Isnin, 30 Mei 2022

ADAKAH BOLEH ORANG ISLAM MEMASUKI RUMAH IBADAT AGAMA LAIN ?

 

Perkembangan dunia hari ini telah banyak merubah cara fikir umat Islam serta menjana kreativiti bagi melebarkan syiar agama yang suci dan murni ini. Pelbagai pendekatan dan strategi diambil bagi mencapai maksud menyampaikan dakwah risalah Islam sebenar khususnya kepada masyarakat bukan Islam. Hal ini juga secara tidak langsung, bukan sahaja dapat menyebarkan dakwah bahkan dapat menterjemahkan firman Allah SWT dalam surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia ! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Tujuan Allah SWT menciptakan manusia dengan berbagai jenis bangsa dan kaum adalah bagi memuliakan umat manusia, menjadikan umat manusia saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, terdapat sebahagian gerakan dakwah melebarkan sayap menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat bukan Islam dengan menziarahi dan mengunjungi mereka di rumah ibadat agama mereka. Tindakan ini telah menimbulkan banyak persoalan dan ianya harus dilihat dan dihadam dalam kerangka keilmuan, bukan emosi semata-mata.




Apakah hukum orang Islam memasuki rumah ibadat selain Islam ? Persoalan ini telah pun dibahas dan dihuraikan dengan panjang lebarnya oleh para ulama kita. Terlebih dahulu, kita harus fahami bahawa perbezaan agama tidaklah menghalang kita daripada melakukan kebaikan kepada mereka. Perkara ini dapat kita menerusi firman Allah SWT dalam surah al Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu".

Melalui firman ini, Allah SWT tidak melarang umat Islam untuk melakukan kebaikan seperti berziarah, memberi makan, bertanya khabar dan lain-lain. Malah kita juga dituntut untuk berlaku adil terhadap mereka yang bukan Islam meski berbeza agama. Berkaitan hukum orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain, para sarjana Islam berbeza pandangan dalam hal ini. Mereka melihat dalam kerangka ilmu dan pemahaman masing-masing dengan bersandarkan pada hujah kuat di sisi pandangan masing-masing.

Dalam kitab Nihayatul Muhtaj dan juga dalam Tuhfatul Muhtaj, dua tokoh besar mazhab Syafi'e iaitu Imam Syihabuddin ar-Ramli juga Imam Ibn Hajar al-Haitami, mereka menyatakan bahawa hukumnya haram orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain. Para ulama' dalam mazhab Syafi'e menyatakan hukum haram tersebut diatas alasan bahawa di dalam tempat tersebut terdapat patung-patung sembahan. Sebaliknya, sekiranya tempat yang dijadikan rumah ibadat tersebut tidak mempunyai patung-patung, maka tidak menjadi haram dan boleh memasukinya dengan izin mereka yang menjaga rumah ibadat tersebut.

Sebahagian para sarjana Islam dalam mazhab Hanafi berpandangan hukum orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain ialah haram secara mutlak tanpa mengira rumah ibadat tersebut mempunyai patung atau sebaliknya tidak mempunyai patung. Hal ini sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Hasyiah Ibn 'Abidin, juga dalam kitab Al Fatawa al-Hindiyyah. Pandangan ini juga dipegang oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah seperti yang dinukilkan dalam al-Fatawa al-Kubra, juga Imam Malik dalam kitab al-Adab as-Syar'iyyah dan juga sebahagian ulama dalam mazhab Syafi'e dalam kitab Hasyiyah 'Umairah.




Dalam mazhab Hanbali pula, seperti yang dinyatakan oleh Ibn Qudamah dan al-Mardawi, hukumnya adalah harus bagi orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain. Selain itu, Ibnu Qudamah meriwayatkan bahawa Hassan al-Basri, Umar Abdul Aziz, Sya'bi juga Imam al Auzaie' turut berpegang pada pendapat sedemikian. Pandangan ini seperti yang dinukilkan dalam beberapa kitab masyhur mazhab Hanbali seperti al-Mughni, Kasyaf al-Qanna' dan al-Muhalla.

Demikian para sarjana Islam berbeza pandangan berkenaan hukum orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain. Perbezaan ini berdiri dengan harmoninya diatas penilaian hujah dan sandaran dalil yang kuat menurut mazhab masing-masing. Berdasarkan kepada perbezaan ini, maka boleh kita simpulkan bahawa bagi orang Islam yang memasuki rumah ibadat agama lain dengan tujuan yang dibenarkan oleh syarak adalah diharuskan dan ianya tidaklah menjadi masalah. Sebaliknya, sekiranya memasuki rumah ibadat tersebut untuk melakukan maksiat, menyertai ritual upacara agama mereka, maka hal ini dilarang dan jelas bercanggah dengan prinsip agama.

Berkenaan ini juga, kita dapat melihat bagaimana keterbukaan Darul Ifta' Misriyyah melalui fatwanya berkaitan hukum memasuki gereja dan rumah ibadat agama lain. Dalam fatwanya, mereka mengharuskan orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain selagimana hal itu tidak melanggar batas-batas syarak. Keharusan ini juga selari dengan konsep fiqh al-ta'ayush yang membicarakan berkenaan hukum-hakam tatacara kehidupan bersama antara orang Islam dan orang bukan Islam dalam keadaan harmoni dan aman.




Dalam konteks Malaysia, kita percaya, kebanyakan gerakan dakwah pada hari ini yang mengadakan lawatan dan kunjungan ke rumah ibadat agama lain bukanlah bertujuan untuk membenarkan atau menyokong kebenaran agama tersebut, apatah lagi untuk menyembah sembahan agama mereka. Namun usaha yang sedemikian lebih kepada menonjolkan ajaran Islam sebenar, berkongsikan intipati Islam di samping mewujudkan semangat perpaduan merentasi agama.

Setelah sekian lama arena dakwah kita kaku, hanya eksklusif kepada orang Islam, hanya berdegar-degar di corong-corong masjid dan surau, berbincang soal halal dan haram bertahun lamanya, mengapa tidak kita mengambil pendekatan untuk lebih berani bertemu mereka yang bukan Islam dalam suasana yang lebih harmoni dan tidak bertentangan dengan syarak. Bukankah keadaan tersebut sedikit-sebanyak dapat kita menghakis sikap ketakutan (islamofobia) mereka terhadap Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan