Sememangnya
dunia ini adalah tempat bagi diri makhluk itu diuji dan diduga. Setiap yang
namanya ujian dan dugaan itu pastinya tersedia ganjaran pahala bagi mereka yang
menghadapi tiap-tiap ujian itu dengan keimanan dan kesabaran. Hanyasanya bagi
mereka yang sabar dan beriman kepada Allah, akan dibalas dengan ganjaran pahala
dan syurga. Selain itu, kita juga akan diuji dengan 2 golongan makhluk yang
dilaknat dan dimurkai oleh Allah SWT. 2 golongan makhluk ini adalah iblis dan
syaitan, yang kerjanya sentiasa akan mencari ruang dan peluang untuk
memesongkan umat manusia daripada mentaati perintah Allah SWT.
Sesungguhnya
iblis dan syaitan tidak akan pernah berhenti dan berehat daripada kerja-kerja
menyesatkan. Hal ini sepertimana sumpah mereka di hadapan Allah SWT untuk
sentiasa berusaha mendatangi manusia dari pelbagai arah dengan tujuan untuk
menyesatkan umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 16-17 yang
bermaksud :
"Iblis
menjawab, "Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka aku benar-benar
akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Mu yang lurus, kemudian aku akan
mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri
mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur".
Inilah
sumpah dan ikrar iblis dan syaitan untuk sentiasa berusaha mencari jalan
menyesatkan dan memesongkan umat manusia dari jalan yang lurus, iaitu jalan
yang diredhai Allah SWT. Maka tatkala itu, berkali-kali Allah SWT mengingatkan kita
di dalam al-Quran akan kelicikan iblis dan syaitan dan di banyak tempat di
dalam al-Quran, berulang kali Allah menekankan sesungguhnya iblis dan syaitan
itu musuh manusia yang jelas lagi nyata. Peringatan demi peringatan diberikan
oleh Allah merupakan isyarat terpenting bagi kita untuk sentiasa berwaspada
dengan kelicikan iblis dan syaitan. Kelicikan mereka ini boleh menyebabkan
orang yang kuat beribadah pun akan tertewas dengan godaan mereka.
Iblis
dan syaitan merupakan golongan yang berasal dari kalangan jin. Namun, bukanlah
semua jin itu adalah iblis dan syaitan. Hal ini sepertimana firman Allah Azza
Wa Jalla dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang bermaksud :
"Lalu
mereka sujud melainkan iblis ; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia
menderhaka terhadap perintah Tuhannya"
Menurut
Imam al-Tobari dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Tobari, beliau
menyatakan bahawa iblis bukanlah dari kalangan malaikat sama sekali, dengan
hanya sekali pandang (dapat difahami dari ayat ini), sebaliknya iblis adalah
asal-usul kepada jin sepertimana Adam itu asal-usul kepada manusia. Demikian
apa yang dinyatakan olehnya. Maka rumusan yang boleh kita simpulkan, iblis
bukanlah berasal dari keturunan malaikat seperti yang di dakwa oleh kebanyakan
orang. Kerana berdasarkan ayat ini jelas memberitahu kepada kita akan asal-usul
iblis itu datangnya daripada jin.
Iblis
dan syaitan merupakan makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT dan perkara tersebut
ada terkandung di dalam al-Quran. Dalam surah Sad ayat 78, Allah SWT berfirman
yang bermaksud :
"Dan
sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknat Ku terus menerus hingga ke hari
kiamat".
Pelaknatan
yang dibuat oleh Allah SWT keatas mereka yakni iblis dan syaitan adalah kerana
kekafiran yang telah mereka lakukan. Sifat sombong, angkuh, bangga diri dan
lain-lain lagi telah mengheret iblis dan syaitan dihukum laknat oleh Allah Azza
Wa Jalla. Dalam tafsir al-Qurtubi, Imam al-Qurtubi ketika mengulas akan
ayat ini menyatakan bahawa Allah mahu memberitahu kita iblis dalam kalangan
yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmat Nya sehingga hari
pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan
segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke nerala menunjukkan kebenaran laknat
tersebut.
Selain
itu, mereka yang juga adalah musuh yang nyata bagi umat manusia telah dihukum
kafir oleh Allah Azza Jalla. Tidak ada satu pun keturunan iblis dan syaitan
yang akan mentaati perintah Allah SWT melainkan untuk mempermain dan
mempersendakan agama yang suci ini. Berbeza dengan golongan jin, sebahagian
daripada merrka ada yang beriman dan sebahagian daripada mereka tidak beriman.
Lihatlah bagaimana Allah menghukum kafir kepada mereka menerusi surah
al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud :
"Dan
(ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat : Tunduklah (beri hormat)
kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis
; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir".
Ternyata
langkah mereka ke dunia ini adalah untuk menyeru kepada kesesatan. Langkah
mereka adalah langkah golongan kafir yang sememangnya ingkar dengan perintah
Allah SWT. Kata al-Baghawi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Baghawi,
beliau menyatakan kebanyakan ahli tafsir menyebut bahawa Allah sudah mengetahui
bahawa iblis dalam kalangan kafir yang wajib bagi mereka penderitaan. Oleh itu,
mengikut jejak langkah iblis dan syaitan bermaksud mengikut jejak langkah
mereka ke neraka jahanam. Sebaliknya, bangkit dan melawan mereka bermaksud kita
berjuang demi mencari jalan ke syurga Allah SWT.
Dalam
al-Quran, Allah telah banyak mengingatkan kita akan bahayanya iblis dan syaitan
ini. Amaran demi amaran juga peringatan demi peringatan oleh Allah. Seperti
yang diterkandung di dalam surah al-A'raf ayat 27, firman Allah SWT yang
bermaksud :
"Wahai
anak-anak Adam ! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah
mengeluarkan kedua ibubapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya
pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka : aurat mereka (yang
sebelum itu tertutup)..."
Demikian
pula peringatan Allah dalam surah Yasin ayat 60, Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
"Bukankah
Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah
syaitan ? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu".
Islam
juga sentiasa mengajar kita untuk sentiasa memohon perlindungan kepada Allah
daripada dibelenggu oleh iblis dan syaitan. Terdapat banyak anjuran zikir
mengingati Allah yang boleh kita amalkan sepertimana yang telah ditunjuk dan
diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Dengan banyak mengingati Allah, ianya secara
tidak langsung akan menjadi pelindung daripada iblis dan syaitan. Hal ini
sepertimana yang diceritakan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Jabir bin Abdillah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila
seseorang masuk ke dalam rumahnya, kemudian dia mengingati Allah ketika masuk,
dan ketika makan, maka syaitan akan berkata (kepada temannya) : 'Tidak ada
tempat menginap dan tidak ada makan malam'. Tapi apabila dia tidak mengingati
Allah (bismillah dan jangan lupa mengucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan
berkata : 'Kamu memperoleh tempat menginap".
Demikianlah
bagaimana anjuran Islam kepada umat manusia agar sentiasa memohon perlindungan
kepada Allah daripada sebarang gangguan, godaan dan hasutan oleh iblis dan
syaitan. Kelicikan mereka yang merupakan musuh nyata bagi kita ini sehingga
Imam Ibnu Jauzi bangkit dan menulis sebuah kitab yang bernama Talbis Iblis
(Jerat belitan iblis). Kitab ini merupakan antara yang terpenting bagi kita
mengetahui akan kelicikan mereka ini yang bukan sekadar menyerang ahli maksiat,
juga menipu dan memperdayakan ahli ibadah, ahli ilmu dan lain-lain dengan
mengajak kepada melakukan perkara tokok tambah (bid'ah) di dalam agama. Jelas
lah bagi kita tidak ada musuh tradisi yang lebih nyata lagi terang melainkan
iblis dan syaitan. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan