Rabu, 6 Ogos 2025

LELAKI QAWWAM SEBAGAI PEMIMPIN KELUARGA

 

Kepimpinan adalah suatu amanah yang disertakan dengan tanggungjawab dan peranan yang mesti dilaksanakan. Memimpin, ianya tidak semudah bercakap di kedai kopi, atau mengajar di meja-meja kuliah mahupun sekadar membaca buku membelek teori-teori tanpa praktikalnya sekali. Memimpin memerlukan kekuatan fizikal dan mental, semangat dan iltizam yang tinggi selain memahami hala tuju ke mana arah kepemimpinannya. Dalam dunia yang sementara ini, selain tujuan Allah jadikan hamba Nya untuk beribadah, Allah SWT jua telah menjadikan manusia itu sebagai khalifah, pemimpin yang menguruskan hal ehwal kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini. Dalam kebanyakan ciptaan Allah SWT, golongan lelaki dijadikan oleh Tuhan dengan memiliki sifat semulajadi atau fitrah memimpin. Memimpin merupakan tabiat lelaki yang diiktiraf oleh Allah SWT.

Dalam hal ini, Allah SWT sebagai pencipta telah menegaskan di dalam al-Quran menerusi surah an-Nisa' ayat 34, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”




Melalui keterangan ayat ini, Allah SWT telah mengiktiraf golongan lelaki sebagai pemimpin dan pengwal yang bertanggungjawab. Dalam al-Quran menerusi ayat tersebut, Allah SWT menggunakan ungkapan "Qawwam" bagi merujuk kepada makna golongan lelaki sebagai pemimpin dan pengawal. Perkataan Qawwam merupakan istilah yang berasal dari bahasa Arab. Perkataan qawwam lahir daripada kata dasar qaaim (قاءم) yang bermaksud yang berdiri atau yang bangkit. Dalam kitab al-Mu'jam al-Wasith, perkataan قوامون (qawwamuna) membawa maksud yang memelihara dan yang menjaga. Perkataan tersebut telah memberikan isyarat dan signifikan yang jelas berkaitan peranan dan tanggungjawab golongan lelaki sebagai pemimpin. Antara yang menjelaskan lagi pemahaman istilah Qawwam ini ialah Imam Abdurrahman al-Sa'di, dimana beliau menyatakan dalam kitabnya Taysir Karimir Rohman min Kalamil Mannan, beliau menyebut :

“Qawwam terhadap wanita bermaksud menunaikan hak-hak Allah terhadap mereka, menjaga ketetapan-Nya dan menjauhi kerosakan. Maka menjadi kewajipan lelaki untuk menjalankan tanggungjawab ini terhadap wanita, serta memberikan nafkah, pakaian dan tempat tinggal kepada mereka.”

Selain itu, Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Karim, beliau menyatakan bahwa makna qawwam ialah lelaki bertindak sebagai pengurus terhadap wanita, yakni pemimpin, ketua yang memegang kuasa dan yang mendidik jika berlaku penyimpangan. Imam al-Tabari pula menyebut dalam kitab tafsirnya dengan menafsirkan makna al-qawwam sebagai pelaksana tugas dan pelindung yang mengurus dan mengajar dan kelebihan ini diberikan oleh Allah SWT untuk kaum lelaki sahaja. Selain itu, Imam al-Qurtubi pula menyebut dalam kitab tafsirnya dengan menyatakan bahawa ayat al-Qawwam ini membawa maksud lelaki mempunyai kuasa terhadap isteri mereka termasuklah untuk isteri tinggal di rumah dan taat kepada suami dan menunaikan perintah suami selagi suami tidak menyeru kepada maksiat. Maka dapat kita rumuskan bahawa golongan lelaki yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai pemimpin mestilah melaksanakan tugas dan peranannya yang sebenar. Bukan sebaliknya membiarkan isteri menguruskan semua hal ehwal rumahtangga.




Dalam kita hendak memahami lelaki sebagai pemimpin, di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang memaparkan dialog atau perbualan antara bapa dan anak. Secara tidak langsung memberikan kita kefahaman bahawa menjadi seorang lelaki yang memimpin, elemen komunikasi adalah sangat penting sekali. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim AS telah bercakap baik dengan anaknya Nabi Ismail dalam usaha melaksanakan perintah Allah. Lihatlah dalam surah as-Saffat ayat 102, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelih mu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insyaallah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Dialog atau perbualan ini merupakan suatu yang sangat kritikal dimana seorang bapa perlu melakukan ketaatan kepada Allah dengan cara mengorbankan anaknya. Sebagai bapa, mana mungkin sanggup melakukan perbuatan sehebat itu. Namun Nabi Ibrahim AS dengan penuh tanggungjawab, kekal tenang memanggil anaknya dengan panggilan yang terhormat dan penuh kasih sayang. Ketenangan Nabi Ibrahim adalah sesuatu ciri kepimpinan yang mahal nilainya yang perlu dicontohi oleh semua golongan lelaki. Selain itu, seorang lelaki yang qawwam juga perlu memiliki nilai kebijaksanaan dalam mendidik keluarga. Lihatlah bagaimana kebijaksanaan seorang lelaki biasa yang bernama Luqmanul Hakim, seorang lelaki bukan dari para Nabi, tetapi harum namanya diangkat sebagai contoh bapa yang hebat, kaya dengan kata-kata nasihat kepada anak-anaknya. Luqmanul Hakim bijak dalam menyampaikan nasihat kepada anak-anaknya. Dalam surah Luqman ayat 13, pesanan pertama Luqman terhadap anaknya ialah tentang larangan melakukan kesyirikan kepada Allah. Allah merakamkan di dalam al-Quran pesanan tersebut yang bermaksud :

“Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar.”

Sebanyak-banyak perkara dalam dunia ini, nasihat pertama dan terpaling penting sekali yang ditekankan oleh Luqmanul Hakim kepada anaknya ialah tentang kesyirikan. Kita barangkali jarang atau tidak pernah langsung mengingatkan anak kita tentang hal ini. Ada mungkin yang beranggapan nasihat tentang syirik itu adalah remeh, tidak sesuai lagi untuk diingatkan, namun percayalah itulah nasihat yang paling berguna sekali di dunia dan akhirat. Kita mungkin terlepas pandang, ketika menghantar anak ke sekolah, antara yang kita ingatkan adalah tentang belajar rajin-rajin, jangan lupa makan dan sebagainya. Alangkah baiknya juga kita ingatkan anak supaya tidak melupakan Allah, sentiasa membesar dan mengagungkan Allah kerana demikian itulah sebaik-baik tempat kita bergantung pada Nya. Selain itu, lelaki qawwam juga bermakna mesti menjadi ketua, pemimpin dan bukannya sekadar menjadi pak turut.



Perkembangan semasa pada hari ini menunjukkan trend kaum lelaki suka diperendah-rendahkan, diperlecehkan dan dipermainkan dengan kandungan video yang menyaksikan budaya "Takut Bini". Budaya isteri pukul suami yang membawa maksud suami mesti takut isteri, suami mesti dengar dan ikut patuh cakap isteri adalah sesuatu yang bertentangan dengan intipati ajaran agama Islam. Sebetulnya ialah lelaki yang diiktiraf oleh Allah SWT sebagai pemimpin perlu dihormati, dimuliakan dan dipatuhi cakapnya selagi tidak membawa kepada percanggahan agama Islam. Itu sewajarnya diterapkan di dalam masyarakat dan bukan sebaliknya diajar budaya takut bini. Kepimpinan seorang lelaki haruslah dihormati oleh semua pihak dan tidak sewajarnya diremehkan akan hal tersebut. Pada masa sama, lelaki qawwam perlu menunjukkan kepimpinannya dengan tidak culas dalam memberi nafkah. Mengabaikan nafkah adalah kecacatan yang memalukan. Menjadi lelaki, tidak sahaja sekadar menggalas nama "suami" tetapi perlu menggalas amanah sebagai seorang suami dengan mencari nafkah selain perlu memberikan perlindungan kepada keluarga daripada sebarang bahaya.



Demikianlah sedikit-sebanyak yang boleh dihuraikan mengenai makna lelaki qawwam. Lelaki diberikan peranan sebagai pemimpin bukanlah suatu kelebihan yang kosong. Ianya dituntut dengan melakukan tanggungjawab dan memainkan peranan sebenar seorang lelaki. Lelaki sebagai seorang suami, perlu menyelamatkan keluarganya daripada ancaman bahaya di luar sana seperti jenayah pedofilia, gangguan seksual dan bermacam lagi ancaman sosial termasuklah serangan pemikiran yang berbahaya yang mula menular dalam masyarakat. Tingkah laku anak-anak dan isteri sekurang-kurangnya mencerminkan kepimpinan seorang lelaki yang bernama suami. Oleh itu, lelaki perlu bangkit menterjemahkan semula ungkapan Qawwam dalam kehidupan. Kerana itulah yang diamanahkan oleh Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan