syurga ada lautan air, lautan madu, lautan susu dan
lautan arak. Kemudian, dari lautan-lautan itu, sungai-sungai terpancar
mengiringinya".
Begitu juga sekiranya ketika di dunia, pelbagai hidangan yang
menyiurkan kita, di syurga jauh lebih banyak hidangan istimewa dan lebih lazat
berbanding apa yang pernah kita rasai di dunia. Ini sepertimana firman Allah
SWT dalam surah al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud :
"Dan sampaikan berita gembira kepada mereka yang beriman dan
berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir di
bawahnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu,
mereka mengatakan, 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu'. Mereka
diberi buah-buahan yang serupa dan mereka ada isteri-isteri yang suci dan
mereka kekal di dalamnya".
Selain itu, pada syurga juga terdapat para bidadari yang cantik,
penuh kesopanan dan kelembutan. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah
ar-Rahman ayat 56 yang bermaksud :
"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi
pandangan, yang tidak pernah disentuh oleh manusia maupun jin sebelumnya".
Inilah sebahagian nikmat yang dijanjikan oleh Allah SWT di tempat
yang sebaik-baik kembalinya manusia. Namun begitu, nikmat bagi ahli syurga yang
paling tinggi adalah apabila dapat melihat wajah Allah SWT. Inilah
setinggi-tinggi nikmat yang terindah untuk hamba Nya yang bertaqwa. Ini
sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, daripada Suhaib RA, bahawa Rasulullah membaca ayat surah Yunus ayat 26
lalu bersabda yang bermaksud :
"Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka
wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?”
Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah
Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada
api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan
tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding
nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla".
Sepertimana hebatnya syurga itu, maka hebat dan mulia lah juga para
penghuninya. Mereka yang menghuni syurga, diberikan kemuliaan pada mereka
setimpal dengan apa yang telah mereka kerjakan ketika di dunia. Dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa :
“Kumpulan pertama yang memasuki syurga adalah bak bulan pada malam
bulan purnama manakala kumpulan yang menelusuri mereka adalah seperti bintang
yang paling bersinar cahayanya. Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan
atau kebencian antara mereka. Setiap mereka memiliki dua orang isteri yang
sumsum tulangnya kelihatan daripada betis-betis mereka dari balik daging kerana
teramat cantiknya. Mereka senantiasa bertasbih pada waktu pagi dan petang.
Mereka tidak meludah, mengeluarkan kahak ataupun membuang air. Pinggan mangkuk
dan sikat mereka diperbuat daripada emas dan perak.”
Demikianlah sedikit sebanyak gambaran syurga yang menjadi tempat
kembali yang baik bagi hamba Nya yang baik-baik. Oleh itu, untuk memiliki
syurga, ianya menuntut kita kepada sebuah perjalanan perjuangan dengan mentaati
segala titah perintah Nya dan dalam masa sama menjauhi segala tegahan dan
larangan Nya. Sesungguhnya syurga itu adalah sebaik-baik tempat yang disajikan
dengan pelbagai keistimewaan yang tiada tolak bandingnya. Apa yang kita anggap
indah, lawa, cantik dan terpesona di dunia ini adalah amat kecil nilainya
berbanding syurga yang dijanjikan oleh Allah. Untuk itu, teruskan mengejar
syurga dengan tanpa jemu berbuat baik dan mencari redha Nya. Semoga Allah
mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan