Dalam
sesebuah rumahtangga, yang terdiri daripada suami dan isteri, hubungan seks
merupakan antara manifestasi kekuatan cinta dan kasih sayang dalam membina
sesebuah hubungan yang halal lagi diredhai oleh Allah SWT. Melalui hubungan
intim ini, maka setiap pasangan akan memperolehi ketenangan, ketenteraman jiwa
dan kebahagiaan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang
bermaksud :
"Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Nya dan rahmat Nya, bahawa Ia
menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenangan hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan
Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
Hubungan
seksual antara lelaki dan perempuan adalah merupakan keperluan setiap makhluk
yang bernama insan. Ianya juga menjadi fitrah dan naluri setiap insan. Bahkan,
makhluk selain manusia seperti haiwan juga berkehendak kepada hubungan seksual
ini. Islam yang merupakan agama fitrah bagi setiap manusia meraikan keperluan
hak seksual ini melalui pensyariatan perkahwinan yang sah. Tanpa ikatan yang
sah, sebarang hubungan seksual adalah haram dan berdosa besar. Dalam al Quran,
Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 223 yang bermaksud :
"Isteri-isterimu
adalah ladang bagimu, maka datangilah ladangmu itu bila-bila sahaja dengan cara
yang kamu sukai. Dan utamakanlah (yang baik) untuk dirimu. Bertaqwalah kepada
Allah dan ketahuilah bahawa kamu (kelak) akan menemui Nya. Dan sampaikanlah
khabar gembira kepada orang yang beriman".
Berdasarkan
ayat ini, dapatlah kita fahami bahawa para isteri bagaikan ladang bagi para
suami. Adalah menjadi tanggungjawab para suami untuk mengusahakan ladang
tersebut dengan apa jua cara yang tidak membawa kepada kemudaratan. Umpama di
ladang, sebaik sahaja mengeluarkan hasil, maka suami bertanggungjawab
menguruskan hasil tersebut.
Mesejnya
ialah, dalam sesebuah hubungan seks, Islam bukan sahaja memberikan ruang untuk
melakukan hubungan bahkan menuntut tanggungjawab hasil perhubungan tersebut.
Maka, dalam Islam, hubungan seksual bukan sekadar tempat bagi kita melepaskan
nafsu syahwat, sebaliknya menuntut kepada sebuah tangggungjawab selepas itu.
Berbeza
dengan apa yang berlaku di dunia barat, hubungan seksual lelaki dan perempuan
bagaikan sebuah pesta melepaskan nafsu semata-mata. Menukar pasangan bagaikan
menukar pakaian. Sesudah nafsu dilempiaskan, maka tiada lagi hubungan dan rasa
bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan. Lebih menakutkan, hubungan
seks yang terjadi di barat bagai tidak bertepian lagi. Merata di tempat-tempat
awam, tanpa rasa malu dan segan. Hal seperti ini memperlihatkan kepada kita
maruah kaum perempuan diperlakukan sekadar binatang tunggangan sahaja tanpa
rasa bertanggungjawab.
Ada
pun dalam soal hubungan seksual ini, agama Islam telah menggariskan beberapa
panduan kepada umatnya agar melakukan hubungan intim dengan cara yang paling
baik dan tidak menyakiti pasangan. Firman Allah SWT dalam surah al Nisa' ayat
19 yang bermaksud :
"Dan
bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang
baik"
Antara
panduan tersebut, Islam melarang para suami bersetubuh dengan isterinya melalui
duburnya. Hal ini seperti yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad,
daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Orang
yang dilaknat itu adalah seorang yang mendatangi wanitanya pada duburnya"
Menurut
al Bassam, hadith ini menunjukkan bahawa mendatangi (jimak) isteri pada
duburnya adalah perbuatan haram, kerana termasuk di antara dosa-dosa besar. Dan
suatu ungkapan laknat tidaklah diberikan kecuali pada dosa besar. Syaikhul
Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al Fatawa menyebutkan bahawa
menggauli isteri pada duburnya adalah diharamkan berdasarkan al Quran dan Sunnah
serta jumhur (majoriti) para ulama salaf dan khalaf, bahkan perbuatan tersebut
termasuk (liwat) kecil.
Namun
begitu, Islam membenarkan suami isteri melakukan hubungan seks dengan apa jua
cara yang menyenangkan pasangan. Berkata Syaikhul Islam Zakariyya al Ansari
dalam kitab Asna' al Matolib : "Menikmati (secara seksual) pada
dubur itu dibenarkan tanpa melibatkan penembusan (zakar)".
Juga
telah berkata Syaikh Zainuddin al Malibari dalam kitabnya Fathul Mu'in :
"Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh
isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap
biji kelentit".
Islam
juga mengajar kita untuk berdoa sebelum melakukan hubungan intim. Hal ini
adalah bagi tujuan memohon perlindungan daripada gangguan syaitan dan memohon
agar dilindungi zuriat hasil perhubungan yang baik ini daripada syaitan.
Sepertimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Seandainya
salah seorang di antara kamu ingin menggauli isterinya lalu membaca doa :
'Bismillahi Allahumma jannibnas syaitana wa jannibisy syaitana ma razaqtana'
yang ertinya : 'Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkanlah syaitan dari kami dan
jauhkanlah syaitan dari apa yang engkau anugerahkan kepada kami', maka jika
ditakdirkan dari pertemuan keduanya itu menghasilkan anak, syaitan tidak akan
mengganggunnya selama-lamanya".
Menurut
Syaikh al Utsaimin : " Anjuran berzikir tatkala berjimak kerana setiap
manusia menginginkan anaknya tidak diganggu oleh syaitan dan ini merupakan di
antara sebab-sebabnya. Hadith ini menegaskan bahawa syaitan terkadang menguasai
seorang anak." Oleh yang demikian, kita digalakkan untuk berdoa dahulu
sebelum melakukan hubungan dengan harapan Allah melindungi kita, pasangan serta
zuriat hasil hubungan tersebut daripada gangguan syaitan.
Islam
juga menuntut agar setiap pasangan suami isteri menjaga rahsia perhubungan
seksual ini daripada pengetahuan awam meskipun diceritakan kepada orang yang
kita rapat. Setiap pasangan seharusnya menyimpan rahsia hubungan seksual ini
daripada dikongsi, di jaja atau dicanangkan di khalayak awam. Tambahan pula di
zaman serba canggih ini, jauhilah daripada berkongsi rahsia hubungan intim
tersebut. Dalam hal ini, Nabi SAW telah bersabda dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, daripada Abu Said al Khudri, bahwa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Orang
yang paling buruk darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang
bersetubuh dengan isterinya, kemudian dia membuka rahsianya"
Demikianlah
beberapa panduan untuk melakukan hubungan seksual yang halal di dalam Islam.
Agama Islam yang penuh rahmat ini bukan sekadar memerintahkan kita menunaikan
hak kita dengan Tuhan, tetapi agama juga menuntut agar kita memenuhi hak sesama
manusia. Dan antara hak tersebut adalah hubungan seksual antara suami isteri.
Dalam tuntutan hak tersebut, Islam datang dengan memberikan panduan agar
hubungan yang terjalin ini akan menatijahkan yang baik kepada dua belah pihak,
suami dan isteri. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan