Rabu, 28 Disember 2022

IHSAN ; KESEMPURNAAN IMAN KEPADA ALLAH

 

Pada tiap-tiap yang hidup itu pastinya ada baik dan buruknya sesuatu perkara. Untuk menjadi seorang manusia yang bernilai, agama merupakan suatu elemen terpenting bagi mempengaruhi corak fikir dan gaya hidup yang bermaruah. Hidup beragama akan membawa kita untuk lebih bertamadun sesuai dengan tujuan Allah SWT mencipta kita dengan sebaik-baik kejadian. Kerana itulah juga agama Islam yang dibawa oleh baginda Nabi SAW bukan sahaja bersifat ritual jasmani, juga turut ditekankan berkenaan kesempurnaan akhlak yang baik seperti yang dituntut oleh Allah SWT.

Sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 90, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat ; dan (Dia) melarang (kamu) daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji, kemungkaran dan kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan".




Salah satu kesempurnaan iman yang dibawa oleh Islam adalah bersikap ihsan. Perkataan ihsan berasal daripada bahasa Arab yang maksud kebaikan. Kata dasarnya حسن (berbuat baik). Menurut al-Sa'di dalam kitab tafsirnya, beliau menyatakan bahawa berbuat baik itu adalah seperti seseorang memberi manfaat kepada orang lain dengan hartanya, tubuh badannya, ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya suruhan berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya yakni haiwan yang tidak dimakan.

Berdasarkan penafsiran para ulama berkenaan makna ihsan, al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya, al-Mufradat Gharib al-Quran, beliau menyatakan bahawa ihsan itu membawa maksud melimpahkan kenikmatan atau kebajikan kepada pihak lain baik secara fizikal mahupun spiritual. Bagi sebahagian para sufi pula mereka berpandangan ihsan itu adalah ibadah yang disertai sifat keinsafan rohani yang amat mendalam dan merasai seolah-olah Allah sedang melihatnya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah RA, tatkala malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi SAW dan lalu ditanya kepada Nabi tentang makna ihsan, maka baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apakah itu ihsan ? Baginda menjawab : 'Sesungguhnya kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah melihat kamu".

Menurut Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Madarijus Salikin, ibadah yang digambarkan dalam hadith ini menjelaskan kesempurnaan iman dan kesedaran rohani yang sangat tinggi, juga memperlihatkan rasa cinta dan pengenalan manusia kepada Allah yang sangat tinggi. Oleh itu, ihsan menurut beliau terbahagi kepada tiga tingkatan. Pertama, kebaikan dalam niatnya, di mana setiap niat dan tujuannya harus dilakukan benar-benar kerana Allah, menuju kearah Allah, tidak menyimpang kearah lain seperti untuk mengharapkan pujian dan penghargaan manusia lain, mendambakan habuan dunia dan seumpamanya. Firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 29 yang bermaksud :

"Katakanlah, "Tuhanku menyuruhku untuk berlaku adil. Dan hadapkanlah wajahmu (kepada Allah) pada setiap solat, dan sembahlah Dia dengan mengikhlaskan ibadah semata-mata hanya kepada-Nya. Kamu akan dikembalikan kepada-Nya sebagaimana kamu diciptakan semula".




Kedua, ihsan atau melakukan kebaikan dalam sikap dan perilaku kita. Pada tingkat ini, kita disuruh untuk tidak melakukan kezaliman, penindasan, bersikap buruk seperti khianat, bercakap bohong dan sebagainya. Perintah melakukan kebaikan atau bersikap ihsan dalam sikap dan perilaku ini bukan sekadar kepada manusia sahaja, bahkan kepada haiwan, tumbuhan dan seluruh makhluk Allah SWT. Hal ini kita dapat lihat bagaimana Nabi SAW menyuruh kita untuk berlaku ihsan terhadap binatang sembelihan dengan menajamkan pisau dan sebagainya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya".

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan bahawa haiwan sembelihan itu hendaklah direhatkan dengan cara menajamkan pisau dan menyegerakan proses sembelihannya. Begitu juga disunatkan untuk tidak menajamkan pisau di hadapan haiwan yang ingin disembelih dan tidak menyembelih haiwan dengan keberadaan haiwan yang lain.

Begitu juga Allah memerintahkan kita supaya bersifat ihsan sesama manusia sekalipun kepada mereka yang bukan beragama Islam dan tidak memerangi kita kerana Islam. Bersifat ihsan dalam sikap dan perilaku juga akan mendorong kita untuk bersikap adil dan saksama, tidak menghukum dengan sentimen emosi dan kebencian. Perkara ini disebutkan oleh Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil".




Ketiga, kebaikan atau bersikap ihsan dalam waktu. Pada tingkatan ini, seseorang manusia harus berusaha supaya sepanjang waktu dia dapat menyaksikan Allah atau disebut istilahnya sebagai Musyahadah. Menjadi saksi akan Allah sebagai Tuhan yang Esa dan juga memiliki segala kesempurnaan sifat dan nama dalam setiap amal perbuatan kita. Kesan daripada sifat ihsan ini, di mana pun kita berada, tatkala pada waktu bila pun, kita tetap menyakini Allah sedang melihat dan mengawasi kita. Baik ketika kita dihadapan orang ramai atau sebaliknya kita duduk berseorangan. Tauhid kita tetap utuh walau apa pun keadaan yang dihadapi.

Demikianlah kesempurnaan iman adalah apabila kita bersikap ihsan dalam kehidupan. Harus difahami bahawa, Islam tidak sekadar msnyuruh kita bersikap ihsan kepada diri kita semata-mata bahkan kepada sesama manusia, kepada haiwan dan tumbuhan juga kepada semua makhluk Allah SWT yang lain. Agama Islam datang bukanlah untuk mengajar kita sibuk dengan urusan akhirat sahaja bahkan Islam juga menyuruh kita bersosial dengan menyantuni masyarakat, berinteraksi dengan alam dengan penuh sifat ihsan dan itulah sebaik-baik kesempurnaan iman. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan