Wanita
merupakan tunjang bagi kehidupan seorang lelaki. Penciptaan wanita merupakan
simbolik kepada pelengkap sebuah makna kehidupan. Penciptaan langit berpasangan
dengan bumi, terbitnya matahari bersilih ganti dengan bulan, demikian juga
manusia, penciptaan kaum lelaki adalah berpasangan dengan kaum wanita. Daripada
asal penciptaan yang sama, diciptakan daripada tanah, kemudian dijadikan pula
dari penciptaan yang satu menjadi dua, iaitu lelaki dan wanita. Sebagaimana
firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah An Nisa ayat 1 yang bermaksud :
“Wahai
sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu, yang telah menciptakan
kamu dari diri yang satu dan dartipadanya Allah menciptakan isterinya, dan
daripadanya kedua-duanya mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.
Dan bertakwalah kepada Allah, yang telah kamu persoalkan di antara satu sama
lain, dan hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah adalah selalu menjaga kamu”
Ayat
diatas menjelaskan kepada kita tentang kekuasaan dan keagungan Tuhan
menciptakan diri manusia. Dalam kerangka pemahaman ayat ini, Allah SWT telah
menjelaskan bahawa penciptaan manusia itu berasal dari satu penciptaan. Untuk
memahami makna ayat “penciptaan yang satu” ini, maka terdapat dua tafsiran
berbeza dikalangan mufassirin. Tafsiran golongan pertama seperti Ibnu Kathir,
Imam Zamakhasyari dan Imam Jalaluddin al Suyuthi, mereka menyatakan bahawa
perkataan nafsin wahidatin itu merujuk kepada Nabi Adam. Kemudian daripada diri
Adam yang satu itulah diambil oleh Allah dan menjadikan pula isterinya iaitu
Hawa.
Tafsiran
golongan kedua yang terdiri daripada ulama kontemporari, mereka berpandangan,
makna nafsin wahidatin itu ialah membuktikan bahawa manusia itu semuanya sama.
Hanya dibezakan dengan lainan jantina lelaki dan wanita. Dapatlah kita
menyimpulkan disini ialah penciptaan wanita bukanlah untuk direndahkan martabat
dan harga diri, namun terdapat nilai dan harganya yang perlu dijaga dan
dipelihara. Malangnya hari ini, hak wanita di ukur dengan nilai dan moral tanpa
merujuk panduan dari agama. Sedangkan Islam, sejak penciptaan wanita lagi,
martabat dan kedudukannya di muliakan dengan sewajarnya.
Firman
Allah SWT dalam surah At Taubah ayat 71 yang bermaksud :
“Dan
orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman yang setengahnya adalah
pemimpin bagi yang setengah mereka (sama-sama) menyuruh berbuat yang makruf dan
(sama-sama) mencegah daripada yang mungkar dan (sama-sama) mendirikan
sembahyang dan (sama-sama) mengeluarkan zakat dan (sama-sama) taat kepada Allah
dan Rasul Nya. Itulah orang-orang yang akan diberi rahmat oleh Allah.
Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, Maha Bijaksana”.
Berdasarkan
firman Allah ini, dapat kita memahami bahawa Allah Azza Wa Jalla telah
mengiktiraf peranan dan kuasa kaum wanita setanding dengan kaum lelaki. Pertama,
Allah menyebutkan bahawa perempuan yang beriman yang setengahnya adalah
pemimpin bagi setengah mereka yang lain. Ini membuktikan Islam sangat
menghormati hak wanita sebagai pemimpin kepada mereka yang lain. Maka bukan lah
suatu isu yang besar sekiranya dilantik dikalangan wanita menjadi pemimpin
berdasarkan kelayakan dan kewajarannya berbuat demikian.
Keduanya,
Allah memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita untuk melakukan kerja-kerja
mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Kedudukan
dan hak yang sama Allah berikan kepada kaum wanita sejajar dengan kemampuan
wanita.
Ketiganya,
Allah juga memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita dalam soal hak beribadah
dan ketaatan kepada Allah SWT. Wanita juga diiktiraf untuk mengeluarkan zakat,
menunaikan solat dan juga melakukan ketaatan kepada Allah tanpa mengurangkan
sedikit pun ganjaran pahala kerana berlainan jantina. Hal ini membuktikan
kepada kita bahawa Islam agama yang tidak pernah mendiskriminasikan hak kaum
wanita.
Sebelum
kedatangan Islam, menjadi amalan kaum Arab jahiliah, menjadikan para wanita
sekadar tempat melepaskan nafsu serakah, hamba seks. Malah, menjadi kepercayaan
mereka juga, memiliki anak perempuan adalah tanda akan membawa sial dan malang
dalam hidup. Namun kemudian, Islam datang dengan memerdekakan manusia khususnya
para wanita daripada dibelenggu oleh penindasan dan pengeksploitasian ini.
Turunnya Islam dengan membela maruah serta martabat para wanita. Terdapat
banyak hadith Nabi SAW yang menjelaskan kedudukan para wanita yang sangat
dihormati.
Dalam
sebuah hadith sahih riwayat Ibn Hibban, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Mukmin
yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik
kamu adalah mereka yang berbuat baik kepada kaum wanita"
Selain
itu, dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan al Hakim, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang dikurniakan anak perempuan, dia tidak membunuhnya, tidak merendahkannya,
tidak melebihkan anak lelaki daripadanya, maka Allah akan memasukkannya ke
dalam syurga"
Juga
dalam hadith yang lain, riwayat Bukhari, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Mereka
yang membantu wanita kematian suami dan orang-orang miskin seumpama mujahid
yang berjuang di jalan Allah"
Demikian
beberapa hadith yang menjelaskan pendirian Islam membela serta mengangkat
martabat dan maruah para wanita di tempat yang selayaknya. Namun begitu, kerap
kali isu-isu hak kewanitaan dibincangkan dan dikupaskan bersendikan nilai moral
yang di berkiblatkan acuan pemikiran barat moden.
Lebih
parah dan bertambah malang lagi, pemikiran falsafah mula mengambil tempat
menghukum beberapa isu kewanitaan yang dilihat seperti tidak adil, menindas dan
wujud soal diskriminasi gender. Antaranya ialah isu perkahwinan poligami, isu
pembahagian harta faraid, dan pertikaian syariat bertudung.
Allah
Azza Wa Jalla telah berfirman, dalam surah Al Nisa’ ayat 59 yang bermaksud :
“Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada dan
Rasul dan kepada Ulil Amri (pemerintah) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu
berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada
(Kitab) Allah (Al quran) dan (Sunnah) Rasul Nya jika kamu benar beriman kepada
Allah dan hari akhirat….”
Adalah
menjadi prinsip bagi seorang muslim, apabila berlakunya pertembungan dalam
sesuatu perkara, maka rujuk lah petunjuk Allah dan panduan Rasul Nya, Nabi
Muhammad SAW. Oleh itu, segala pertikaian, perbalahan dan perselisihan yang
berlaku, marilah kita kembali merujuk Al Quran dan As Sunnah. Setiap lemparan
tuduhan Islam menindas gender wanita haruslah dijawab dengan kembali memahami
intipati ajaran Islam sebenar. Semoga Allah memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan