Bulan
Sya'ban adalah bulan ke 8 menurut kalendar Islam. Sebelumnya adalah bulan Rajab
dan selepasnya adalah bulan Ramadan. Perkataan Sya'ban berasal daripada kata "tasya'aba"
yang membawa makna "tafarruq" bemaksud pemisah. Oleh itu,
dinamakan bulan Sya'ban adalah kerana bulan tersebut adalah pemisah antara
bulan Rajab dan Ramadan. Ibnu Duraid menjelaskan, dinamakan bulan ini dengan
nama Sya'ban adalah kerana pada bulan tersebut kebanyakkan orang Arab akan
berpecah-belah pergi mencari air.
Kedatangan
bulan Sya'ban sudah tentu membawa suatu kerinduan yang mendalam pada bulan
Ramadan dan membakar semangat menuju ke bulan yang mulia tersebut. Memasuki
bulan Sya'ban juga menandakan umat Islam harus bersiap sedia membuat persiapan
mental dan fizikal bagi menyambut bulan Ramadan. Ini kerana, pada bulan
Ramadan, semua umat Islam diwajibkan berpuasa, menahan diri dari makan dan
minum, juga menahan diri daripada melakukan segala perkara yang boleh
membatalkan puasa.
Seperti
pada bulan Rajab, memasuki bulan Sya'ban sudah tentu memiliki kelebihan dan
keutamaannya bagi menghidupkan bulan tersebut. Adalah menjadi sunnah baginda
Nabi SAW apabila memasuki bulan Sya'ban, baginda suka berpuasa sunat melebihi
pada bulan-bulan yang lain. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah
hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, daripada isteri baginda Nabi, Aishah
RA, beliau berkata yang bermaksud :
"Aku
tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada
puasa Sya'ban. Baginda pernah berpuasa Sya'ban sepenuhnya kecuali hanya
beberapa hari (tidak puasa)"
Demikian
bagaimana baginda Nabi SAW sangat rajin berpuasa sunat di bulan Sya'ban.
Kegigihan dan kejituan baginda Nabi berpuasa di bulan Sya'ban, serba sedikit
telah menimbulkan pertanyaan dikalangan para sahabat Nabi akan tentang sebab
kenapa baginda Nabi SAW sangat rajin berpuasa di bulan Sya'ban. Hal ini
direkodkan dalam sebuah hadith dinilai hasan, riwayat Ahmad, al Nasai dan
lain-lain, Usamah bin Zaid bertanya kepada Nabi SAW mengapa baginda sangat
banyak berpuasa di bulan Sya'ban, Nabi SAW menjawab dengan bersabda :
"Itulah
bulan yang manusia lalai mengenainya ; antara Rajab dan Ramdan. Padanya (bulan
Sya'ban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku,
melainkan aku dalam keadaan berpuasa"
Ibnu
Rajab al Hambali berkata :
"Di
dalam hadith ini terdapat beberapa faedah, antaranya : Ia menunjukkan
terselindungnya bulan ini dengan dua bulan yang penting iaitulah salah satunya
bulan yang haram (bulan Rajab) manakala yang satu lagi bulan Ramadan,
menyebabkan orang ramai sibuk merebut kelebihan dalam dua bulan tersebut, lalu
menjadikan bulan Sya'ban diabai dan dilalaikan".
Oleh
yang demikian, adalah menjadi sunnah Nabi SAW untuk kita memperbanyakkan
berpuasa sunat sepertimana yang telah dilakukan oleh baginda Nabi SAW. Pada
masa yang sama, jangan pula kita lupa untuk menggantikan puasa yang lepas. Juga
kita diingatkan agar tidak lupa untuk menunaikan fidyah bagi mereka yang layak
seperti bagi mereka yang uzur, yang tidak dapat menggantikannya dengan
berpuasa.
Selain
itu, kelebihan pada bulan Sya'ban juga, Allah Azza Wa Jalla akan melihat para
hamba Nya pada malam nisfu Sya'ban (15 Sya'ban), lalu Allah SWT akan
mengampunkan seluruh hamba Nya kecuali mereka yang melakukan syirik dan yang
bermusuhan, saling benci membenci sesama muslim. Hal ini sepertimana yang telah
dinyatakan dalam sebuah hadith sahih riwayat Ibn Hibban, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Allah
melihat kepada hamba-hamba Nya pada malam nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua
hamba Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci
membenci)".
Namun
begitu, meskipun pada malam tersebut Allah turun ke langit dan melihat serta mengampuni
semua hamba Nya, tidak ada sebarang amalan tertentu yang dikhususkan pada malam
tersebut seperti yang sering kita lihat, adanya amalan solat raghaib, doa khas
pada nisfu Sya'ban dan lain-lain. Kata Imam al Nawawi dalam al Majmu' Syarh al
Muhazzab :
"Solat
yang dikenali dengan solat al Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara
Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama bulan Rajab, juga solat malam nisfu
Sya'ban sebanyak seratus rakaat ; kedua-dua solat ini bidaah lagi mungkar yang
jelik. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al
Qulub dan Ihya 'Ulum al Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadith yang disebut
dalam dua buah kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh
dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadith-hadith kedua-dua
solat berkenaan"
Juga
menurut Imam al Syaukani, beliau menyebutkan dalam al Fawaid al Majmu'ah fi
al Ahadith al Maudu'ah : "Telah diriwayatkan mengenai solat malam
Nisfu Sya'ban daripada pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu".
Dalam hal yang sama, Dr. Yusuf al Qaradawi pernah mengulas berkenaan amalan
malam Nisfu Sya'ban dalam kitabnya Fatawa Mu'asarah. Beliau berkata :
"Tidak
pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat bahawa mereka berhimpun
di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban, membaca doa tertentu dan
solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas
maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat
panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada
manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada
golongan salaf (para sahabat, tabiin dan tabi' tabiin). Ia satu doa yang
panjang, yang menyanggah nas-nas (al Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan
bertentangan pula isi kandungannya..."
Oleh
itu, kita semua seharusnya perlu lebih berhati-hati ketika beramal dengan
sesuatu amalan supaya apa yang kita kerjakan tersebut menepati kehendak Allah
dan Rasul Nya. Adalah menjadi keperluan bagi kita, apabila mendengar tentang
sesuatu kelebihan beramal dengan amalan tertentu, pada bulan tertentu, atau
pada hari tertentu, ianya mestilah berdasarkan kepada nas-nas syarak. Tidak
cukup sekadar "menukilkan daripada si fulan" atau sekadar
"amalan dahulu". Pastikan hal itu mempunyai sandaran hukum yang
jelas. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan