Khamis, 19 Mei 2022

BOLEHKAH ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID ?

 

Masjid merupakan sebuah institusi yang mulia. Kemuliaan institusi sesuatu masjid tersebut bukanlah terletak kepada keindahan dan keceriaannya semata-mata bahkan pada makna perkataan masjid itu sendiri. Perkataan masjid (مسجد) adalah berasal dari bahasa. Ianya merujuk kepada nama tempat yang berasal dari perbuatan sujud itu sendiri.

Perkataan masjid dari sudut bahasa membawa maksud nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syarak pula, masjid membawa kepada dua maksud iaitu maksud pertama, tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)".

Makna kedua dari sudut syarak pula, masjid boleh membawa maksud tempat yang disediakan untuk menunaikan sembahyang. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud dan selainnya, daripada Ummul Mukminin, Aisyah R.anha katanya yang bermaksud :

"Rasulullah SAW telah memerintahkan supaya dibina masjid-masjid di rumah dan di kampung, serta dibersihkan dan diwangikan"




Dalam soal kita membicarakan mengenai maksud masjid, Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan menerusi kitabnya Mausu'ah Qadaya Islamiyyah Mu'asirah, beliau menyatakan bahawa masjid pada asalnya setiap tempat untuk sujud, kemudian ditetapkan tempat binaan khusus untuk ibadat dan menunaikan risalah khusus iaitu tempat solat berjemaah. Masjid mempunyai pelbagai jenis dan nama seperti masjid al jamek, iaitu masjid didirikan solat jemaah, solat jumaat dan solat-solat lain seperti khusuf, istisqa' dan lain-lain.

Selain itu, masjid juga disebutkan sebagai musalla. Perkataan musalla merangkumi dua maksud iaitu tempat yang lapang yang didirikan solat dua hari raya. Maksud kedua, iaitu masjid yang kecil yang didirikan solat dengan jemaah yang sedikit. Secara umumnya, dalam konteks Malaysia, perkataan masjid merujuk kepada sebuah tempat yang didirikan sebuah bangunan bagi tujuan solat jemaah, jumaat dan solat-solat lain serta aktiviti-aktiviti pengimarahan yang lain sesuai dengan peranan dan fungsi masjid.

Persoalannya, adakah orang bukan Islam diharuskan untuk memasuki masjid ? Apakah hukum berkaitan hal tersebut ? Bagi menjelaskan persoalan ini, kita boleh dapati kupasannya dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, di jelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat dikalangan para imam 4 mazhab iaitu mazhab Hanafiyyah, Malikiyyah Syafi'iyyah dan Hanabilah berkenaan hukum tersebut.




Para Ulama mazhab Imam Malik (Malikiyyah) menyatakan bahawa bagi orang bukan Islam memasuki masjid hukumnya adalah makruh. Sama ada Masjid al-Haram atau masjid selainnya, sama ada mendapat persetujuan daripada umat Islam atau tidak, melainkan kerana darurat. Contohnya, seperti membaiki bangunan masjid yang tidak dapat dilakukan oleh umat Islam.

Para Ulama mazhab Imam Hanafi (Hanafiyyah) membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau masjid yang lain. Hal ini berdasarkan satu riwayat yang menyebut bahawa Nabi SAW menerima utusan Bani Thaqif di dalam masjid, sedangkan mereka ketika itu masih belum masuk Islam. Ini menunjukkan bahawa orang bukan Islam boleh masuk masjid tanpa kecuali, sama ada Masjid al-Haram atau selainnya.

Para Ulama mazhab Imam Syafi'e (Syafi'iyyah) dan ulama mazhab Imam Hanbali (Hanabilah) berpendapat bahawa selain Masjid al-Haram, orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid sekiranya dipersetujui dan mendapat keizinan daripada umat Islam setempat. Adapun jika memasuki Masjid al-Haram, maka hukumnya haram dan hendaklah ditegah.

Sementara itu, dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Dr. Wahbah al Zuhaili menyatakan bahawa :

"Ulama Malikiyyah berkata, 'Orang bukan Islam perlu ditegah daripada memasuki masjid walaupun mendapat keizinan daripada orang Islam, kecuali kerana darurat pekerjaan. Antaranya kerana kos belanja kerja berbanding orang Islam dan lebih profesional dalam bekerja. Abu Hanifah menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh memasuki semua masjid. Ulama' Syafi'iyyah juga membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid kecuali Masjid al-Haram dan tanah haram Mekah. Dibolehkan bagi orang bukan Islam untuk menginap di dalam masjid walaupun dalam keadaan junub dan menurut pendapat yang paling sahih, selama mana mendapat persetujuan daripada umat Islam"




Perbezaan pendapat ini adalah kerana pertembungan cara memahami dalil. Secara jelasnya, kita akan melihat majoriti ulama menyatakan haram bagi orang bukan Islam memasuki masjid adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Taubah ayat 28, firman Nya yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Kerana itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 hijrah)"

Namun begitu, dalam kitab al-Jami' li Ahkam al-Quran, Imam Qurtubi menukilkan penjelasan oleh Imam al-Syafie dengan menyatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan bahawa orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang selain Masjid al-Haram. Dalam kitab al-Muhalla, Imam Ibn Hazm dan Imam al-Nawawi juga turut mengemukakan pandangan yang sama dalam hal ini.

Bagi golongan yang membolehkan orang bukan Islam memasuki masjid, mereka berdalilkan dari sebuah kisah yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, yang menceritakan bagaimana seorang bukan Islam bernama Thumamah Ibn Utsal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan. Hadith tersebut bermaksud :

"Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Thumamah bin Utsal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid".




Dalam konteks Malaysia, di peringkat Persekutuan, melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90, menyatakan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Di peringkat negeri Perlis pula, melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-43 menyatakan bahawa harus bagi orang bukan Islam masuk ke dalam masjid untuk perkara yang dibenarkan syarak. Orang bukan Islam yang dibenarkan masuk ke dalam masjid itu dikehendaki mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti memakai pakaian sopan yang sesuai dengan masjid atau pakaian yang disediakan oleh pihak pentadbiran masjid, tidak mengotorkan kebersihan masjid, tidak menggangu umat Islam yang sedang beribadah dan lain-lain.

Demikian penjelasan berkenaan hukum orang bukan Islam memasuki masjid. Walau bagaimana pun, ruang keharusan untuk orang bukan Islam memasuki masjid ini sepatutnya diambil ruang ini untuk kita menyampaikan ajaran Islam sebenar. Kita sangat percaya, di luar sana terdapat ramai lagi orang bukan Islam yang mempunyai salah faham tentang institusi masjid ini. Selayaknya ruang ini diambil bagi memberikan pendedahan Islam sebenar. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan