Hiburan
dan keseronokan merupakan antara elemen terpenting dalam kehidupan. Bahkan
secara fitrahnya, manusia normal yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai
kecenderungan kepada perkara-perkara yang boleh menyeronokan diri. Keseronokan,
kebahagiaan dan kesenangan adalah diantara warna-warni yang bersilih-ganti
melakarkan potret kehidupan ini. Hidup tidak akan menjadi indah tanpa lakaran
warna-warni yang menghiasi kehidupan manusia ini. Sememangnya, Allah SWT dengan
kebijaksanaan dan kekuasaan Nya, telah menciptakan dunia yang sementara ini
dengan pelbagai nikmat keseronokan dan kebahagiaan. Lain orang, lain ragam dan
lain pula perasaan.
Sebab
itu juga, kita akan melihat sesuatu yang seronok bagi kita, belum tentu hal
tersebut seronok juga bagi orang lain. Hal ini kerana, lain orang, lain pula
lah kecenderungan keseronokannya. Diatas pelbagai keseronokan itu, adalah
sesuatu yang normal bagi kita melihat ada pasangan hidup yang seronok apabila
mendapat cahaya mata. Ada pula yang bahagia apabila dapat mencapai cita-citanya
dan pelbagai lagi kebahagiaan dan keseronokan dengan apa yang diperolehinya.
Seperti
firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT telah berfirman yang
bermaksud :
"Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia : kesukaan kepada benda-benda yang
diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak ; harta benda yang
banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak ; kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih ; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah
ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".
Namun
begitu, keseronokan yang melampau atau dalam istilah lain disebutkan sebagai "Hedonisme"
adalah sesuatu yang dilarang dan ditegah oleh Islam. Menurut Kamus Dewan tahun
2000, perkataan "Hedonisme" merujuk kepada pegangan atau
pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Seorang
tokoh falsafah barat, Lorens Bagus ketika memberikan definisi berkenaan
hedonisme ini, beliau menyatakan bahawa hedonisme membawa maksud konsep moral
yang menyamakan kebaikan dan kesenangan. Demikian pula menurut Mustafa Kamil
Ayub, seorang tokoh politik dan pemikir berpandangan hedonisme ialah suatu
sistem nilai barat yang menilai kebaikan hanyalah semata-mata keseronokan yang
sama nilai moral mereka.
Secara
umum, hedonisme boleh kita fahami sebagai suatu kerangka pemikiran yang membawa
kepada kecenderungan keseronokan yang melampau hingga mengabaikan nilai-nilai
beragama dan moral. Sisi pandang baik buruknya sesuatu perkara itu tidak lagi
dilihat dan diukur dari aspek agama tetapi diukur dari sudut keseronokan,
kebahagiaan dan keberuntungan semata-mata. Keadaan ini juga secara tidak
langsung menjerumus masyarakat kearah materialistik tanpa melihat nilai agama
lagi. Hidup tidak lagi ditentukan dengan cara panduan beragama. Sebaliknya,
budaya hedonisme ini akan menentukan hidup kita dengan apa yang menyeronokan
kita, yang membebaskan kita lalu memberikan nilai bahagia tanpa batasan.
Keseronokan
dalam hidup bukanlah sesuatu yang terlarang. Namun bersikap melampau dalam
keseronokan, sehingga diri dipandu oleh kehendak nafsu dan emosi, akan
merosakan jati diri beragama dalam kehidupan. Keseimbangan antara keseronokan
dan berhiburan dengan tidak melampaui batas adalah sesuatu yang dituntut dalam
Islam. Islam bukanlah mengajar kita untuk beribadah 24 jam dan sebaliknya juga
Islam tidak mengajar kita untuk berseronok seharian. Seperti yang disebutkan
oleh al Marhum Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Halal Haram Dalam Islam,
beliau menyatakan bahawa :
"Islam
adalah agama realiti, tidak tenggelam dalam dunia khayal dan lamunan. Tetapi
Islam berjalan bersama manusia diatas dunia realiti dan alam kenyataan. Islam
tidak memperlakukan manusia sebagai Malaikat yang bersayap dua, tiga dan empat.
Tetapi Islam memperlakukan manusia sebagai manusia yang suka makan dan berjalan
di pasar-pasar".
Budaya
hedonisme yang menyeru kepada keseronokan dan hiburan yang melampau akan
menjadikan manusia itu menjadi gila dan tenggelam dalam arus keseronokan. Ini
juga secara tidak langsung memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa manusia
apabila terlalu asyik sehingga ke tahap memuja akan keseronokan, menjadikan
kita terlampau kagum sehingga mengangkat seseorang yang kita kagumi itu sebagai
pujaan, bahkan lebih teruk lagi sebagai patung sembahan. Perkara ini tidaklah
pelik kerana kita sendiri dapat melihat bagaimana kematian bapa bolasepak
Agentina, Dieogo Maradona telah mengemparkan seluruh dunia. Kematian tersebut
juga telah membuatkan beberapa peminat fanatiknya menjadikan patung Dieogo
Maradona sebagai sembahan.
Ancaman
budaya hedonisme ini juga tidak sekadar berlegar di dalam soal hiburan artis,
ahli sukan dan selainnya semata-mata, malah turut mengheret manusia untuk
mengubah gaya hidup kearah yang lebih moden dan liberal. Keadaan ini akan
memaksa kebahagiaan mulai menjadi barang dagangan dan tayangan di media sosial
seperti berkongsi gambar-gambar intim suami isteri, berkongsi gambar kekayaan
dan kemewahan dan pelbagai lagi perkongsian bersifat "dalaman"
menjadi bahan tontonan. Kesannya, ada yang telah mula beranggapan bahawa
keseronokan adalah kemuncak kepada sebuah kehidupan.
Maka
tidak hairanlah apabila ada dikalangan kita yang suka membanding-bandingkan
hidupnya dengan orang lain bagi menentukan kepuasan dalam sebuah makna
kehidupan. Sedar atau tidak, hedonisme ini juga telah mengajar kita untuk
sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan akan mendorong kita
untuk berkehendak lagi dan lagi tanpa memikirkan lagi soal halal dan haram
dalam Islam. Keadaan ini akan memaksa kita untuk melakukan kemaksiatan dan
kemungkaran demi memuaskan kehendak diri. Ancaman ini tanpa diragui lagi, ianya
mampu mencabut sifat kesederhanaan yang dituntut dalam Islam dan secara tidak
langsung, telah menanam sifat ketamakan dalam diri lantas jatuh dalam lembah
kecanduan keseronokan yang melampau.
Demikian
sedikit sebanyak gambaran kasar berkenaan "hedonisme" yang
merupakan senjata utama pihak musuh Islam bagi mengganggu-gugat keimanan dan
ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Seperti yang kita katakan, hedonisme ini tidak
tertakluk kepada hiburan artis semata-mata. Malah, boleh menyusup dalam bentuk
pemikiran, menyerap masuk dalam gaya hidup, juga tidak kurang bahayanya mampu
menyerang melalui kecanggihan tekonologi sedia ada. Apa yang penting adalah
kesederhanaan akan mengajar kita erti kesyukuran. Berpada-pada dengan apa yang
ada dan pada masa yang sama, berusaha lah menjadi lebih baik tanpa terlalu
obses hingga menggadaikan prinsip beragama. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan