Isnin, 23 Mei 2022

SIAPAKAH GOLONGAN WAHABI ?

Mutakhir ini kerapkali kita mendengar labelan "Wahabi" ini kencang berkumandang. Labelan Ini bukanlah suatu yang baharu bahkan sejak berzaman lagi, masyarakat seringkali dimomokkan dengan labelan Wahabi. Dalam konteks Malaysia, tidak kurang ramai yang memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada mereka yang tidak berqunut subuh, tidak membaca doa beramai-ramai selepas solat dan pelbagai lagi amalan yang dilihat janggal dan tidak sama dengannya, maka ianya dianggap sebagai Wahabi. Pentakrifan ini tidak tepat kerana semua perbezaan tersebut adalah terkandung dalam pandangan mazhab yang sangat luas.

Perkataan Wahabi secara umumnya merujuk kepada nama seorang tokoh pejuang reformis Islam di Arab Saudi berketurunan Bani Tamim, Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab, dilahirkan di kampung Uyainah pada tahun 1115 hijrah bersamaan 1703 masihi dan meninggal dunia pada tahun 1206 hijrah. Semasa riwayat hidupnya, beliau seringkali melawan dan menentang segala bentuk syirik, khurafat dan perkara-perkara bid'ah dalam agama Islam. Sikap kelantangan beliau ini telah mengundang rasa tidak puas hati dan tidak digemari oleh tokoh lain yang berbeza fahaman dengannya.




Satu perkara lagi yang harus kita tahu, perkataan Wahabi juga terkait dengan sebuah gerakan Khawarij di Afrika Utara yang dipimpin oleh Abdul Wahab Bin Rustum. Beliau meninggal dunia pada 211 hijrah. Beliau telah membawa sebuah gerakan Ibadhiyah Khawarij yang muncul sekitar 2 hijrah. Gerakan politik beliau yang bertunjangkan idealisme Khawarij sangat radikal, ekstrims dan sangat melampau. Kelampauan golongan ini telah mengundang keluarnya fatwa oleh Imam al-Lakhmi wafat 478 hijrah, dengan menyatakan bahawa gerakan Wahabi ini adalah sesat dan jauh menyimpang.

Dalam kitab al-Mi'yar al-Murib Fi Fatawa Ahli al-Maghrib, ditulis oleh Imam al-Wansyarisi dinyatakan bahawa suatu ketika Imam al-Lakhmi telah ditanya tentang golongan Wahabiyyah yang membangunkan sebuah masjid dan apakah hukum solat di masjid mereka, maka kata beliau :

"Golongan Wahabiyyah adalah kumpulan Khawarij yang sesat, semoga Allah menghancurkan mereka, masjidnya wajib untuk dihancurkan dan wajib untuk mengusir mereka dari negeri-negeri kaum muslimin"

Dalam menentukan siapakah yang dimaksudkan dengan makna wahabi yang sebenar, sebahagian beranggapan wahabi yang difatwakan oleh Imam al-Lakhmi itu adalah merujuk kepada gerakan Khawarij melampau dibawah Abdul Wahab Rustumi di Afrika Utara. Gerakan beliau yang sangat ekstrim sehingga dengan bermudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang berbeza dengannya. Bahkan sebahagian besar tindakan melampau mereka ini sehingga menghapuskan syariat Islam sebenar. Mengundang pelbagai salah faham terhadap Islam dan memecah-belahkan kesatuan umat.




Ada pun gerakan dakwah reformis yang dibawa oleh Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab di Arab Saudi dan di dokong oleh Imam Muhammad bin Su'ud adalah sebuah perjuangan yang suci dan murni selari dengan neraca al Quran dan as Sunnah. Keazaman mereka adalah untuk memastikan keaslian tauhid dan akidah Islam terus dipelihara dan dijauhi daripada sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak. Perjuangannya juga adalah untuk menegakkan tauhid dan menentang sebarang perkara yang membawa kepada kesyirikkan, khurafat dan perkara baru di dalam agama.

Adalah tidak logik untuk kita katakan fatwa Imam al-Lakhmi itu ditujukan kepada gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Hal ini kerana Imam al-Lakhmi telah wafat pada tahun 478 hijrah, sedangkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab lahir pada 1115 hijrah. Fatwa Wahabi oleh Imam al-Lakhmi ini sudah keluar ribuan tahun sebelum lahirnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Persoalannya, bagaimana mungkin seseorang boleh memberikan fatwa akan hal yang beliau sendiri sudah tiada pada masa dan ketika itu ? Apakah beliau boleh mengetahui sesuatu yang akan terjadi di ratusan ribu masa hadapan ? Oleh yang demikian, sudah tentu fatwa ini tidak merujuk kepada gerakan dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab.

Bagi pegangan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, beliau sendiri bermazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Oleh kerana itu, sekiranya dikaji dan disemak dalam semua kitab hukum hakam agama, kita tidak pernah temui perkataan mazhab Wahabi seperti yang digempar-gemburkan oleh sebahagian para agamawan. Sebaliknya, kita akan menemui beberapa pandangan dalam perbahasan hukum hakam Islam yang menyebutkan tentang pandangan kumpulan tertentu selain 4 mazhab yang masyhur seperti mazhab Syiah, Khawarij dan lain-lain. Dengan itu, adalah tidak benar untuk kita katakan bahawa gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab ini menolak mazhab atau anti dan tidak menghormati pandangan para ulama yang lain.




Namun pada masa yang sama, kita juga tidak menafikan terdapat kewujudan golongan yang melampau dalam sesuatu gerakan termasuklah gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Hal ini bukanlah perkara yang baharu. Tetapi hal itu adalah lumrah dalam setiap kewujudan aliran pemikiran yang ada. Misalnya, kumpulan Ahbash yang dipelopori oleh Syeikh Abdullah al-Harari yang mana mereka mendakwa mereka berpegang kepada akidah Imam Abu Hasan al-Asy'ari, bermazhab fiqh Imam as-Syafi'e dan mengikut tarekat Rifa'iyyah dalam berakhlak. Golongan ini telah banyak menyesatkan para ulama yang tidak sealiran dengan mereka.

Mengambil sikap bersederhana dalam beragama, kita sewajarnya tidak terlalu melampau dan tidak terlalu bermudah dengan agama ini. Adalah lebih indah sekiranya perbezaan-perbezaan yang wujud ini diuruskan dengan nilai ilmiah dan secara berlapang dada dalam hal yang boleh kita toleransi. Selagi perbezaan tersebut tidak menyanggahi syarak, maka memilih untuk berlapang dada dengan tidak bermudah melabel sana-sini apatah lagi mengkafirkan sana-sini. Semoga Allah memberikan kita petunjuk serta taufik Nya.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan