Sabtu, 18 November 2023

LIBERALISME SEBAGAI SUATU CARA HIDUP

 

Sebahagian manusia yang terpelajar merasakan bahawa untuk membina sesebuah masyarakat yang bertamadun, maju dan moden, kita perlu keluar dari norma dan sifat konservatif (adat tradisi) dan perlu mengamalkan suatu cara hidup liberalisme, yang lebih menjamin kestabilan dan kebebasan dalam menentukan dasar-dasar baharu tanpa perlu terikat lagi dengan pengamalan adat dan budaya orang dahulu. Malah bagi mereka sebahagian daripada kepercayaan yang bersifat konservatif tersebut telah banyak menyekat manusia untuk berubah selari dengan tuntutan peredaran zaman.

Ungkapan "Liberalisme" adalah merujuk kepada sebuah bentuk pemikiran falsafah barat yang lahir di tengah-tengah kebobrokkan masyarakat yang memperlihatkan kepada kita keadaan pada masa tersebut sangat teruk apabila ahli gereja telah mempergunakan agama bagi menekan hidup orang barat. Falsafah liberalisme ini telah melahirkan sebuah gerakan reformasi yang dipelopori oleh Martin Luther. Gerakan reformasi ini bertujuan bagi menunjukkan protes terhadap penguasaan dan dominasi gereja kepada masyarakat. Gagasan liberalisme yang diperjuangkan dahulu telah memperlihatkan juga kebangkitan di Perancis dalam usaha menentang Raja Louis XVI dan golongan bangsawan.




Sebenarnya, istilah liberalisme ini tidak mudah untuk difahami kerana terdapat banyak definisi-definisi yang dikemukakan adalah berdasarkan aliran yang berbeza-beza. Seperti kata Bapa Liberalisme, John Locke, liberalisme adalah suatu kebebasan yang menuntut umat manusia mengisinya untuk mencapai keadilan yang manusiawi. Beliau berpandangan keadilan tidak akan dapat dicapai tanpa melalui kebebasan individu. Begitu juga yang diungkapkan oleh John Stuart Mill dalam karyanya, On Liberty, beliau menekankan soal kebebasan individu sebagai asas kenegaraan Baginya, kerajaan tidak boleh campur tangan dalam ruang individu. Selain itu, menurut Ludwig Von Mises, dalam bukunya yang bertajuk Liberalisme, istilah liberalisme adalah sebuah doktrin yang terarah sepenuhnya kepada tingkah laku manusia di dunia ini.

Berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ungkapan liberal membawa maksud bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan demokratik atau berfahaman bebas atau berpandangan terbuka. Sebagai rumusan yang boleh kita coretkan, istilah atau perkataan liberalisme adalah terkait rapat dengan soal kebebasan dan keadilan. Kebebasan lawannya keterikatan atau terkurung. Ini bermaksud, liberalisme menuntut kita untuk hidup membebaskan diri dan tidak terkurung atau terikat pada sesuatu dengannya. Ini juga sama seperti yang dianjurkan di dalam Islam. Sebelum daripada muncul nya istilah liberalisme ini, Islam telah sejak dahulu lagi menekankan aspek kebebasan individu.

Dalam kerangkan Islam, tidak ada yang disebut sebagai kebebasan mutlak. Namun, Islam menuntut umat manusia membebaskan diri dari belenggu kejahilan, menuju kepada lorong kebijaksanaan. Membebaskan diri dari menyembah berhala yang tidak punyai kuasa, kepada menyembah Tuhan yang Maha Esa. Islam juga telah datang membebaskan kaum wanita dari menjadi hamba seks kepada menjadi insan yang berharga dan punyai nilai maruah. Pun begitu, secara umumnya, apa yang terkandung pada nilai-nilai falsafah liberalisme tersebut seperti nilai kebebasan dan keadilan, sudah lama dibicarakan oleh Islam menerusi wahyu Allah, al-Quran dan al-hadith. Cuma, barangkali kurang diwacanakan melalui terma liberalisme sehingga kadang-kala istilah liberalisme ini dilihat negatif dan dipandang serong oleh segelintir pihak yang mempunyai latar belakang berpendidikan agama.




Pengamalam hidup secara liberal bukanlah suatu yang baharu diperkatakan. Dalam konteks Malaysia itu sendiri, telah digariskan cabaran kelima Wawasan 2020 ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan matlamat mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi. Demikian juga yang terkandung dalam Dokumen Rukun Negara yang telah dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970, menyatakan pada bahagian pengisytiharan, antara cita-cita yang didukung Malaysia adalah hendak menjamin satu cara hidup liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak. Ini menunjukkan satu sudut positif kehidupan yang telah dibina diatas nilai liberal. Sesuai dengan latar belakang negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, nilai liberal sangat penting sebagai menjamin suatu cara hidup yang lebih harmoni, saling menghormati dan bertoleransi.

Ini bukanlah bermakna untuk mengangkat nilai liberal, kita mesti berpandangan semua agama itu sama tetapi sebagai negara yang agama Islam sebagai agama persekutuan, perlu dihormati oleh penganut agama selain Islam dan pada masa yang sama, orang Islam mestilah menghormati agama lain dengan memberikan ruang bagi mereka selain Islam mengamalkan cara hidup menurut agama-agama masing-masing. Selain memenuhi hak-hak lain seperti hak pendidikan, hak bersosial dan sebagainya. Nilai liberal dalam kehidupan juga mampu menjamin hak istimewa kaum tertentu tanpa menindas dan menzalimi kaum lain. Ini kerana, keadilan tidak dapat dicapai tanpa kebebasan dan sebagai penduduk asal sesuatu negara, sudah tentu mempunyai kebebasan untuk membuat peraturan tanpa meminggirkan kaum lain.

Dari sudut sistem demokrasi liberal pula, ianya telah sejak sekian lama diamalkan di Malaysia dengan memisahkan kuasa antara pihak kerajaan yang memerintah (eksekutif), penggubal undang-undang (legislatif) dan kehakiman (judisiari). Dengan pecahan bidang kuasa seperti ini, ianya telah dapat memberikan nilai kebebasan dan keadilan kepada ketiga-tiga badan induk utama ini bagi tujuan menjalankan maksud dan peranan badan masing-masing tanpa dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana pihak. Tanpa nilai yang bersifat liberal ini, tentunya akan mengundang banyak kepincangan dalam pengurusan kehidupan. Sesungguhnya, istilah liberal yang selalu dimomokkan dengan maksud yang negatif, sedikit-sebanyak telah banyak menjamin kestabilan dalam kehidupan. Tanpa dinafikan, sebahagian maksud liberal jika mengikut naratif barat sangat menyimpang jauh dari norma kehidupan manusia. Ibarat pepatah menyebutkan buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sebenarnya pengamalan liberalisme itu sendiri adalah bertunjangkan daripada pengalaman beragama. Seperti yang dinukilkan oleh seorang penulis Turki, Mustafa Akyol, beliau menyatakan John Locke, bapa pendiri idea liberalisme, adalah tokoh liberal yang sangat berpegang kepada agama. Ini terbukti melalui penulisan John Locke sendiri yang bertajuk Two Treatises of Government, beliau merumuskan bahawa liberalisme bukanlah untuk menolak agama tetapi mengelakkan agama menjadi musnah akibat daripada politik dan kekuasaan. Ketegasan John Locke ini membuktikan idealisme ini bukanlah bermaksud menafikan kepentingan unsur keagamaan. Oleh kerana itu, liberalisme tidak ditafsirkan sebagai menafikan hak beragam namun sebaliknya menitipkan nilai toleransi dalam kerangka masyarakat majmuk. Maka, tidaklah salah hidup dengan mengamalkan nilai-nilai liberal selagi perkara tersebut tidak menyanggahi syarak. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan