Perkataan
wali adalah berasal dari bahasa arab. Untuk mengenali makna sebenar perkataan
wali ini, para ulama berbincan dari dua sudut pandang, iaitu pada sudut
bahasanya dan istilahnya. Dalam kitab al Mausu'ah al Fiqhiyyah, perkataan wali
pada sudut bahasa membawa maksud dekat atau hampir. Dari sudut istilahnya pula,
perkataan wali atau disebutkan juga sebagai al Wilayah membawa maksud wakil
atau penjaga. Sebagai contoh, wali kepada perempuan adalah bapanya. Ini
bermaksud, penjaga kepada perempuan itu adalah bapanya.
Dalam
kitab al Furqan Baina Aulia' al Rahmah dan Aulia' al Syaitan, menurut
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah ketika membahaskan tentang perkataan wilayah,
beliau telah menyatakan bahawa al Wilayah lawannya adalah 'Adawah. Asal makna
perkataan al Wilayah adalah kecintaan dan kedekatan. Manakala perkataan 'Adawah
pula membawa makna kebencian dan kejauhan. Oleh itu, perkataan wali atau
wilayah merujuk kepada orang yang cinta dan dekat dengan Allah Azza Wa Jalla.
Dr.
Wahbah Zuhaili dalam Tafsir a Wasit telah menyatakan bahawa mereka para
wali Allah adalah golongan yang mendapat berita gembira pada kehidupan di dunia
dengan mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi
mana mereka berlandaskan syariat Allah SWT di dalam kepercayaan mereka,
mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan melarang
daripada kemungkaran.
Daripada
beberapa penjelasan makna ini, dapat kita fahami bahawa golongan wali Allah ini
adalah golongan yang dekat dan hampir kepada Allah berpandukan jalan keimanan
dan ketaqwaan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan
larangan Nya. Setiap ibadah yang dilakukan juga adalah berdasarkan syariat
Allah Azza Wa Jalla. Mereka tidak membawa syariat baharu, sebaliknya beramal
dengan apa yang telah diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
Dalam
hal kewalian ini, para ulama secara umumnya telah membahagikan para wali kepada
dua bahagian iaitu Wali Allah dan Wali Syaitan. Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah
menyatakan bahawa di antara Wali Allah dan musuh Allah adalah mereka yang
bersaksikan (mengikut) Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya ia Wali Allah. Dan
sesiapa yang bersaksikan selain daripada itu maka ia adalah musuh Allah iaitu
lah dari golongan Wali Syaitan.
Dalam
kitab Qatr al Wali ala Hadith al Wali, Imam al Syaukani menyatakan
mereka yang dihitung sebagai Wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT,
malaikat Nya, kitab yang diturunkan Nya, para rasul dan takdir yang baik dan
buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang
serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT, maka mereka ini digelar
sebagai Wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu
bukanlah daripada Wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah
(rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan).
Untuk
mengenali siapakah wali Allah SWT, di dalam al Quran menerusi surah Yunus ayat
62 - 63, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Ingatlah,
sesungguhnya wali-wali Allah SWT itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan
tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka
selalu bertaqwa".
Syaikh
al Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa sesungguhnya wali Allah
adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya
bertawakkal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain
daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada
sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari
akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti
balasan di akhirat.
Imam
Ibnu Kathir pula dalam kitab tafsirnya, ketika menafsirkan ayat tersebut,
beliau menyatakan bahawa Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini
adalah golongan yang beriman dan bertaqwa. Dan bagi setiap orang yang bertaqwa
termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak
akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak
bersedih dengan keadaan di dunia.
Dalam
sebuah hadith qudsi riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah, baginda bersabda
bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Barangsiapa
yang memusuhi wali Ku, maka bererti dia telah menentang Ku berperang. Setiap
kali hamba Ku mendekatkan diri kepada Ku dengan melaksanakan apa yang aku
wajibkan kepadanya. Dan dia terus mendekatkan diri kepada Ku dengan menunaikan
amalan sunnah sehingga Aku mencintainya. Dan jika Aku mencintainya, Aku adalah
telinganya untuk mendengar, matanya untuk melihat, tangannyq untuk memukul dan
kakinya untuk berjalan"
Imam
Ibnu Hajar al Asqalani dalam Fathul Bari, ketika mensyarahkan hadith ini
menyatakan bahawa, dan yang dimaksudkan golongan wali Allah adalah orang yang
mengenali Allah serta melakukan ketaatan dengan bersungguh-sungguh, ikhlas
dalam melakukan ibadah. Dalam syarah yang lain pula, Ibnu Daqiq al A'id dalam Syarah
Arba'in al Nawawi, beliau menyatakan sesungguhnya Allah SWT memberi amaran
kepada sesiapa yang memusuhi wali Nya. Dan wali Allah mereka golongan yang
berpandukan apa yang disyariat Allah SWT, oleh itu seseorang itu hendaklah
berwaspada supaya tidak menyakiti hati para wali Allah.
Para
wali Allah juga merupakan golongan yang diberikan cahaya keimanan serta
kehidupan mereka adalah berlandaskan kepada syariat Allah SWT. Sebaliknya,
mereka yang disebutkan sebagai wali Syaitan pula adalah golongan yang
dikeluarkan daripada cahaya kebenaran. Hal ini sepertimana firman Allah SWT
dalam surah al Baqarah ayat 257, yang bermaksud :
"Allah
Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia
mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan
orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan
mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka,
mereka kekal di dalamnya"
Ada
pun berkenaan Wali Syaitan, Allah SWT telah menyebutkan golongan yang
menjadikan syaitan itu sebagai pemimpin mereka. Kerana itu kehidupan mereka
berpandukan kepada kekufuran dan kemungkaran, pada masa yang sama mereka
menyangkakan mereka berada di dalam kebenaran. Sepertimana firman Allah dalam
surah al A'raf ayat 30, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Kerana
sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin
(yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada
dalam petunjuk hidayah"
Dalam
firman Allah yang lain, menerusi surah al An'am ayat 121 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah (menghasut)
kamu, dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi
orang-orang yang musyrik"
Syaikh
al Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa golongan wali Syaitan
dihiasi pada pandangan mereka dengan menyangkakan perkara yang mungkar dan keji
itu seakan perkara kebaikan. Mereka juga menyangkakan diberikan petunjuk dan
hidaya untuk melakukannya.
Kata
Imam al Syafie yang dinukilkan dalam Tafsir Ibn Kathir, beliau menyebutkan :
"Jika
kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka
jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalaj kamu menilai dirinya mengikut
neraca al Quran dan al Sunnah"
Secara
tuntasnya, kita fahami bahawa wali Allah adalah merujuk kepada sesiapa yang
beriman dan bertaqwa dengan melaksanakan apa yang telah disyariatkan oleh Allah
Azza Wa Jalla. Ini bermaksud, wali Allah juga terikat dengan syariat Nya
seperti solat, puasa dan sebagainya. Manakala wali syaitan pula adalah golongan
yang melakukan kemungkaran dan kekufuran dalam keadaan mereka menyangka bahawa
inilah kebenaran. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan