Dunia
Islam sejak dahulu mendepani pelbagai cabaran dan ujian yang mendatang. Cabaran
yang dihadapi berzaman telah dirasai sejak turunnya Islam lagi. Lebih dirasai
lagi, cabaran makin besar menguji umatnya setelah kewafatan baginda Nabi
Muhammad SAW. Setelah wafatnya baginda Rasul, maka naiklah Abu Bakar as Siddiq
sebagai pemimpin umat Islam. Pada zaman beliau, telah banyak cabaran dihadapi
olehnya antaranya termasuklah penentangan terhadap golongan yang ingkar
membayar zakat.
Dalam
sebuah hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Bakar al Siddiq telah
berkata yang bermaksud :
"Demi
Allah, jika mereka menghalangku daripada mengambil zakat (walaupun) daripada
anak kambing kecil yang dahulunya mereka berikannya kepada Rasulullah SAW,
nescaya pasti aku akan perangi mereka kerana keengganan itu".
Demikian
ketegasan seorang pemimpin Islam yang terkenal dengan ketelusan dan
kejujurannya membenarkan apa yang dibawa oleh baginda Nabi SAW. Inilah sikap
tegas dan seharusnya menjadi pendirian kita untuk memastikan syiar Islam terus
ditegak dan dipelihara oleh umatnya.
Meskipun
begitu, zaman berubah selari dengan kemajuan yang tumbuh. Dunia terasa semakin
kecil dan dekat. Pada masa sama, cabaran juga turut berubah selari dengan
peredaran dan tuntutan zaman. Bertubi-tubi serangan demi serangan berepisod
dibuat sama ada secara langusng mahupun tidak langsung. Pelbagai propaganda
dipergunakan. Tidak cukup dengan itu, sebahagian umat Islam yang tergelincir
daripada memahami makna jihad yang sebenar, telah dipertunggangkan bagi
memberikan salah faham bahawa Islam agama kekerasan dan ganas.
Dalam
konteks negara hari ini, kempen "Selamatkan Akidah Umat Islam"
kembali berbunyi dan berkumandang. Pelbagai slogan dan cogan kata ditiupkan
bagi menyampaikan kesedaran pada umat Islam agar bangkit dari tidur yang lena,
kembali ke alam realiti hari ini. Kita sememangnya tidak pernah berhenti
daripada dicabar dan terus dicabar oleh musuh-musuh Islam. Biarpun begitu,
lebih malang dan berdukacita sekali, ada segelintir umat Islam yang
bertopengkan "Rahmatan lil A'lamin" sanggup membela dan
mempertahankan mereka yang memusuhi Islam, yang dikenali sejak dahulu lagi suka
membuat provokasi mencabar umat Islam.
Marilah
sama-sama kita mengingatkan diri kita kembali dengan sabda baginda Nabi SAW
dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Thawban RA, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud :
"Umat-umat
lain akan mengelilingi kamu (iaitu musuh-musuh Islam akan menyerbu untuk
membinasakan kamu) sepertimana mereka yang pelahap mengelilingi hidangan yang
lazat". Maka seseorang bertanya, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit
? Jawab Rasulullah SAW : " Tidak, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu
seperti buih air bah yang banyak. Dan sesungguhnya Allah mencabut kehebatan
kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam
hati kamu penyakit al-wahan. Lalu seseorang bertanya, apakah al-wahan itu wahai
Rasulullah ? Jawab Rasulullah : "Terlalu kasihkan dunia dan takutkan
mati".
Begitulah
kita pada realiti hari ini. Kita hanya dikejutkan dengan cabaran demi cabaran.
Namun kejutan tersebut sangat sedikit yang celik, sangat kurang yang prihatin
bahkan ramai yang tidak mempedulikan akan hal itu. Catatan sejarah telah
menjelaskan pada kita bagaimana umat Islam sejak dahulu tidak pernah belajar
dari masa lalu. Urusan akidah umat Islam kini sudah tiada peri pentingnya lagi.
Dicabar di mahkamah bagi membatalkan pengislaman bukan lagi isu yang boleh
menguntungkan kantung ahli politik.
Isu-isu
seperti ini nampaknya tidak mengkayakan sang penceramah agama yang tahu nak
mengisi kuliahnya dengan bahan jenaka semata-mata. Bahkan, sebahagian masyarakat
kita menyangkakan pihak berkuasa agama sahaja sudah cukup untuk mempertahankan
akidah umat Islam. Dengan bersikap ambil mudah, ada yang menyatakan biarlah
NGO-NGO Islam sahaja yang terlibat. Ucapan dan sangkaan seperti ini bukanlah
lahir daripada mereka yang bukan Islam. Sebaliknya mereka yang sejak
berketurunan Islam lagi tidak rasa ghairah untuk mempedulikan isu akidah umat
Islam. Sedih dan memilukan.
Untuk
rekod, sejak tahun 1950 lagi, Malaysia telah digegarkan dengan isu Natrah,
seorang gadis Belanda yang memeluk Islam dan dibesarkan oleh sebuah keluarga
Islam. Kes Indira Ghandi sejak tahun 2008, mencabar status keislaman
ketiga-tiga anaknya. Akhirnya pada tahun 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan
untuk membatalkan pengislaman mereka. Dan kini, tahun 2022, kita disajikan pula
dengan hasrat Puan Loh Siew Hong untuk mencabar status keislaman anak-anaknya.
Apakah kita hanya mampu melihat dan membiarkan hal seperti ini berulang lagi ?
Tergamakkah kita melihat keislaman mereka yang dipilih secara rela tanpa paksa
dicabut dan dibuang sebegitu sahaja ?
Barangkali
kita terlupa akan sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Seorang
muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya
untuk disakiti. Siapa yang membantu urusan saudaranya maka Allah akan membantu
urusannya. Sesiapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah
menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan hari kiamat. Dan siapa
yang menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada hari
akhirat"
Menginsafi
akan realiti yang ada pada hari ini, slogan "Selamatkan Akidah Umat
Islam" bukanlah retorik bermusim, tidak lagi semata-mata meraih
publisiti dan undi, apatah lagi untuk menganggu gugat kestabilan perpaduan
rakyat, namun disebalik slogan ini, kita dituntut untuk terus bangkit dari
kejatuhan, belajar dari kesilapan. Juga untuk menyemaikan kesedaran tinggi
kepada umat Islam agar jangan terus dibuai lena. Jangan sekadar bergegar di
meja penceramah, tetapi layu di medan sebenar. Juga mesej ini adalah untuk
memberikan mesej yang jelas kepada mereka yang bukan Islam bahawa Islam tidak
menentang agama-agama lain, tetapi Islam berdiri dan terus berdiri menentang
puak pelampau meskipun dikalangan umat Islam sendiri. Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan