Jumaat, 23 Disember 2022

KEADILAN SYARIAT PADA NERACA ISLAM

 

Keadilan boleh dianggap sebagai suatu wacana besar dan kerapkali disentuh dalam perbincangan oleh pelbagai lapisan masyarakat merentasi pelbagai bidang dalam hidup. Ahli politik, agamawan, para pendidik, semuanya tidak akan terlepas daripada membicarakan soal keadilan. Lebih meluas lagi, subjek keadilan ini juga seringkali menjadi peluru perang gender antara lelaki dan wanita khususnya dalam urusan kehidupan. Misalnya, kuota penjawat awam lelaki dan wanita, peruntukan cuti bersalin khas untuk kaum wanita, soal keadilan dalam berpoligami, soal pembahagian tugas mengurus rumahtangga dan banyak lagi.

Perkataan keadilan berasal dari bahasa Arab "العدل " (adil) yang merujuk kepada sesuatu yang bertentangan atau berlawanan dengan kezaliman. Keadilan itu sendiri membawa makna sikap lurus dan tidak menganiaya. Juga pada makna adil itu terangkum beberapa perkataan yang merujuk kepada sifat adil itu sendiri seperti keseimbangan, titik pertengahan antara yang buruk dan melampau dan kesamarataan. Keadilan kalau dilihat dari sudut falsafah, keadilan itu membawa erti memberikan hak kepada orang yang berhak. Dalam erti kata yang mudah, adil membawa maksud memberikan hak kesamarataan.




Selain itu, Plato dalam karyanya menegaskan bahawa keadilan merupakan himpunan segala kebaikan. Dengan pemahaman yang sama, sebahagian tokoh falsafah Islam juga melihat keadilan itu sebagai kebaikan yang paling menyeluruh merangkumi segala sifat-sifat baik yang selari dengan kebenaran, kebaktian dan kebaikan. Sebaliknya, ianya akan bercanggah pula dengan kezaliman, penganiayaan, kepalsuan dan kejahatan. Secara rumusannya, boleh kita katakan keadilan itu bersifat tulen, jernih, tidak terpengaruhi oleh hal-hal yang jahat dan negatif. Ada pun yang bersifat jahat, sudah tentu bukanlah mewakili maksud dan makna kepada sebuah keadilan.

Keadilan merupakan perkara terpenting dalam wacana perbincangan maqasid syariah. Secara tidak langsung, elemen keadilan suatu nilai asas bagi kita bercakap tentang maqasid syariah. Tanpa keadilan, kita tidak akan mampu hidup bersama meskipun kita beramal dengan ajaran Islam. Hal ini seperti yang telah disebutkan oleh Syaikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, al-Hisbah, beliau menyatakan bahawa :

"Allah boleh sahaja mentakdirkan tertegaknya negara adil walaupun penduduknya kafir. Sebaliknya Allah tidak akan merestui negara yang zalim walaupun penduduknya orang Islam. Dunia boleh kekal dengan keadilan dan kekufuran, tetapi tidak akan kekal dengan kezaliman meskipun bersama Islam"

Oleh yang demikian, keadilan yang sebenar pastinya kita akan temui pada syariat Allah SWT. Walaupun pada selera akal dan jiwa kita, ada beberapa syariat lain yang kita beranggapan tidak adil seperti poligami, pembahagian faraid dan seumpamanya, namun hakikatnya Islam membawa suatu syariat yang adil menurut kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT. Kata Syaikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya A'lam al-Muwaqqi'in, beliau menyatakan bahawa :

"Syariat Islam itu adil dalam serba-serbi. Segala sesuatu yang terkeluar dari lingkungan keadilan lalu masuk dalam batas kezaliman maka ia bukan daripada syariat meskipun ia dimasukkan dengan cara takwil (mengalih sesuatu perkara). Syariat adalah keadilan Allah terhadap para hamba Nya. Seandainya terserlah isyarat dan wajah keadilan melalui cara apa pun maka disitulah terletaknya syariat Allah dan agama Nya".




Syariat Allah bersifat meraikan dan menghargai perbezaan dan bersifat tegas menegakkan kebenaran sekalipun kebenaran itu tidak memihak kepada diri kita. Justeru, dengan keadilan syariat Islam ini, kita disuruh untuk berlaku adil kepada semua pihak dan dilarang menghukum seseorang dengan kebencian kita kepadanya semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman ! Hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menerangkan keadilan ; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk tidak berlaku adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kalian lakukan".

Oleh yang demikian, Allah SWT tidak pernah melarang kita daripada melakukan kebaikan kepada semua manusia termasuklah mereka yang bukan Islam. Selagi mereka itu tidak memerangi Islam, maka keadilan dan kebenaran adalah menjadi hak mereka yang mesti kita tunaikan. Kita tidak ada hak untuk membunuh sesiapa pun hanya semata-mata berbeza agama, bangsa dan kaum. Islam juga melarang kita untuk berlaku zalim pada orang lain kerana kebencian kita padanya. Beramal dengan keadilan bermaksud kita beramal dengan apa yang disarankan dan dituntut oleh Islam. Syariat Allah datang dengan membawa rahmat kasih sayang sesuai dengan hak setiap mereka yang bernyawa.

Demikian pula dalam soal poligami. Apa yang seringkali ditohmah adalah pelaku yang melaksanakan poligami. Bukanlah syariat poligami itu sendiri. Kegagalan poligami adalah kerana manusia itu sendiri yang gagal berlaku adil dan bukannya syariat itu sendiri yang tidak adil. Begitu juga mereka yang menyatakan para wanita yang memakai tudung tetapi mulutnya busuk dan suka mengumpat. Bukanlah salah pada perbuatan memakai tudung untuk tujuan menutup aurat tersebut tetapi yang salahnya adalah mulut diri itu sendiri yang gagal mengawal nafsu percakapannya. Memakai tudung menutup aurat bukanlah suatu kesalahan.

Bukanlah sesuatu yang adil sekiranya kita menghukum syariat Allah yang sempurna hanya kerana manusia itu sendiri yang gagal memahami dan melaksanakannya. Demikianlah keadilan syariat ini yang cukup sempurna dan melengkapi segenap sudut kehidupan umat manusia. Sesungguhnya setiap pensyariatan itu pastinya membawa hikmah. Allah SWT tidak menurunkan sesuatu syariat untuk menyeksa apatah lagi mahu menindas hamba Nya. Tuhan yang Maha Mengetahui pastinya tidak sesekali menzalimi hamba Nya. Kita perlulah berusaha untuk menyingkap hikmah disebalik syariat Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan