Sabtu, 7 Mei 2022

MENZIARAHI KUBUR ORANG BUKAN ISLAM

 

Menziarahi kubur merupakan amalan mulia dan terpuji dalam Islam. Amalan ziarah kubur hukumnya adalah sunat berdasarkan pendapat yang sahih. Meskipun pada awalnya, baginda Nabi SAW melarang kita daripada menziarahi kubur namun setelah itu baginda menyuruh kita menziarahi kubur. Perkara ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah".

Dalam sebuah hadith lain riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Adalah aku dahulunya menghalang kamu daripada menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati mati".




Berdasarkan hadith berkenaan, dapatlah kita fahami bahawa asal hukum menziarahi kubur adalah sunnah. Dengan menziarahi kubur, ianya dapat mendidik hati kita untuk lebih zuhud dan sentiasa mengingati hakikat kehidupan di dunia yang sementara ini. Banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita perolehi apabila kita menziarahi kubur. Namun begitu, kita seharusnya menjaga dan memelihara adab-adab ketika menziarahi kubur. Agar ibadah ziarah tersebut benar-benar memberikan kita ganjaran di sisi Allah SWT.

Menjadi persoalan pada hari ini, bagaimana sekiranya kita menziarahi kubur saudara orang bukan Islam ? Adakah hal itu boleh menggugat akidah kita ? Untuk merungkaikan persoalan ini, terlebih dahulu harus kita ketahui bahawa Allah SWT tidak pernah melarang hamba Nya untuk berbuat baik kepada mereka yang bukan Islam. Hal ini jelas seperti firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".

Keterangan ayat ini menjelaskan prinsip Islam yang sebenar ketika kita mahu berinteraksi dengan mereka yang bukan Islam. Secara dasarnya, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk berbuat baik sesama manusia merentasi perbezaan agama, bangsa dan negara. Allah juga telah meletakkan syarat berbuat baik dan berlaku adil itu dilaksanakan kepada mereka yang tidak memerangi Islam. Oleh yang demikian, kita dituntut untuk melakukan kebaikan meskipun mereka bukan beragama Islam.




Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Ali bin Abi Talib telah bertemu Rasulullah SAW dan beliau mengkhabarkan tentang kematian Abu Talib. Lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Pergilah dan kebumikannya" Aku berkata : "Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik" Nabi berkata : "Pergilah dan kebumikannya" Setelah mana aku mengebumikannya, aku kembali kepada baginda. Maka baginda berkata kepadaku "Mandilah"

Berkenaan hukum menziarahi kubur orang bukan Islam, dalam Fath al Wahhab, Syaikhul Islam Zakaria al Ansari ketika mensyarahkan Minhaj al Tullab, beliau menyatakan bahawa adapun menziarahi kubur orang bukan Islam dibolehkan. Demikian juga Imam al Nawawi berpandangan juga boleh orang Islam menziarahi orang bukan Islam semasa hidup dan menziarahi kubur mereka selepas kematian mereka. Beliau juga berpandangan menziarahi orang bukan Islam semasa hidup lebih utama berbanding setelah kematian mereka.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Iqtida' al Sirat al Mustaqim, beliau menyatakan bahawa :

"Sekiranya ada orang Islam yang hidup di negara bukan Islam yang memerangi Islam, dan negara bukan Islam yang tidak memerangi Islam, tidak diperintahkan kepadanya untuk berbeza dengan orang bukan Islam dalam upacara keagamaan yang bersifat luaran kerana padanya kemudaratan buatnya. Bahkan digalakkan atau diwajibkan baginya untuk kadang-kala menyertai upacara mereka sekiranya terdapat maslahah (kebaikan) agama ; untuk menyeru mereka kepada Islam, mendalamkan kefahaman terhadap upacara agama mereka untuk disampaikan kepada orang Islam atau mengelakkan berlaku kemudaratan kepada orang Islam dan sebab-sebab lain daripada tujuan-tujuan yang baik di sisi syarak".




Oleh yang demikian, tidaklah menjadi masalah bagi orang Islam menziarahi kubur saudara yang bukan Islam. Keharusan menziarahi kubur orang bukan Islam ini juga terikat dengan syarat. Syaratnya, selagi mana perbuatan ziarah tersebut tidak turut menyertai melakukan ritual agama mereka atau yang melakukan perbuatan bertentangan dengan prinsip akidah Islam seperti menyembah, mendoakan keampunan baginya dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith riwayat Ahmad dan Tirmidzi, daripada Buraidah beliau berkata :

"Kami pernah bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan, terdapat riwayat ketika peperangan pembukaan Kota Mekah, dan baginda turun bersama kami dan kami bersamanya hampir seribu penunggang. Baginda solat dua rakaat , kemudian menghadap kami dengan muka dan matanya menangis. Lantas Umar al Khattab bangun serta bertanya, "Wahai Rasulullah, ada apa ?" Baginda bersabda, "Aku memohon kepada Tuhanku yang Maha Perkasa lagi Maha Agung, untuk memohon ampun untuk ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkanku, lalu mataku mengalirkan air mata sebagai rahmat untuknya daripada api neraka. Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk menziarahinya, lalu Dia mengizinkanku. Dan aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahilah, kerana menziarahinya akan menambah kebaikan bagi kamu".

Demikianlah Islam, agama yang penuh dengan keharmonian dan kesejahteraan selari dengan namanya. Dalam keterbukaan ini, Islam meletakkan garis panduan sebagai pedoman agar kita tidak melampaui batas syarak. Untuk itu, ziarahilah kubur mereka yang bukan Islam dengan syarat tidak melakukan sebarang ritual atau perlakuan yang bercanggah dengan syariat Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan