Selasa, 29 Mac 2022

KEISTIMEWAAN & TAWARAN RAMADAN

 

Ramadan merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Perkataan Ramadan diambil daripada kata dasar رمض yang bermaksud panas yang sedang semakin hangat. Ketika membahaskan makna ramadan ini, Imam al Qurtubi menerusi kitab tafsirnya menyatakan bahawa kalimah Ramadan itu diambil dari perkataan (ramada iaitu) yang membawa maksud kepanasan yang dilalui oleh orang yang berpuasa itu iaitu ketika hangatnya organ perutnya kerana terlalu haus. Beliau juga menyatakan bahawa dinamakan Ramadan kerana seakan ia membakar dosa melalui amal-amal soleh.

Umum mengetahui, pada bulan Ramadan, seluruh umat Islam disyariatkan untuk berpuasa sepertimana yang telah diserukan kepada umat-umat yang terdahulu. Ini bermakna, syariat ibadah puasa bukanlah sesuatu syariat yang baharu bahkan sebelum daripada itu, telah disyariatkan kepada umat terdahulu. Dalam al Quran, Allah SWT berfirman di dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"




Terdapat banyak keistimewaan dan tawaran pada bulan Ramadan yang disebut oleh Allah dan rasul Nya melalui al Quran dan as Sunnah. Antaranya adalah bulan Ramadan merupakan suatu bulan dimana diturunkan al Quran. Al Quran merupakan kalam Allah SWT yang berupa wahyu Allah kepada rasul Nya dalam membawa intipati ajaran Islam sebenar. Al Quran diturunkan bukan bertujuan sekadar untuk halwa telinga semata-mata, bahkan ianya adalah petunjuk bagi orang yang beriman, yang padanya juga menjadi pemisah yang benar dan salah.

Seperti firman Nya di dalam surah al Baqarah ayat 185, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang benar dengan yang salah)...."

Bulan Ramadan juga menawarkan kepada kita peluang untuk menghapuskan dosa yang telah lalu dengan syarat, kita berpuasa dengan penuh keimanan dan pengharapan kita agar Allah memberikan ganjaran pahala diatas kesabaran kita berpuasa. Perkara ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"

Tawaran sehebat ini hanya terdapat pada bulan Ramadan. Berpuasa kerana iman dan mengharapkan pahala di sini bukanlah bermaksud sekadar menahan lapar dan dahaga bahkan sebaliknya meningkatkan amal soleh, berterusan melakukan ketaatan dengan keikhlasan dan juga sentiasa melawan diri meninggalkan perkara yang melalaikan diri. Oleh yang demikian, berpuasa dengan penuh keimanan, menjanjikan penghapusan dosa kita yang telah lalu.




Bulan Ramadan juga merupakan medan latihan dan tarbiah kepada kita untuk belajar meninggalkan perkara yang maksiat dan sia-sia. Tidak kurang dikalangan kita, sebahagian daripada kita berazam dan bercita-cita ingin menjadikan bulan Ramadan sebagai titik perubahan pada diri mereka sendiri. Termasuklah dalam hal ini, berjuang dengan diri sendiri untuk meninggalkan hal yang tidak bermanfaat. Dengan latihan dan tarbiah Ramadan ini, kita sudah pasti dengan izin Nya jua dapat memperbaiki diri sendiri menjadi lebih baik. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya".

Selain itu, pada bulan Ramadan juga, Allah SWT akan membuka semua pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka. Juga pada masa yang sama, syaitan dan iblis dibelenggu. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula di tutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis".

Dengan tawaran dan keistimewaan ini, maka sudah tentu ianya menjadi motivasi dan pemangkin semangat untuk kita mengejar tawaran ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Ianya bukan sesuatu "manifesto" kosong semata-mata namun sebaliknya, pada bulan tersebut, pelbagai tawaran ganjaran pahala bagi para hamba Nya yang benar-benar mendambakan syurga dan redha Nya.




Selain itu, menjadi keistimewaan bulan Ramadan juga bagi orang yang benar-benar berpuasa kerana Allah. Bagi orang yang berpuasa, Allah menjanjikan 2 kebahagiaan bagi mereka yang berpuasa. Hal ini sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Ada dua kebahagiaan bagi orang yang berpuasa : pertama, ketika dia berbuka, dan yang lainnya ketika dia bertemu Tuhannya, dan (bau) nafas (orang yang berpuasa) lebih baik disisi Allah daripada aroma wanginya kasturi".

Pada mereka yang berpuasa di bulan Ramadan juga, Allah Azza Wa Jalla dengan segala kekuasaan dan keagungan Nya, menjanjikan sebuah syurga khas bagi mereka yang berpuasa semata-mata. Syurga tersebut dikenali sebagai "Ar Rayyan". Hal ini diceritakan oleh baginda Nabi SAW menerusi sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan pintu Ar Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Ditanya (oleh pintu tersebut) : "Dimanakah orang-orang yang berpuasa ?" Maka mereka pun masuk dari pintu tersebut. Setelah semua orang yang berpuasa memasukinya, pintu itu pun ditutup dan tidak ada lagi yang masuk melaluinya".

Demikian beberapa keistimewaan dan tawaran khas yang Allah janjikan pada bulan yang penuh barakah ini. Sesungguhnya terdapat banyak lagi tawaran dan keistimewaan bulan Ramadan. Namun, biarpun berapa banyak istimewa dan tawaran tersebut, marilah bersama kita menjadikan Ramadan yang akan datang ini sebagai tetamu yang dilayan dengan penuh ceria dan gembira. Kedatangannya disyukuri dan pemergiannya ditangisi. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan