OKU
merupakan singkatan daripada perkataan "Orang Kurang Upaya"
atau juga disebutkan sebagai "Kelainan Upaya". Menurut World Health Organisation (WHO), OKU dimaksud
sebagai "Kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang
pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan
aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan
vokasional". Kecacatan yang dikategorikan sebagai OKU terbahagi kepada
tujuh iaitu kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya
fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya bertutur, kurang upaya mental dan
kurang upaya pelbagai.
Golongan
OKU adalah merupakan sebuah komuniti marginal yang telah menjadi salah satu
daripada entiti dalam sesebuah masyarakat. Tanpa kita sedari, golongan OKU
sejak dahulu sering menjadi bahan persendaan oleh sebahagian kecil masyarakat
yang kurang kesedaran dan tidak bermoral. Islam sangat melarang kita bersikap
nempersendakan mana-mana orang sekalipun dirinya bukan dikalangan OKU. Dalam
firman Allah SWT menerusi surah al Hujurat ayat 11, yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman ! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan
kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik
daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan
perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu
lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan
janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk
panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan
barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"
Islam
datang dengan membawa rahmat buat sekalian insan. Dengan sifat kerahmatan
tersebut, Islam tidak pernah meminggirkan apatah lagi menyisihkan golongan OKU.
Allah SWT menerusi firman Nya, dalam surah al Fath ayat 17 yang bermaksud :
"Tidaklah
menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang
tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang,
kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada
Allah dan Rasul Nya, akan dimasukkan Nya ke dalam syurga yang mengalir
dibawahnya beberapa sungai ; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa
Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya"
Dalam
Tafsir al Qurtubi, Ibn Abbas RA berkata turunnya ayat diatas apabila ayat
sebelumnya menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut
sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan
kurang upaya dikalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit
kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut
sama berjuang. Lantaran dari soalan tersebut, maka turunlah ayat diatas dengan
memberikan keringanan buat golongan yang kurang upaya ini.
Meskipun
golongan OKU dilihat mempunyai kelainan atau kurang upaya, namun Islam tidak
pernah memisah-misahkan mereka dengan manusia yang lain. Perkara ini
sepertimana yang dapat kita perhatikan berdasarkan firman Allah SWT dalam surah
al Isra' ayat 70, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Dan
sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak cucu Adam, dan Kami angkut mereka di
daratan dan di lautan dan Kami berikan merek rezeki yang baik-baik dan Kami
lebihkan mereka diatas kebanyakkan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan
sempurna"
Berdasarkan
mafhum ayat ini, Allah Azza Wa Jalla telah memuliakan manusia dan Allah
memberikan kelebihan pada manusia berbanding makhluk Allah yang lain. Kita
dapat lihat bahawa kemuliaan oleh Allah kepada seluruh manusia yang merupakan
anak cucu Adam tanpa membeza-bezakan keupayaan tiap-tiap diri manusia. Allah
telah memuliakan manusia tanpa memisah-misahkan antara yang sempurna upaya
dengan yang kurang upaya.
Selain
itu, Allah SWT telah merakamkan kisah Abdullah bin Ummi Maktum, seorang sahabat
Nabi SAW yang buta penglihatan. Dalam surah 'Abasa ayat 1-10, firman Allah SWT
yang bermaksud :
"
Dia (Muhammad) berwajah masam dan berpaling. (1) Kerana seorang buta (Abdullah
bin Ummi Maktum) telah datang kepadanya. (2) Dan tahukah engkau (Muhammad),
barangkali dia ingin menyucikan dirinya (daripada dosa). (3) Atau dia ingin
mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya ? (4) Adapun orang yang
merasa dirinya serba cukup (pembesar-pembesar Quraisy) (5) Maka engkau
(Muhammad) memberi perhatian kepadanya (6) Padahal tidak salah keatasmu kalau
dia tidak menyucikan diri (beriman). (7) Adapun orang yang datang kepadamu
dengan segera (untuk mendapatkan pengajaran) (8) Dengan perasaan takut
(kepada Allah) (9) Engkau (Muhammad) mengabaikannya (10) "
Ayat
ini merakamkan suatu ketika dimana baginda Nabi SAW sedang berdakwah di hadapan
pembesar-pembesar suku Quraisy, Nabi SAW berharap dan bersungguh-sungguh agar
mereka memasuki Islam. Dan tatkala itu, tiba-tiba datanglah Abdullah bin Ummi
Makhtum, seorang sahabat Nabi yang buta, yang telah beriman kepada Allah, ingin
bertanya sesuatu kepada baginda Nabi SAW. Kedatangan beliau telah membuat
baginda tidak selesa lalu baginda memalingkan wajah daripadanya. Keadaan itu
telah menjadi sebab turunnya ayat ini sebagai teguran kepada baginda Nabi
sekaligus menjadi pelajaran dan peringatan untuk kita bersama.
Sebagai
seorang muslim yang mengakui beriman kepada Allah dan Rasul Nya, kita
seharusnya bersikap adil dalam menyantuni manusia. Tanpa mengira apa keturunan,
darjat dan kedudukan, disisi Allah semua manusia itu adalah sama sahaja. Cuma,
yang membezakan kita adalah nilai ketaqwaan kepada Nya. Hal ini disebutkan
dalam firman Nya menerusi surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :
"Sesunggugnya
yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.
Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti"
Dalam
sebuah hadith sahih riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
kalian ditolong (dimenangkan) dan diberi rezeki disebabkan orang-orang yang
lemah di antara kalian - disebabkan doa, solat dan keihklasan mereka"
Tanpa
kita sedar, sebahagian mereka yang kurang upaya adalah mereka yang dijamin
syurga kerana mereka lahir dalam keadaan akal yang tidak sempurna, dimana hal
itu menyebabkan mereka dikecualikan dari segala taklif sebagai muslim.
Disebabkan itu, mereka tidak berdosa dan kembali kepada Allah dalam keadaan
bersih dan suci. Maka, tidak pernah ada istilah sia-sia dan rugi sekiranya kita
berbuat baik kepada golongan syurga ini.
Golongan
OKU yang dilihat lemah dan tidak berupaya kadangkala menjadi punca dan sebab
kita dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan dan dimasukkan ke syurga.
Barangkali kerana kita menyantuni mereka, mereka mendoakan kita, pasti Allah
mendengar doa mereka yang istimewa ini. Oleh sebab itu, jangan pernah ada rasa
sombong diri, kerana yang lemah itu akan menjadi titian kita menuju ke syurga
dengan berbuat ihsan terhadap mereka. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup
kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan