Rabu, 28 Oktober 2026

LARANGAN BINAAN ATAS KUBUR

 

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Demikian kata-kata bicara yang biasa kita dengar. Ungkapan seringkas ini hakikatnya membawa kita ke suatu noktah kepada kehidupan di dunia. Segala yang kita banggakan, rumah kediaman yang besar, kenderaan berjenama yang bagus, pakaian yang cantik dan berjenama, pekerjaan yang hebat bergaji besar, semuanya pasti ada penamatnya. Penamat akan semuanya ini ialah kematian. Kematian bukanlah penamat kehidupan tetapi penamat atau pemutus kepada segala kelazatan hidup di dunia. Oleh kerana itu kita sering diingatkan bahawa rumah kenderaan terakhir kita ialah van jenazah, pakaian terakhir kita ialah kain kafan dan rumah terakhir kita pula ialah perkuburan. Dengan rela hati atau terpaksa pergi, kediaman terakhir kita semua ialah perkuburan. Perkuburan tidak seperti rumah yang boleh dihiasi dengan lampu dan kipas. Hanya amalan menjadi sebaik-baik peneman.

Perkuburan sebagaimana yang dicatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud tempat menanam mayat dan orang-orang yang sudah meninggal dunia. Asal perkataan kubur ialah daripada bahasa Arab yang terbitnya dari kata kerja qabara (قبر) yang membawa maksud memendam, menyembunyikan atau memasukkan sesuatu ke dalam tanah. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, beliau menyebut makna asal bagi perkataan kubur ialah sesuatu yang bersifat samar atau tersembunyi. Ringkasnya, perkataan kubur boleh kita fahaminya sebagai suatu tempat untuk menanam orang yang telah mati meninggalkan dunia ini. Melihat kepada definisi kubur ini, ada juga tertanya-tanya apakah boleh sebagai tanda penghargaan atau penghormatan atau juga sebagai tanda kenangan, kita membina sesuatu diatas kubur dengan tujuan-tujuan tersebut. Dalam bahasa mudah, apakah boleh kita membuat binaan menghiasi perkuburan tersebut dengan tujuan-tujuan untuk memuliakan, menghormati dan menghargai orang yang telah mati tersebut.




Sebelum menjawab persoalan ini, pertama kita perlu di ingatkan tentang tujuan kita melihat atau menziarahi kubur. Dalam hal ini, Islam melalui ajaran yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW mengajar dan mendidik kita supaya melihat kubur sebagai tempat untuk kita ingat tentang kematian, kubur mengajar kita supaya ingat akan adanya hari akhirat, fasa dimana kita semua akan diadili di hadapan Allah Jalla Wa 'Ala. Maka kubur bukanlah tempat untuk kita menghias, mencantikkan dan sebagainya. Begitu juga kubur bukanlah tempat untuk manusia melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Maka untuk apa tujuan menghias jika tidak sedikit pun memberi manfaat kepada si mati. Bahkan dibimbangi dengan menghias kubur tersebut, kita menjadi sombong dan bongkak kerana bermegah dengan keindahan dan kecantikan kubur yang dihiasi itu. Menjawab persoalan ini, Islam melarang, menegah dan tidak membenarkan sebarang binaan diatas kubur.

Tegahan dan larangan tersebut bersandarkan kepada sebuah hadith Nabi Muhammad SAW riwayat Muslim, daripada Jabir RA yang bermaksud :

“Rasulullah SAW melarang tajsis(plaster dengan kapur) kubur, duduk atasnya dan membuat binaan atasnya”

Melihat kepada hadith ini, perkataan "Tajsis" adalah merujuk kepada perbuatan memplaster sesuatu dengan kapur atau gipsum. Perbuatan tersebut biasanya dilakukan dengan tujuan untuk mencantik dan menghiaskan kubur. Jelas bahawa perbuatan tersebut adalah yang dilarang dan ditegah di dalam ajaran Islam sebenar. Berdasarkan hadith ini juga, kata Imam al-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Awthar, beliau menyebut bahawa perkataan Jabir sepertimana di dalam hadith tersebut merupakan bukti hukum haram membuat binaan di atas kubur. Berkait dengan membuat binaan di atas kubur juga, Imam al-Nawawi yang juga antara tokoh terkenal dalam mazhab al-Syafie menyebut dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim, ketika beliau mensyarahkan hadith tersebut, beliau menjelaskan bahawa :

“Kata tokoh-tokoh mazhab kami (Mazhab al-Syafii) perbuatan tajsis (memplaster) kubur itu adalah makruh, duduk atas kubur adalah haram. Demikian (haram) juga bersandar padanya atau menyandar atasnya. Adapun binaan atas kubur, sekiranya (tanah kubur) dalam pemilikan pembina, maka makruh. Sekiranya ia di perkuburan awam maka haram. Ini telah dinaskan oleh al-Imam Syafii dan Ashab (tokoh-tokoh Mazhab Syafii). Berkata (al-Imam) al-Syafii dalam (kitabnya) al-Umm: “Aku melihat para imam di Mekah memerintahkan agar dimusnahkan apa yang dibina”.




Begitu juga menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, beliau menyatakan bahawa :

"Berkata al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh Mazhab al-Syafii “Dimakruhkan memplaster, atau menulis nama si mati atau selainnya atas kubur, atau membuat binaan atasnya. Perkara ini tiada khilaf di sisi kami (Mazhab al-Syafii). Ini juga pendapat (al-Imam) Malik, (al-Imam) Ahmad, (al-Imam) Daud (al-Zahiri) dan majoriti ulama”.

Maka menurut mazhab al-Syafie, pendapat muktamad mereka sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, beliau menyebut bahawa disunatkan meninggikan kubur dengan kadar sekitar sejengkal supaya diketahui (kubur tersebut) maka dihormati dan diziarahi. Juga supaya tidak digali oleh sesiapa yang mahu menguburkan orang lain. Menurut beliau lagi, dimakruhkan tajsis (memplaster) kubur, membuat binaan atasnya dan menulis nama si mati atau selainnya. Demikian ungkapan oleh Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili. Selain itu, dalam mazhab Hanbali sebagaimana yang dinukilkan oleh Sharaf al-Din al-Hajjawi dalam kitabnya Zad al-Mustaqni’, beliau menukilkan dengan menyebut bahawa ditinggikan kubur dengan kadar sejengkal dan dibonggolkan. Dimakruhkan tajsis, binaan, tulisan, duduk, pijak dan menyandar ke atasnya. Berdasarkan nukilan tersebut, telah berkata Dr Mansur Muhammad ‘Abdullah al-Saq’ub dalam kitabnya al-Ta’liq al-Muqni’ ‘ala Zad al-Mustaqni’, ketika membuat komentar Zad al-Mustaqni’, beliau menyebut bahawa binaan atas kubur iaitu meletakkan binaan atasnya. Samada binaan itu merapat ke tanah seperti bilik, atau tidak merapat ke tanah seperti kubah. Samada ia milik persendirian atau milik awam, maka ia makruh.




Jelas bahawa Islam melarang dan menegah sebarang binaan di ats kubur. Bahkan pihak pemerintah memiliki kuasa untuk menghalang dan meruntuhkan binaan tersebut. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Khatib Syarbini di dalam kitabnya Mughni Muhtaj, beliau menegaskan bahawa jikalau dibina atasnya pada kuburan yang diwakafkan yang selalunya mayat orang awam ditanam di situ hendaklah diruntuhkan binaan tersebut kerana ia menyempitkan atas orang lain. Dan tiada beza antara binaan itu berupa kubah atau rumah atau tempat sembahyang atau lain dari yang demikian itu. Demikian menurut al-Syarbini. Sesungguhnya disebalik larangan tersebut, terdapat pelbagai hikmah yang boleh kita pelajari. Antara lain ialah perkuburan bukanlah tempat untuk manusia berbangga dan bermegah dengan menghiasi kubur. Kubur merupakan tempat mengingatkan kita kepada kematian dan hari akhirat. Jika kubur dihiasi dengan kecantikan, apakah ianya dapat memberi kesan kepada kita untuk ingat akan kematian atau sebaliknya menambahkan kebanggan dan kesombongan diri. Selain itu, kubur juga bukanlah hak milik kita perseorangan. Ianya adalah hak milik seluruh umat Islam. Tanah kubur yang telah digazetkan sebagai tanah wakaf seharusnya dihormati hak semua orang Islam dengan tidak membuat apa-apa binaan. Kelak memudahkan urusan orang lain pula untuk digunakan liang lahad tersebut. Demikianlah sedikit penjelasan berkaitan larangan binaan atas kubur. Semoga Allah Azza Wa Jalla mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan