Apabila
namanya "manusia", pasti akan ada kekurangan dan kelemahannya yang
tersendiri. Bukanlah sesuatu yang aneh bila seseorang insan melakukan kesalahan
dan kesilapan dalam roda kehidupan. Kesalahan dan kesilapan tersebut barangkali
akan menjadi pengajaran dan pengalaman bermakna buat dirinya, lantas bangkit
dan terus belajar daripada kesalahan dan kesilapan tersebut.
Amat
dukacita dan malang sekali, apabila ada dikalangan kita yang merasai dirinya
sempurna dengan memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, kedudukan dan pangkatnya
yang hebat, sehingga kadang terlebih dalam tindakan seolah-olah telah mengambil
kerja Tuhan menghukum manusia. Keadaan ini tidak sihat bagi kita yang
bertanggungjawab diatas tindakan ini. Sebahagian ada yang beranggapan bahawa
kita tidak melakukan kerja Tuhan tetapi kita hanya menegakkan perintah Tuhan.
Oleh itu, perkara baik kita ajak dan perkara buruk kita cegah.
Mengajak
orang melakukan kebaikan dan mencegah orang melakukan kemungkaran itu adalah
suatu hal yang sangat baik. Bahkan, ianya merupakan anjuran yang disebutkan di
dalam al Quran. Dalam surah Ali Imran aya 110 yang bermaksud :
"Dan
hendaklah ada diantara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh untuk berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka
itulah orang-orang yang beruntung"
Namun
begitu, adalah tidak layak untuk kita bersikap melampau dalam menghukum orang
seperti tiada harapan bagi mereka untuk berubah. Bahasa mudahnya, kita tidak
punyai hak untuk menentukan neraka atau syurga bagi seseorang manusia. Meskipun
Allah menjelaskan dalam banyak ayat di dalam al Quran berkenaan sifat ahli
neraka dan syurga, juga kesan dan akibat melakukan kebaikan dan kemungkaran,
namun semua itu di dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah. Di sisi manusia, kita
mampu menilai apa yang terzahirnya sahaja. Kata muktamadnya, hanyalah empunya
milik Allah SWT.
Oleh
itu, Allah melarang kita daripada bersikap melampau batas. Hal ini sepertimana
dalam surah al Maidah ayat 87, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik
yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas
(pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu) ; kerana sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang melampaui batas".
Berdasarkan
firman ini, Allah Azza Wa Jalla melarang kita daripada bersikap melampaui
batas. Hal ini termasuklah menghukum orang yang melakukan maksiat seolah-olah
kita yang memegang kunci pintu neraka. Demikian juga dalam usaha mengajak orang
melakukan kebaikan. Janganlah melampaui batas mengajak orang melakukan kebaikan
sehingga umpama kita pemegang kunci syurga Allah SWT. Kita disuruh untuk
menghukum perbuatannya sahaja.
Dalam
sebuah hadith yang panjang, riwayat Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah RA,
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Pada
zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang
berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin
beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia
meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.
Suatu
hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata
"Berhentilah daripada membuat dosa." Rakannya itu menjawab
"Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah
engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?".
Ahli
ibadah itu menjawab"Demi ALLAH, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan
kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah." Setelah kedua-duanya
meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah
menyoal lelaki ibadah itu " Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau
adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?"
Kemudian
kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata "Masuklah kamu kedalam syurga
berkat rahmat Ku". Sementara kepada ahli ibadah itu "masuklah orang
ini kedalam Neraka."
Begitu
juga dalam persoalan keikhlasan. Sama ada ikhlas atau tidak, ianya bukanlah
urusan kita semua. Tidak layak bagi kita untuk menentukan ikhlas atau tidak
seseorang dalam urusan amal ibadahnya. Kita sama sekali tidak dituntut untuk
ambil tahu tahap keikhlasan seseorang melainkan apa yang terzahirnya sahaja.
Hakikatnya, Allah sahaja yang selayaknya lebih mengetahui isi hati para hamba
Nya. Bagi mereka yang mempamerkan kebaikan, dahulukan sangka baik kita dengan
anggapan mereka sedang promosikan kebaikan. Mengajak orang berbuat kebaikan
sama seperti mereka.
Dalam
surah Faatir ayat 38, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah mengetahui segala rahsia di langit dan dibumi ; sesungguhnya dia
mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada"
Demikian
Allah dengan segala nama dan sifat kesempurnaan Nya, Dia lah yang paling
mengetahui apa yang terbuku di dalam isi hati para hamba Nya. Usahlah kita
sibuk memperlekehkan segala kebaikan orang lain dengan mempertikaikan soal keikhlasan
mereka. Lebih utama, kita mesti saling bantu membantu dalam hal kebaikan. Islam
tidak menyuruh kita untuk membelah hati orang lain untuk menentukan ikhlas atau
tidak. Sebaliknya, segala yang baik itu harus disokong dan dicontohinya, bukan
menidakkannya. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan