Kehidupan
ini tidak akan berupaya menjadikan kita sebagai insan yang sempurna melainkan
dengan hadirnya insan-insan yang sentiasa berada di sisi kita. Ada ketikanya
kita memerlukan teman, sahabat dan rakan taulan sebagai peneman kepada
kehidupan yang sementara ini. Ada pula ketikanya, kita mahu bersendirian, mahu
memberi ruang peribadi pada diri sendiri. Walau apapun jua yang kita hadapi,
hidup tidak akan indah tanpa mereka yang bernama sahabat, kawan dan rakan.
Kemuncak kemanisan kepada sesebuah persahabatan itu adalah apabila dirinya
mengingatkan kita akan Allah SWT.
Hal
ini sepertimana yang telah diungkapkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Tiga
perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama,
hendaklah Allah dan Rasul Nya lebih dicintai mengatasi selain kedua-duanya.
Kedua, hendaklah mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah.
Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia
benci untuk dicampakkan ke dalam neraka".
Persoalannya,
bagaimanakah yang dikatakan kasih dan sayang kerana Allah ? Tidak lain dengan
menjalinkan hubungan yang diredhai oleh Allah SWT. Sesuatu perhubungan yang
baik, tidak melanggar perintah syarak, pastinya akan diredhai dan dicintai oleh
Allah SWT. Oleh yang demikian juga, Islam sangat menitikberatkan soal akhlak
mereka yang kita jadikan sebagai sahabat dan teman. Ini kerana secara tidak
langsung, akhlak dan keperibadian sahabat dan teman kita akan menjadi cerminan
kepada diri kita sendiri. Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadith
yang dinilai hasan sahih, riwayat oleh Abu Daud yang bermaksud :
"Seorang
lelaki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah
salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan".
Sebelum
membina sebuah persahabatan yang baik, terlebih dahulu kita perlu mengenali
siapa sahabat dan teman yang kita punyai ini. Kadang-kala sahabat itu dilihat
ramai tatkala diwaktu kita senang dan punyai segalanya. Namun disaat diuji,
barangkali bayang pun melekat tidak. Peri penting memilih sahabat juga turut
ditekankan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda
Nabi SAW yang bermaksud :
"Perumpamaan
orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang
buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Pasti engkau akan
dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi sama ada membeli atau tidak.
Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu akan mendapatkan
bau yang tidak sedap".
Hadith
ini menjelaskan kepada kita bagaimana pentingnya untuk kita memilih sahabat
yang baik kerana kelak diri kita juga akan terpengaruh untuk melakukan kebaikan
sama sepertinya. Sebaliknya, jika kita memilih sahabat yang berakhlak buruk,
maka buruklah juga akhlak peribadi kita dan mudah dipengaruhi oleh perbuatan
yang buruk. Sebab itulah, Islam telah menggariskan beberapa ciri-ciri sahabat
yang kasih dan sayang kerana Allah. Antaranya adalah mereka yang setia dengan
persahabatannya biarpun badai ujian dan angin fitnah datang melanda. Meski di
waktu susah mahupun senang, persahabatan tidak boleh dijual dengan nama
kesetiaan.
Dalam
sebuah kisah yang dinyatakan oleh Imam Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah
wa an-Nihayah, diceritakan bagaimana seorang sahabat Nabi bernama Zaid bin
ad-Dathinah, telah ditangkap oleh pemimpin Quraisy yang menentang dakwah Nabi
SAW. Lantas dia dibawa untuk dibunuh dan sebelum itu, Abu Sufyan yang ketika
itu masih belum Islam bertanya kepada Zaid :
"Wahai
Zaid, aku bertanya engkau dengan Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di
tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping
keluargamu". Jawab Zaid : "Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia
berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku".
Kata Abu Sufyan : "Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang
seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad".
Inilah
yang dinamakan kasih sayang persahabatan kerana Allah. Kita boleh melihat
bagaimana Zaid yang kekal utuh setia dengan baginda Nabi sanggup menggadaikan
jiwa raganya demi kasih sayangnya terhadap baginda Nabi kerana Allah. Dengan
akhlak sebegini, mereka memberi tanpa dibalas. Menyokong tanpa disanjung.
Memuji tanpa mengharap dihargai, tetapi kerana nilai kasih dan sayang itu
terzahir kerana Allah SWT. Selain itu, sejarah mencatatkan bagaimana Abu Bakar
as-Siddiq, sahabat Nabi yang setia dan sabar menekuni permasalahan umat, tidak
goyah dan kekal setia dengan pedoman Nabi SAW.
Selain
itu, sikap khianat merupakan musuh utama yang mampu menghancurkan sesebuah
persahabatan yang bertunjangkan kasih dan sayang kerana Allah. Perbuatan
khianat dalam erti kata lain adalah suatu tindakan mungkir janji, pecah amanah
dan seumpamanya yang menggambarkan betapa buruknya sikap tersebut dan pedihnya
hati apabila dikhiabati. Misalnya perbuatan mengkhianati ini seperti
menceritakan sesuatu perkara yang dianggap rahsia, namun apabila mengkhianati,
sanggup menjaja cerita buruk tentang sahabat dan teman sendiri kepada orang
lain sedangkan dirinya sendiri telah memungkiri janji. Secara tidak langsung
sikap demikian merupakan antara ciri orang munafik.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Tanda
orang-orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia
berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan
amanah (kepercayaan) ia mengkhianati".
Kasih
dan sayang kerana Allah tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit. Tidak
semudah ABC untuk dipengaruhi. Tidak terbayang dengan lukisan dan coretan.
Semuanya akan terungkap dengan kemanisan iman dan taqwa kepada Nya. Kemanisan
dalam persahabatan apabila ada yang namanya setia membimbing, ikhlas menegur,
tulus mengajak tanpa ada perkara yang berselindung. Oleh yang demikian,
beruntunglah kita jika mempunyai insan-insan sekeliling yang sentiasa setia,
ikhlas dan jujur dalam persahabatan. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan