Selasa, 13 Disember 2022

PURDAH, NIQAB DAN BURQA : TRADISI ARAB ATAU TUNTUTAN SYARIAT ?

 

Pakaian merupakan lambang dan simbolik kepada kehormatan maruah dan harga diri seseorang. Pakaian yang baik, menutup aurat dan menepati syarak adalah sesuatu yang sangat di tuntut oleh Islam. Walaupun Islam tidaklah datang untuk berkempen pakaian berjenama tetapi lebih utama dan terpenting adalah berkempen agar manusia bijak meletak harga diri dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Tidak kira apa jua jenama pakaian tersebut, murah atau mahal, baharu ataupun yang lama, asalkan pakaian tersebut memiliki ciri menutup aurat seperti yang telah digariskan oleh syarak.

Pemakaian purdah, niqab dan burqa dikalangan kaum wanita adalah salah satu perkara diperselisih oleh para ulama. Ini kerana, kaum wanita merupakan insan yang punyai harga diri yang wajib dilindungi. Wanita bukanlah suatu objek barang dagangan untuk dieksploitasikan oleh mana-mana pihak. Oleh kerana itu, aurat wanita lebih banyak yang perlu dijaga, bukan sekadar persoalan fesyen pakaian, malah termasuk juga alunan suara, gaya bercakap, gaya berjalan dan sebagainya. Dalam perselisihan ini, kita akan dapati para ulama berbeza pandangan di dalam menentukan batasan aurat wanita yang harus ditutupi.




Dalam hal ini, sebahagian dikalangan para ulama berpandangan wajib wanita memakai purdah, niqab atau burqa kerana pada sisi mereka wajah wanita adalah aurat. Namun begitu, jumhur para ulama yang terdiri daripada kalangan fuqaha (ulama fiqah) beranggapan wajah bukannya aurat. Perkara ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu', beliau menyatakan bahawa :

"Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam al-Auza'i, Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat Imam Ahmad".

Dikalangan para ulama kontemporari, antara yang berpandangan kuat dengan menyatakan bahawa wajah wanita adalah aurat ialah seperti Syeikh Ibn Baz dalam fatwanya, al-Marhum Syeikh Ramadan al-Buthi dalam buku kecilnya dan sebelum daripada itu Abu al-A'la al-Maududi dalam kitabnya, al-Hijab. Sebaliknya, antara yang berpandangan wajah wanita bukan aurat ialah seperti al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh al-Albani dan juga Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Perbezaan pandangan dalam menentukan wajah wanita sama ada aurat atau tidak adalah perkara yang diperselisihi dan hal ini termasuk dalam bab khilafiyyah muktabar (khilaf yang diiktiraf). Antara hujah dan alasan yang dikemukakan oleh mereka yang beranggapan wajah wanita bukan aurat berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 31, yang bermaksud :

"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka".

Jumhur (majoriti) para ulama menafsirkan pada ayat "kecuali yang zahir daripadanya" itu merujuk kepada wajah dan tapak tangan. Tafsiran ini sama seperti apa yang dipegang oleh Ibn Abbas, Umm al-Mukminin Aishah, Abdullah bin Umar, Anas bin Malik dan lain-lain nama besar yang turut menafsirkan maksud yang sama. Kerana itu jika kita menyemak kitab-kitab yang membahaskan perkara ini seperti kitab الرد المفحم karangan Syeikh albani, kita akan dapat melihat perincian yang dikupas oleh beliau yang menerangkan kepada kita maksud "kecuali yang zahir daripadanya".




Sebaliknya, para ulama yang berpandangan wajah wanita adalah aurat menafsirkan pada ayat yang sama dengan menyatakan bahawa perhiasan yang tidak boleh diperlihatkan itu adalah wajah. Ini kerana, wajah adalah pusat kecantikan seseorang wanita. Sedangkan, mereka menafsirkan maksud "kecuali yang zahir daripadanya" ialah bukan wajah tetapi selendang dan baju. Namun begitu, riwayat penafsiran ini berbeza daripada riwayat yang lebih sahih yang menyatakan bahawa wajah wanita bukan aurat.

Mereka yang berpandangan wajah wanita adalah aurat juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 53 yang bermaksud :

"Apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka, maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti Rasulullah dan tidak mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar di sisi Allah".

Berdasarkan kefahaman ayat tersebut, mereka berpandangan bahawa wanita wajib menutup wajah mereka meskipun ayat ini adalah perintah kepada isteri baginda Nabi SAW. Bahkan, memakai purdah, niqab atau burqa adalah bertujuan untuk menjaga kesucian hati baik kepada lelaki yang melihat ataupun kepada kaum wanita yang dilihat. Selari dengan firman Allah dalam ayat tersebut dengan mengatakan bahawa cara yang demikian itu lebih suci bagi hati.




Selain itu, bagi mereka pula yang menyatakan wajah wanita bukan aurat juga bersandarkan pada firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 52 yang bermaksud :

"Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu dan kamu juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengawasi setiap sesuatu".

Ayat tersebut ditujukan kepada baginda Nabi SAW. Berdasarkan pemahaman dari ayat ini, ianya jelas menunjukkan bahawa para wanita di zaman Nabi SAW tidak menutup wajah mereka. Hal ini kerana sekiranya mereka menutup wajah, bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian Nabi SAW. Kerana mereka (kaum wanita) di zaman Nabi tidak menutup muka lah, maka Allah melarang menggantikan mereka dengan isteri baru meskipun kagum melihat kecantikan yang ada pada kaum wanita.

Demikian beberapa hujah dan alasan yang dikemukakan oleh para ulama di dalam menentukan kedudukan wajah wanita sama ada termasuk dalam bahagian aurat ataupun tidak. Secara mudahnya, memakai purdah, niqab dan burqa bukanlah suatu yang ditetapkan oleh Islam. Namun begitu, Islam juga sama sekali tidak pernah melarang untuk kaum wanita memakai purdah, niqab atau burqa ini. Seperti ungkapan yang disebut oleh Syeikh Mutawalli Sya'rawi berkenaan niqab, beliau menyatakan bahawa "Niqab itu tidaklah difardhukan dan tidak pula ditolak". Bersederhanalah dalam meraikan perkara khilaf yang diiktiraf ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan