Isnin, 5 Disember 2022

PERUBATAN ISLAM : ANTARA FAKTA DAN MITOS

 

Perkembangan ilmu yang semakin meluas dan tiada sempadan ini telah mengalakkan pelbagai arus perubatan yang cuba dipromosikan. Pada satu sudut, perkembangan ini sangat baik dan boleh membangunkan potensi diri manusia untuk berusaha mengubati penyakit yang dihadapi. Namun, pada satu sudut yang lain, perkembangan ini telah mengalakkan pertumbuhan pusat-pusat rawatan yang di didirikan atas nama Islam. Secara tidak langsung, keadaan ini boleh membuka ruang untuk berlaku penyelewengan atas nama perubatan Islam.

Istilah "Perubatan Islam" tidaklah semata-mata merujuk kepada jampi dan bahan-bahan yang disebutkan oleh Nabi SAW. Mengubati dengan menggunakan apa sahaja ubat dengan cara yang betul juga termasuk dalam perubatan yang dibenarkan oleh syarak. Hal ini merangkumi perubatan yang disebutkan oleh baginda Nabi atau selainnya yang padanya itu mengikut displin ilmu perubatan. Oleh itu, diatas apa nama sekalipun, perubatan moden mahupun tradisional, menggunakan ubatan ataupun jampian, selagi mana rawatan tersebut berteraskan kepada displin ilmu dan kaedah yang benar, tidak mengandungi unsur khurafat dan syirik, maka itu juga termasuk dalam maksud perubatan Islam yang dibenarkan oleh syarak.




Dalam sebuah hadith Nabi SAW, riwayat Ahmad, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit iaitu tua"

Dalam banyak hal, Islam telah mengajar umatnya untuk sentiasa berusaha mengubati sesuatu penyakit. Kerana bagi tiap-tiap penyakit itu pastinya ada ubat. Hal ini juga sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith yang lain, riwayat Muslim, sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah".

Berdasarkan hadith ini, menurut Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, beliau ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa :

"Hadith ini memberi isyarat disunatkan mengubati penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi'i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi 'Iyadh : 'Dalam hadith-hadith ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya ; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya".

Dalam soal perubatan Islam ini juga satu hal mustahak yang perlu kita ketahui jugak adalah bukanlah semua hadith Nabi berkaitan perubatan itu sahih. Bahkan banyak juga yang palsu dan hal ini telah membuka ruang kepada penyelewengan diatas nama agama. Seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya al-Manar al-Munif, beliau yang juga menulis kitab al-Tibb al-Nabawi, mengingatkan umat Islam tentang salah satu ciri hadith palsu itu ialah hadith yang lebih berunsur ucapan para pengamal perubatan yang dibuktikan oleh pancaindera atau fakta yang sahih tentang kepalsuannya.

Dalam maksud yang lebih mudah, jika sesuatu perkara itu dapat dibuktikan dengan fakta sains dan berjaya membuktikan kesalahan fakta hadith tersebut, maka ketahuilah padanya ciri-ciri hadith yang palsu belaka. Sebagai contoh, hadith berkenaan terung. Hadith tersebut dinyatakan dengan lafaznya "Terung itu mengikut hajat ia dimakan". Juga dalam riwayat palsu yang lain, dinyatakan bahawa terung itu ubat untuk segala penyakit. Menurut Imam Ibn Qayyim ketika memberikan komentar terhadap hadith palsu tersebut, beliau menyatakan :

"Semoga Allah menghodohkan pereka kedua-dua hadith diatas. Perkara seperti ini jika disebut oleh orang paling pakar dalam perubatan pun, orang ramai akan mentertawakannya. Jika dimakan terung untuk demam panas, kemurungan dan banyak penyakit lain, ia hanya menambahkan keburukan lagi. Jika orang fakir makan agar dia kaya, dia tidak akan kaya. Jika orang jahil makan untuk pandai, dia tidak akan pandai".




Oleh yang demikian, kita perlu berwaspada dengan hadith-hadith berkenaan perubatan agar kita tidak tersalah mengambil daripada sumber hadith yang palsu. Adalah wajar sekali untuk kita meneliti dan menyemak semula sebelum disebarkan kepada orang ramai. Antara yang popular disebutkan seperti memakan kismis dengan anggapan terdapat kelebihan-kelebihan tertentu berdasarkan hadith tertentu. Namun begitu, Imam Ibn al-Qayyim sendiri menyebutkan dalam kitabnya al-Tibb al-Nabawi bahawa hadith-hadith berkenaan kelebihan kismis adalah tidak sahih.

Adapun ubat-ubat yang lain yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW seperti kelebihan habbatus sauda (jintan hitam), berbekam, minum air kencing unta dan seumpamanya sememangnya ada hadith yang menyebutkan perkara sedemikian. Tetapi dalam soal ini, para ulama terbahagi kepada dua pandangan. Pertamanya, seperti Imam Ibn al-Qayyim, beliau berpandangan hadith-hadith tersebut berasaskan wahyu Allah SWT. Sebaliknya, seperti al-Qadi 'Iyadh, Ibnu Khaldun dan Muhammad Abu Zahrah, mereka berpandangan hadith-hadith tersebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman hidup baginda Nabi SAW.

Bagi golongan pandangan pertama, mereka berpandangan hadith tersebut merupakan perkhabaran daripada Allah kepada Nabi. Ini secara tidak langsung, semuanya itu memberikan isyarat benar dan tepat untuk diamalkan sebagai perubatan. Hal ini juga secara tidak langsung bermaksud perubatan yang diiktiraf sendiri oleh Allah SWT. Oleh kerana ianya adalah wahyu, kita akan dapati beberapa para ulama menukilkan bab khas berkaitan perubatan kerana ianya wahyu Allah seperti dalam kitab Sahih Bukhari, terdapat bab khas yang dinamakan sebagai Kitab al-Tibb. Begitu Imam Ibnu al-Qayyim menulis kitab yang khas bernama al-Tibb al-Nabawi.




Manakala golongan kedua pula berpandangan ianya bukan wahyu sebaliknya berdasarkan pengalaman, persekitaran dan zaman hidup Nabi SAW. Mereka menyatakan bahawa Nabi SAW tidak diutuskan sebagai ahli perubatan dan hal itu bukanlah tujuan utama Nabi SAW diutuskan. Maka segala percakapan atau perbuatan Nabi dalam perubatan adalah berdasarkan pengalaman Nabi sebagai seorang Arab, dipengaruhi oleh keadaan persekitaran tanah Arab dan sebagainya. Apa yang disampaikan oleh Nabi dalam perubatan semata-mata berdasarkan faktor luaran yang mempengaruhi Nabi SAW.

Walau bagaimana pun, pokok asasnya adalah Islam mengiktiraf kesemuanya jenis perubatan, baik yang datang dari aliran moden mahupun yang aliran tradisional, yang datangnya dari dunia barat mahupun timur, selagi mana perubatan tersebut tidak mengandungi hal-hal yang syirik, khurafat dan tahyul, maka itulah perubatan Islam yang dibenarkan di sisi syarak. Adapun soal jampi ruqyah, ianya mesti berpaksikan panduan utama Islam, al-Quran dan al-Sunnah. Selain dari itu, jampi serampah menyeru memuja selain Allah, dilarang dan bercanggah dengan syarak. Demikian juga petua seperti untuk pagar rumah, cari jodoh, petua laris jualan dan sebagainya, mestilah merujuk kepada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak, ketahuilah ianya telah bercanggah dengan syariat Islam. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan