Kebenaran
adalah sesuatu yang tidak dipengaruhi oleh sedikit atau banyaknya orang yang
bercakap. Manusia selalu dimanipulasikan oleh kuantiti atau jumlahnya bagi
menentukan sesuatu kebenaran. Sekiranya majoriti penentu kepada sesebuah
kebenaran, maka sudah tentu kita akan melihat betapa banyaknya timbul
penyelewengan fakta dan memanipulasikan keadaan bagi mencari pengaruh yang
ramai. Dalam apa jua keadaan yang menekan, segelintir manusia yang tidak
bertanggungjawab tergamak mencipta reka cerita bagi mempengaruhi sokongan orang
ramai.
Sesungguhnya
kebenaran adalah kebenaran. Sama sekali tidak dipengaruhi oleh sebarang faktor.
Kebenaran berdiri diatas hujah, fakta dan alasan. Bukan semata-mata diatas apa
yang diungkapkan, malah perlu dibuktikan dengan sumber, hujah dan alasan bagi
menentukan sesuatu kebenaran. Angka dan nombor yang banyak, teriakan dan
tempikan yang kuat, sama sekali tidak boleh merubah kebenaran. Biar apapun yang
kita cuba lakukan, kebenaran adalah sesuatu yang tetap. Tidak boleh diubah
mengikut selera hawa nafsu kita semata-mata.
Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Diperlihatkan
kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada nabi yang mempunyai seorang
pengikut. Ada pula nabi yang mempunyai dua orang pengikut. Ada pula yang
mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga nabi yang tidak mempunyai seorang
pengikut pun".
Berdasarkan
hadith ini, kebenaran tidaklah diukur dengan berapa ramai pengikut dan
pendokongnya. Sekiranya benar kebenaran boleh dilihat berdasarkan jumlah
pengikutnya, nescaya kita akan beranggapan beberapa nabi ini adalah pendusta
dan tidak membawa kebenaran. Selain hadith tersebut, kita juga diperlihatkan
bagaimana dakwah Nabi Nuh dan Nabi Lut AS yang ditolak dan ditentang oleh
kaumnya. Bahkan lebih sedih lagi, apabila penentangan ini bukan sahaja
ditentang oleh kaumnya malah ahli keluarga baginda Nabi pun turut menentang dan
menolak dakwah Islam.
Allah
merakamkan kisah Nabi Nuh AS dalam surah Nuh ayat 5-7, yang bermaksud :
"Nabi
Nuh berkata : "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang
dan malam (supaya mereka beriman) ; maka seruanku itu tidak menambahkan mereka
apa-apa selain daripada mereka melarikan diri (daripada kebenaran). Dan
sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada beriman) agar Engkau
mengampunkan dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan jari ke dalam telinga mereka
dan berselubung dengan pakaian mereka serta terus berdegil dan sombong takbur
dengan melampau".
Kisah
ini menjelaskan kepada kita bahawa seberapa ramai pun yang mengikut dan
menyokong sesuatu perkara, ianya belum tentu betul dan benar di sisi Allah SWT.
Para nabi yang menjadi utusan Allah, tidak lain hanyalah untuk menyeru sekalian
manusia mentaati dan tunduk patuh hanya kepada Allah. Tidak ada sebarang untung
atau rugi pun jika sekiranya seruan mereka di tolak dan ditentang. Apa yang
pasti, kebenaran yang dibawa sama sekali tidak akan terpadam oleh jumlah
ramainya mereka yang menentang.
Jika
kita teliti dengan bijak dan waras, kita akan dapati sesuatu kebenaran itu
pastinya berdiri diatas hujah fakta dan alasan. Biarpun yang bercakap itu
barangkali pakaian kelihatan seperti soleh, warak dan seumpamanya, namun
keadaan itu belum tentu dapat memastikan apa yang diungkapkannya itu semuanya
adalah benar. Ramai juga orang yang berpakaian agama tetapi membawa
hadith-hadith palsu, menjaja cerita dongeng dan mengajak umat manusia ke jalan
yang sesat. Seperti yang telah kita katakan, kebenaran adalah kebenaran. Tidak
boleh diukur sesuatu kebenaran tersebut dengan hanya melihat pada pakaiannya,
gaya bercakapnya sebagainya.
Islam
amat menuntut umatnya untuk berusaha mencari kebenaran. Oleh itu, Islam sangat
menggalakan umatnya untuk rajin berfikir, mengkaji dan menyelidiki, tidak
sekadar dengar dan percaya membabi buta tanpa menyemak akan kesahihannya. Dalam
al-Quran, menerusi surah Saba' ayat 46, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad) : "Aku hanyalah menasihati kamu dengan satu perkara
sahaja, iaitu hendaklah kamu menghadap Allah (bersungguh-sungguh berusaha
mencari kebenaran kerana Allah) sama ada dengan cara berdua atau seorang diri ;
kemudian hendaklah kamu berfikir (untuk mengetahui salah benarnya),
"Sebenarnya tidak ada pada sahabat kamu (Nabi Muhammad) sebarang penyakit
gila (sebagaimana yang dituduh) ; dia hanyalah seorang pemberi amaran kepada
kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)".
Inilah
seruan Islam sejak dahulu lagi. Dituntut agar kita menjadi orang bijak pandai
dengan berfikir dan menilai terlebih dahulu sebelum kita menerima sesuatu yang
dikatakan sebagai kebenaran. Seruan ini bukanlah bermaksud kita perlu menolak
suara majoriti tetapi sekiranya yang disokong oleh ramai orang itu terbukti
benar dengan hujah fakta dan alasan, maka tidak ada lagi alasan untuk menolak
suara majoriti. Sebaliknya, jika yang disokong ramai itu merupakan sesuatu yang
batil dan tidak benar, menjadi tanggungjawab kita untuk menolak sesuatu hal
yang batil.
Umumnya,
sesuatu perkara yang diiktiraf sebagai kebenaran bukanlah dilihat dan dinilai
berdasarkan ramai mana yang menyokong tetapi mestilah diukur dengan paksi hujah
fakta dan alasan yang kukuh. Dalam apa jua bidang sekalipun, kebenaran tidak
boleh ditentukan sebagai kebenaran hanya kerana ramai yang menyatakannya. Kita
akan menyokong sesuatu kebenaran bukanlah kerana majoriti orang yang
menyokongnya. Sebaliknya berdasarkan hujah fakta yang benar. Untuk kita katakan
ianya sesuatu yang benar, wajib kita buktikan dahulu apa indikator yang
membuktikan sesuatu hal itu adalah benar.
Sesungguhnya,
ramainya pengikut seseorang tokoh bukanlah mewakili sesuatu yang benar.
Kebenaran itu tetap kebenaran meskipun diungkap dan diucapkan oleh seseorang
yang jahil. Andai apa yang diungkapkan itu terbukti benar, sekalipun yang
bercakap itu seorang anak kecil yang dilihat mentah, ianya tetap membawa
kebenaran. Tanpa mengenal usia, kedudukan dan pangkat. Demikianlah Islam yang
mengajar umatnya untuk tidak terpengaruh dengan ramai orang tetapi selidikilah
dahulu dan pastinya Allah tidak akan mensia-siakan usaha para hamba Nya bagi
mencari sebuah kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan