Rabu, 8 April 2026

HUKUM KARMA & KAFFARAH : APA BEZANYA ?

 

Setiap perkara yang kita lakukan sama ada dalam bentuk yang baik mahupun yang buruk, pastinya tidak akan terlepas daripada pengadilan oleh Allah, Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besarnya, tidak ada yang akan tidak akan tercatat oleh Allah Azza Wa Jalla. Kesemuanya pasti akan dinilai dan diadili oleh Allah yang Maha Bijaksana. Inilah pegangan asas bagi orang Islam yang mempercayai serta menyakini bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan satu pun perkara terlepas daripada pengadilan Nya yang Maha Hebat. Bak kata orang dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas yang membawa maksud buat baik dibalas baik dan buat jahat akan dibalas jahat. Dalam pada kita menyentuh soal hukuman balas baik dan buruk ini, dalam agama Islam terdapat istilah yang disebutkan sebagai Kaffarah yang sering dianggap sebagai balasan dari Allah manakala dalam agama lain pula seperti agama Hindu dan Buddha, disebut dengan istilah Karma yang juga difahami sebagai balasan. Soalnya apakah benar kaffarah itu adalah balasan dan apa bezanya pula antara Kaffarah dan Karma ini.

Pada sudut terminologi, istilah "Karma" berasal dari bahasa Sanskrit, salah satu bahasa utama yang dikenali sebagai bahasa Indo-Arya purba selain menjadi bahasa kesusasteraan klasik Hindu dan Buddha. Istilah Karma merupakan suatu istilah bersifat teknikal yang berakar umbi dalam agama Hindu, Buddha dan Jainisme. Secara literalnya, perkataan Karma membawa maksud perbuatan atau tindakan. Pada sudut teologi pula, istilah Karma telah mula dijumpai di dalam teks lama agama Hindu iaitu Rigveda. Setelah itu pengajaran tentang hukum Karma ini mula meluas disebarkan dan dikembangkan perbahasannya dalam kitab-kitab Hindu yang lain seperti Upanishad. Pada sudut pemahaman Hindu, karma merujuk kepada makna perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan selain boleh juga karma difahami dengan maksud konsep timbal-balik atau sebab-akibat yang terhasil daripada perbuatan seseorang manusia ketika di dunia. Ini bermakna, jika seseorang melakukan sesuatu kebaikan maka akan dibalas baik di kemudian harinya.




Karma pada pemahaman agama lain pula seperti agama Buddha, sebagaimana yang tercatat dalam teks agama Buddha seperti Sutta Pitaka, karma bermaksud tindakan atau perbuatan seseorang manusia yang memberi pengaruh kepada Samsara. Ungkapan Samsara menurut kepercayaan agama Buddha, merujuk kepada suatu konsep kitaran kehidupan secara berulang yang akan berterusan dalam proses kelahiran dan kematian. Ini secara tidak langsung, mereka percaya dan yakin bahawa melalui konsep Samsara dan Karma ini, seseorang yang melakukan perbuatan baik, berpotensi untuk dilahirkan semula dengan kelahiran yang lebih baik. Begitu juga sebaliknya, seseorang yang melakukan perbuatan jahat, berpotensi untuk dilahirkan semula dengan kelahiran yang lebih jahat. Dalam catatan aliran Mahayana, karma merupakan suatu hukum yang mengandungi prinsip yang penting tetapi ia dianggap lebih rendah daripada belas kasihan.

Istilah "Kaffarah" pula berasal dari bahasa Arab. Perkataan al-Kaffarah (الكفارة) diambil daripada kata al-Kafru (الكفر). Pada sudut bahasa, al-Kafru bermaksud menutup. Ini kerana kaffarah merujuk kepada maksud menutup dosa sebagai keringanan daripada Allah SWT. Selain itu, al-Kafru juga membawa maksud kampung. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kaffarah dimaksudkan sebagai penutup kesalahan (dosa) dan dipanggil juga sebagai kifarah. Ungkapan Kaffarah pada sudut istilah sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, membawa maksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. Menurut Sa'di Abu Jaib pula, beliau menukilkan dalam kitab al-Qamus al-Fiqhi, perkataan kaffarah boleh dimaknakan sebagai perkara-perkara yang diampunkan seseorang yang berdosa itu dengannya seperti sedekah, puasa dan seumpamanya. Maka berdasarkam definisi yang dikemukakan ini, dapat kita rumuskan bahawa kaffarah merujuk kepada suatu perbuatan tertentu yang dilakukan dengan tujuan untuk menutup dosa dan kesalahan yang telah dilakukan.

Hakikatnya kaffarah mempunyai beberapa jenis yang berbeza seperti kaffarah kerana melanggar sumpah, kaffarah dengan sebab bersetubuh dengan isteri pada siang hari di bulan Ramadan, kaffarah sebab melanggar nazar dan lain-lain lagi kaffarah yang diperuntukkan dalam syariat agama Islam. Maka, untuk menutup kesalahan dan dosa atau untuk menghapuskan dosa yang telah dilakukan tersebut, terdapat beberapa perkara yang mestilah dilakukan seperti berpuasa 2 bulan berturut-turut, hendaklah memerdekakan hamba dan memberi makan kepada 60 orang fakir dan miskin. Ini di antara contoh perbuatan yang dituntut kepada mereka yang melakukan kesalahan tertentu seperti yang diperuntukkan dalam syariat agama Islam. Sesungguhnya Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran tentang syariat kaffarah menerusi surah al-Maidah ayat 89, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”




Ayat ini menjelaskan tentang kaffarah bersumpah iaitu kaffarah bagi mereka yang melanggar sumpah. Berbalik kepada persoalan utama, apakah beza hukum karma dan kaffarah ? Hukum karma dianggap sebagai balasan baik dan jahat yang dibalas dengan kelahiran semula mengikut perbuatan individu tersebut. Manakala kaffarah pula bukanlah balasan baik dan buruk. Tetapi kaffarah adalah perbuatan yang hendaklah dilakukan dengan tujuan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT. Meski Allah SWT pasti akan membalas tiap-tiap perbuatan baik buruk para hamba Nya, namun pembalasan oleh Allah adalah mengikut kehendak Nya dan tidak tertakluk kepada mana-mana sistem atau konsep tertentu seperti karma. Selain itu, kaffarah juga dianggap sebagai penghapus dosa. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri Ranhuma, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah ada musibah yang menimpa seorang Muslim sama ada daripada keletihan, atau kesakitan, atau kerisauan, atau kesedihan, atau sesuatu yang mengganggunya atau kesedihan yang teramat sangat, bahkan duri yang terkena padanya; melainkan Allah akan menghapuskan dengannya dosanya."

Kaffarah sebagai penghapus dosa dan bukannya sebagai balasan. Karma sebagaimana yang difahami oleh Hindu, Buddha dan agama lainnya, sangat bercanggah dan menyalahi syariat agama Islam. Ini kerana, menyakini dan mempercayai bahawa akan ada kuasa lain seperti kuasa karma yang memberi kesan selain dari Allah, hal tersebut boleh mengundang kepada kekufuran. Akidah Islam mengajar umatnya dengan menyakini dan percaya bahawa dengan sesungguhnya semua perkara yang berlaku adalah dengan kuasa dan kehendak Allah Azza Wa Jalla. Bukan berlaku kerana tindak balas hukum karma. Selain itu, hukum karma yang percaya bahawa akan ada konsep kelahiran semula berorientasikan kepada perbuatan baik buruk seseorang adalah sesuatu kepercayaan yang menyalahi ajaran agama Islam.

Dalam akidah Islam, tidak ada yang namanya kelahiran semula atau dalam istilah lain disebut reinkarnasi. Islam menolak akan konsep kepercayaan reinkarnasi ini yang boleh mengundang kepada perbuatan syirik dan khurafat dan tentu hal yang demikian dimurkai oleh Allah Azza Wa Jalla. Harus dijelaskan dengan difahami bahawa walaupun Islam menolak konsep karma, tidak bermakna Allah SWT tidak membalas akan segala perbuatan baik buruk para hamba Nya. Bagi agama Islam, Allah SWT yang juga bersifat al-Muntaqim (Maha Membalas), akan memberi balasan mengikut kehendak Nya bila, dimana dan bagaimana hal itu berlaku. Orang Islam percaya bahawa setiap kejahatan yang dilakukan oleh umat manusia pasti akan dibalas oleh Allah sama ada dibalas ketika di dunia mahupun di akhirat sana. Bagi memahami hal ini, lihatlah sebuah hadith baginda Nabi Muhammad SAW riwayat Bukhari, sabda Nabi yang bermaksud :

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”




Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Jami al-Ulum wal Hikam, beliau menyatakan bahawa hadith ini merujuk kepada balasan mengikut jenis amal. Terdapat banyak nas-nas yang menunjukkan kepada makna ini. Demikian penjelasan oleh Ibn Rajab al-Hanbali. Ini bermakna bahawa sesuatu balasan baik buruk itu dibalas oleh Allah dan bukannya kesan daripada kepercayaan hukum karma. Maka dapat kita simpulkan bahawa Islam agama meletakkan kekuasaan membalas baik buruk sesuatu perbuatan manusia adalah dibawah kuasa dan kehendak Allah bukannya terkesan dengan hukum karma. Begitulah seadanya penjelasan serba sedikit mengenai konsep hukum karma dan syariat kaffarah. Rumusannya, pertama, kaffarah bukan bererti balasan tetapi membawa maksud menutup dosa dengan melakukan perkara tertentu selain difahami juga sebagai penghapus dosa. Keduanya, hukum karma berbeza konsepnya dengan kaffarah malah saling bertentangan antara satu sama yang lain. Ketiga, Islam menolak konsep karma yang jelas lagi terang menyanggahi akidah Islam. Dalam Islam tiada konsep reinkarnasi atau kelahiran semula kesan daripada perbuatan baik buruk seseorang. Umat Islam yakin dan percaya Allah lah yang Maha Membalas setiap perbuatan hamba Nya baik dibalas di dunia mahupun di akhirat sana. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan